Tuesday 14 August 2012

270,000 KEKOSONGAN SEKTOR PERLADANGAN




SAMPAIKAN .......Dompok menyampaikan anugerah pelatih terbaik kepada salah seorang pelatih IMPAC.

By : SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Sebanyak 270,000 kekosongan pekerjaan dalam industri perladangan perlu diisi oleh pekerja tempatan di negara ini bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata masa depan sektor perladangan mesti bergantung kepada pekerja mahir dari dalam negara ini sendiri.

Inilah salah satu sebab penubuhan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) untuk memenuhi keperluan pekerja bagi industri perladangan.

“Bila mula-mula saya berada dalam kementerian, saya mahu melihat macam mana kita dapat kurangkan kebergantungan pekerja asing terutama sekali di tempat-tempat yang kita boleh melatih orang dalam melahirkan pekerja mahir.

“Inilah tujuan penubuhan institut latihan ini iaitu bagi memenuhi permintaan pekerja mahir dalam industri perladangan.

“Jumlah populasi pekerja di sektor perladangan ialah seramai 922,328 orang di mana pekerja tempatan hanya 208,565 orang dan pekerja asing seramai 437,731 orang pada tahun 2011,” katanya.

Katanya, masih ada kekurangan pekerja seramai 270,000 dalam industri ini dan banyak permintaan yang telah dikemukakan kepada kerajaan.

Dompok berkata demikian selepas merasmikan majlis penganugerahan sijil IMPAC Bilangan 2 tahun 2012 dan Penyerahan Insentif Komoditi, di sini kelmarin.

“Kita telah melihat kepada semua sumber dengan keadaan ekonomi di negara ini dan perkembangan sektor perladangan yang mana memerlukan perkerja yang ramai,” katanya.

Apabila ditanya mengenai penempatan pelatih setelah tamat latihan, Dompok dengan yakin menyatakan kebanyakan pelatih akan mendapat tempat.

“Ini kerana, ketika mereka berlatih, sesetengah majikan tempat mereka bekerja akan mengambil mereka semula untuk bekerja di sana.

“Saya rasa tiada masalah untuk mereka mendapat pekerjaan setelah tamat latihan sebab kita perlukan ramai penuai kerana industri perladangan masih banyak kekosongan pekerjaan,” katanya.

Apabila ditanya mengenai perkongsian pintar antara agensi kerjaan dan swasta, beliau berkata maklumbalas yang diterima sangat baik.

“Malah bagi pelatih yang ada hari ini, sesetengah daripada mereka (pelatih) dan sebahagian daripada latihan selama empat bulan, sebulan dihabiskan di ladang bagi membolehkan mereka menimba pengalaman.

“Bila mereka di lapangan, majikan itu sendiri mula memilih siapa yang ingin mereka ambil. Ini adalah cara yang baik untuk memperkenalkan mereka kepada industri,” tambahnya.

Dompok berkata, kerjasama pintar yang ingin dilihat antara IMPAC, industri, agensi kerajaan yang lain dan insitusi pengajian tinggi akan melahirkan lebih ramai pakar untuk sektor komoditi ini.

Beliau berkata, kebanyakan pekerja dalam industi ini mempunyai pendapatan lebih daripada RM1,000 sebulan. Ada antaranya yang dapat RM1,800 hingga RM2,000 sebulan, yang mana lebih daripada gaji minimum yang ditetapkan.

“Industri kelapa sawit memerlukan seramai 186,000 orang pekerja dan kebanyakan mereka adalah penuai. Kekurangan pekerja dalam industri kelapa sawit. Bagi industri getah kita menghadapi kekurangan sebanyak 152,000 pekerja.

“Saya telah meminta IMPAC untuk menjalankan kursus untuk menoreh getah supaya kita mempunyai penoreh getah yang bersijil.

