Tuesday, 21 August 2012

FACEBOOK PALSU PEMUDA UMNO




           
Oleh : KOH JUN LIN

SETIAUSAHA Kerja Pemuda BN, Ibdilillah Ishak telah membuat laporan polis kelmarin berhubung satu posting yang didakwa berunsur 'hasutan' di laman Facebook palsu Pemuda Umno.

Menurutnya, ia bukan laman rasmi milik pergerakan itu, sambil menambah, di Facebook ramai orang boleh membuka akaun dan menjadi sesiapa sahaja yang mereka mahu.

"Jadi ia bukan (laman Facebook) rasmi Pemuda Umno dan mereka menggunakan nama Pemuda Umno tanpa pengetahuan kami," kata Ibdilillah ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau membuat laporan itu pada kira-kira jam 4 petang di balai polis Tun HS Lee bagi pihak Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Posting pertama muncul pada hari Sabtu di satu laman peminat yang dipanggil 'Pemuda Umno Malaysia' yang kemudiannya tersebar di internet sebelum diturunkan.

Ketika ditemui pemberita di luar balai polis, Ibdilillah berkata beliau berpendapat posting itu berunsur hasutan kerana ia meminta pembaca mempertimbangkan sama ada agama Kristian sebagai agama rasmi.

Di samping menggesa pihak polis menyiasat perkara itu, Ibdilillah, yang juga ketua Pemuda Umno Taman Tun Dr Ismail berkata, laporan itu membuat untuk menunjukkan Pemuda Umno tidak mahu membiarkan perbuatan yang didakwanya menghasut itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ibdilillah berkata, beliau menyedari kewujudan laman sosial palsu tersebut Sabtu lepas yang meletakkan profilnya sebagai 'Pemuda Umno Malaysia'.

Katanya, ia mengeluarkan satu paparan poster yang menurutnya berbaur hasutan dengan tulisan "Jika anda setuju untuk jadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. God bless you'.

Menurut Bernama, laman sosial itu memaparkan wajah Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin Umno khususnya dari Selangor.
  
Mengulas mengenai laman facebook tersebut, Ibdilillah berkata Pemuda Umno sememangnya memiliki laman facebook milik pergerakan itu yang sah namun tidak aktif.
  
"Petang tadi, bila saya periksa semula akaun facebook tersebut, ia sudah tiada. Tetapi saya sempat mengambil gambar 'screen shot page' facebook itu dan berikan pada polis untuk siasatan," katanya.
  
Dalam pada itu, beliau tidak menolak perbuatan itu dilakukan untuk menjatuhkan Pemuda Umno serta mempunyai kaitan dengan bahang pilihan raya akan datang.


1 comment:

  1. Akaun palsu yang menyamar sebagai Pemuda UMNO Malaysia itu perlu di ambil pengajaran oleh semua pihak bahawa di Malaysia tuan-tuan tidak bebes menulis yang boleh menghancurkan Negara atas dasar DEMOKRASI

    ReplyDelete