KUALA LUMPUR : Ekonomi
Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.3
peratus pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan domestik yang
lebih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar
Aziz.
Bercakap kepada pemberita,
Zeti berkata pada suku itu permintaan domestik melonjak 13.8 peratus berbanding
9.7 peratus berbanding suku pertama.
Beliau juga mengumumkan
mengenai semakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 4.9
peratus bagi suku pertama daripada 4.7 peratus. Zeti berkata permintaan
domestik yang kukuh disokong oleh pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan sektor
swasta dan awam, manakala eksport bersih menyederhana ekoran eksport lemah dan
import yang tinggi.
Mengenai bekalan, beliau
berkata sektor ekonomi utama terus berkembang, diketuai sektor perkhidmatan,
pengeluaran dan pembinaan.
"Ini disokong oleh
aktiviti dipacu domestik dalam sektor perkhidmatan iaitu komunikasi, hartanah
dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor insurans kewangan," katanya.
Beliau berkata berdasarkan
unjuran semasa, negara bakal mencatat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.
"Pada masa ini kami
mengekalkan (unjuran ini). Pada belanjawan akan datang, mungkin ada pelarasan
dalam unjuran bagi tahun ini.
"Kami yakin,
berdasarkan prestasi separuh pertama tahun ini, KDNK dijangka meningkat lebih
tinggi," katanya dan menambah, pelaburan swasta akan terus memacu
pertumbuhan ekonomi.
Zeti berkata aktiviti
pelaburan yang meningkat boleh dilihat berdasarkan peningkatan 19.8 peratus
pada separuh pertama tahun ini dan peningkatan 24.6 peratus pada suku kedua.
"Inilah yang kami mahu
berlaku bagi mengekalkan pertumbuhan, dan kami melihat pelaburan kembali dengan
kukuh, malah pasaran sekuriti hutang swasta menunjukkan beberapa terbitan
baharu bagi mengumpul dana dalam sekuriti hutang swasta untuk pelaburan dalam
projek-projek baharu.
"Semua angka ini
menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pelaburan, terutama oleh sektor swasta
dan projek lain yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.
Zeti berkata peningkatan
ranking Malaysia dari segi daya saing dan kos menjalankan perniagaan, secara
tidak langsung membantu iklim pelaburan negara.
Beliau berkata beberapa projek
kejuruteraan awam besar juga mencatat pertumbuhan kukuh dan akan membantu
menyokong pertumbuhan ekonomi.
Ini termasuk projek saluran
paip Sabah-sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik
Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga
RM5 bilion, katanya.
"Kita juga mencatat
pengunaan kapasiti yang lebih tinggi yang kini mencecah paras 80 peratus.
Kebiasaannya apabila keadaan ini berlaku dalam pelbagai industri, ini
mencetuskan aktiviti pelaburan baharu," katanya.
Mengenai prestasi suku
kedua, Zeti berkata modal tetap kasar merekodkan pertumbuhan kukuh 26.1 peratus
berbanding 16.1 peratus pada suku yang lepas dengan perbelanjaan sektor swasta
dan awam mencatat peningkatan.
Beliau berkata penggunaan
swasta meningkat 8.8 peratus (suku pertama 12: 7.4 peratus), disokong oleh
situasi pasaran buruh yang padu, pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan sentimen
pengguna yang meningkat.
"Selain itu inisiatif
kerajaan seperti bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan
peneroka Felda selain menaikkan gaji dan pencen penjawat awam, turut membantu
meningkatkan perbelanjaan," katanya.
Penggunaan awam meningkat
9.4 peratus daripada 7.3 peratus suku lepas, diketuai perbelanjaan yang tinggi
untuk emolumen dan bekalan serta perkhidmatan, katanya.
Menurut Zeti kadar inflasi
menyederhana kepada 1.7 peratus pada suku kedua berbanding 2.3 peratus pada
suku lepas.
Beliau berkata inflasi dalam
kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyederhana manakala harga daging
dan sayur-sayuran turun.
Bagi sektor luaran, lebihan
akaun semasa berkurangan pada suku kedua kepada RM9.6 bilion, bersamaan 4.4
peratus pendapatan negara kasar, katanya.
"Ini sebahagian
besarnya disebabkan lebihan barangan yang rendah, terutama hasil pengembangan
import kasar dalam keadaan pertumbuhan eksport kasar menyederhana,"
katanya.
Zeti berkata akaun kewangan
mencatatkan pemulihan dengan kemasukan RM5.4 bilion pada suku itu, dengan
kemasukan tunai dalam pelaburan lain dan pelaburan langsung asing meningkat
yang mengimbangi aliran keluar besih dana portfolio bukan penduduk.
"Dengan lebihan dalam
akauin semasa dan kewangan, imbangan pembayaran pulih untuk mencatat lebihan
RM12.7 bilion pada suku kedua, berbanding RM7.2 bilion pada suku lepas,"
katanya.
Kadar dasar semalaman tidak
berubah pada 3.00 peratus pada suku berkenaan, katanya.
Beliau berkata ringgit
sebaliknya susut 3.8 peratus berbanding dolar US pada suku kedua, selain mata
wang serantau utama yang lain.
"Ketidaktentuan krisis
hutang negara Eropah dan impaknya ke atas prospek pertumbuhan ekonomi serantau
dan global menyebabkan pelabur mengurangkan pegangan dalama aset-aset pasaran
baru muncul," katanya. (Bernama)
KALAU RAKYAT MALAYSIA DAPAT MENGEKALKAN PERPADUAN DI MALAYSIA, SUDAH PASTI KITA MENIKMATI PERKEMBANGAN EKONOMI YANG LEBIH BAIK SEMENTARA DI EROPAH DAN TIMUR TENGAH MENGHADAPI KEJATUHAN EKONOMI BERIKUTAN KEBINGKRAPAN NEGARA TERTENTU DAN KETIDAK TENTUAN PASARAN DAN KEKACAWAN DALAM NEGARA TIMUR TENGAH .TAHNIAH KEPADA RAKYAT MALAYSIA YANG CINTAKAN PERPADUAN DAN KEDAMAIAN DI SOKONG OLEH KERAJAAN BN YANG BAIK
ReplyDelete