“Mereka sedang usahakan untuk itu. Kita mempunyai banyak kekosongan pekerjaan di negara ini. Pekerjaan mencukupi namun jika tiada pendedahan, orang akan berfikir bahawa bekerja dalam industri ini sebagai kerja yang mengotorkan tangan dan hanya untuk mereka yang tidak bersekolah.

“Kita mahu tunjukkan kepada orang ramai bahawa bekerja dalam industri perladangan ini juga boleh dijadikan sebagai kerjaya,” katanya.

Dalam ucapannya, Dompok berkata sektor komoditi telah menyumbang secara konsisten kepada peningkatan pendapatan eksport negara.

Pada tahun 2011, eksport produk-produk komoditi telah mencatatkan nilai sebanyak RM141.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 23.7 peratus berbanding RM114.2 bilion pada 2010.

Selain menjana pendapatan eksport, sektor komoditi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 500,000 orang.

Oleh itu, beliau menggesa para belia supaya meraih peluang daripada usaha-usaha untuk meningkatkan kemahiran dan mempelopori peluang-peluang pekerjaan dalam sektor ini.

Dompok berkata, bagi memacu pembangunan sektor komoditi, kementeriannya telah menggubal Dasar Komoditi Negara (DKN) untuk tempoh 2011-2020. Di bawah dasar ini, disasarkan nilai eksport produk-produk komoditi akan mencapai RM242.6 bilion menjelang 2020 berbanding RM141.2 bilion pada 2011, iaitu peningkatan sebanyak RM100 bilion.

Menyentuh mengenai IMPAC, beliau berharap insitut itu dapat menggandakan usaha dan bersikap proaktif dalam mempromosikan kewujudannya dan mengambil tindakan wajar dalam memantapkan latihan-latihan yang dijalankan.

“Bagi tujuan ini, saya mencadangkan agar IMPAC meningkatkan perkongsian pintar dengan agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta pengendali kurus perladangan dan komoditi swasta lain dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk mengukuhkan industri perladangan dan komoditi negara,” katanya.

Dalam majlis itu, Dompok menyampaikan sijil kepada 96 orang yang telah mengikuti kursus anjuran IMPAC. Manakala seramai 15 orang petani koko menerima insentif bernilai RM8,000 bagi setiap hektar kawasan baru koko di bawah Pakej Program Penanaman Koko (TB 2012). (UB)


11 comments:

  1. Semoga peluang pekerjaan yang ada ini tidak akan dilepaskan begitu saja.

    ReplyDelete
  2. Jangan lepaskan peluang yang ada ini. Jangan biarkan warga asing mengambil kesempatan dalam jawatan tersebut.

    ReplyDelete
  3. sebab itulah peluang2 pekerjaan di sektor perladangan di Sabah kebanyakkannya dikuasai oleh pekerja asing.. ada banyak peluang pekerjaan tapi tidak dimanfaatkan oleh rakyat tempatan..

    ReplyDelete
  4. salah satu cara bagaimana mempopularkan kerja2 ladang ini kepada rakyat Sabah ialah dengan menaikkan gaji pekerja2 ladang setimpal dengan beban kerja mereka yang banyak menggunakan kekuatan dan ketahanan fizikal..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul juga. Kerja2 ladang dengan gaji perlu sesuai.

      Delete
    2. kadar gaji minimum akan dilaksanakan pada awal tahun depan. rasanya mereka ni pun terlibat juga dengan pelaksanaan polisi ni.

      Delete
  5. Jangan salahkan pekerja asing jika orang tempatan sendiri terlalu memilih kerja tidak mahu bekerja di ladang. Majikan juga perlu beri gaji yang setimpal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rakyat Sabah yang berminat dalam industri perladangan perlu mengambil peluang yang ada.

      Delete
    2. Rasanya kalau graduan memang tiada yang mahu bekerja dalam sektor perladangan kecualilah memang ada jawatan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

      Delete
  6. Sediakan pekerja mahir dalam perladangan memang bagus

    ReplyDelete
  7. peluang pekerjaan ni byk, orang tempatan kena manfaat peluang ini.

    ReplyDelete