Oleh : DATUK MAIJOL MAHAP
UCAPAN ini saya tujukan
terlebih dahulu kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan
Rakyat merangkap Ketua Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat; YB Datuk Seri Panglima
Wilfred Bumburing; YB Datuk Seri Panglima Lajim Hj. Ukin; Ahmad Thamrin, Ketua
Perhubungan PKR Sabah; semua pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat peringkat
Nasional dan Negeri; Anthony Mandiau,
Ketua Cabang PKR Kota Marudu; pemimpin-pemimpin masyarakat, tuan-tuan dan
puan-puan yang saya hormati sekalian.
Saya panjatkan syukur kepada
Tuhan kerana dengan pimpinan dan izinnya, kita semua dapat berkumpul dalam
majlis yang bersejarah ini. Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada YB
Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kota Marudu dan sesungguhnya warga Kota Marudu
bertuah dan berbangga dengan lawatan Dato’ Seri ke sini.
Saya juga ingin mengucapkan
selamat datang dan terima kasih di atas kehadiran kamu semua dari jauh dan
dekat untuk menjayakan majlis ini dan mendengar amanat pemimpin-pemimpin kita.
Kehadiran kamu yang begini ramai memberikan semangat yang tinggi kepada saya
untuk berjuang untuk rakyat dan negara kita. Kehadiran kamu yang begini ramai
juga bermaksud rakyat Kota Marudu mempunyai semangat tinggi untuk membuat
perubahan.
Sistem
2 Parti
Tuan-tuan dan puan-puan,
Rakyat Malaysia sedang
menyaksikan, malah terlibat sama dalam satu perubahan politik tanah air kita.
Buat pertama kalinya, sejak 2008, rakyat Malaysia mula mencatatkan perubahan
politik negara. Rakyat Malaysia buat pertama kalinya, memberitahu kepada dunia
tentang bagaimana negara ini ditadbir. Rakyat juga dengan jumlah yang besar
telah bersetuju untuk memilih atau mengundi calon-calon Pakatan Rakyat di mana
Barisan Nasional telah kehilangan banyak kerusi di Parlimen dan Dewan-Dewan
Undangan Negeri. Ini adalah hak rakyat. Semuanya ini telah berlaku dan terus
berlaku disebabkan satu faktor yang nyata iaitu faktor Dato’ Seri Anwar
Ibrahim. Beliaulah yang telah menyemarakkan semangat baru untuk perubahan di
negara kita.
Perubahan politik ini secara
langsung akan membawa negara kita ke satu sistem politik tanahair yang baru
iaitu sistem 2 parti atau 2 party system. Sesungguhnya saya menyukai dan
menyokong sistem 2 parti dalam negara kita. Selama ini iaitu lebih 50 tahun
hanya satu parti yang memerintah iaitu Barisan Nasional. BN telah monopoli
pemerintahan negara kita. Tapi sistem monopoli adalah sistem lapok.
Di negara-negara yang
mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan monopoli ini sudah lama berakhir, lihat
sajalah negara-negara demokrasi seperti England, Australia, New Zealand dan
Amerika Syarikat. Mereka semunya mempunyai sistem 2 parti. Dan kita tidak perlu
melihat negara yang jauh.
Kita lihat sajalah
negara-negara jiran kita Thailand, Indonesia dan Philippine, mereka juga
mengamalkan sistem 2 parti. Sistem 2 parti adalah baik kerana ia menggalakkan
persaingan antara parti dari segi dasar-dasar dan perlaksanannnya. Ia boleh
mewujudkan “check dan balance”. Ia adalah
baik untuk rakyat. Ia adalah seperti juga persaingan antara
syarikat-syarikat yang memberikan perkhidmatan kepada pengguna-pengguna.
Persaingan akan menyebabkan
kualiti perkhidmatan yang baik dan harga yang rendah. Negara kita Malaysia
adalah ke arah itu, dan saya yakin dan percaya bahawa sistem 2 parti di
Malaysia akan wujud dengan sepenuhnya selepas PRU yang ke 13 ini iaitu setelah
PR akan menang dan memerintah negara kita.
Aspirasi
dan Ekpektasi Rakyat
Tuan-tuan dan puan-puan,
Apabila kita menubuhkan satu
negara yang dipanggil Malaysia pada tahun 1963, aspirasi dan ekpektasi rakyat
di Sabah adalah tinggi, dan pemimpin-pemimpin kita dahulu bersetuju untuk
menubuhkan negara Malaysia kerana mereka yakin dan percaya bahawa ia akan
memberikan banyak kebaikan kepada Sabah.
Antara aspirasi dan
ekpektasi rakyat Sabah ialah negara kita akan berdaulat dan bebas daripada
ancaman luar, Sabah akan membangun dengan maju, rakyat akan gembira, rakyat
akan terus bersatu padu, tiada perkauman, tiada penindasan, peluang pekerjaan
yang sama rata dalam kerajaan persekutuan dan negeri, pembangunan luar bandar
yang baik, jalan-jalan luar bandar yang baik, pendidikan yang percuma di setiap
peringkat termasuk di peringkat pengajian tinggi, pemberian hak tanah adat
(NCR) kepada orang-orang anak negeri, kemiskinan akan dihapus, keselamatan
negeri yang terjamin, negeri yang bebas daripada Pendatang Asing Tanpa Izin
(PATI), status kewarganegaraan tidak diberi kepada orang asing dengan
sewenang-wenangnya. Dan kita juga mempunyai 20 perkara yang telah dipersetujui
apabila kita menubuhkan Malaysia seperti yang disyorkan oleh Inter-Governmental
Committee (IGC) selepas Suruhanjaya Cabbold telah siap dengan laporannya.
Tapi apa yang kita lihat
hari ini setelah Sabah merdeka selama 49 tahun dalam negara Malaysia, kita
masih bergelut dengan pelbagai masalah, dan apa yang saya nampak
masalah-masalah ini semakin lama semakin bertambah teruk. Aspirasi dan
ekspetasi kita tidak kesampaian. Kita kecewa dan terus kecewa, sepertilah kita
tidak melihat cahaya di hujung terowong.
Masalah
PATI
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita mempunyai masalah PATI
yang telah berpuluh-puluh tahun menghantui kita. Ini adalah masalah yang paling
besar. Mengikut banci penduduk yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan pada tahun
2010, Sabah mempunyai 3,206,742 orang penduduk dan daripada angka tersebut
889,779 atau 27.8% adalah orang asing. Bumiputera lain adalah 660,365 orang,
Bajau 450,279 orang dan Melayu adalah 184,197.
Saya percaya bahawa beratus-ratus
ribu lagi orang asing di Sabah yang telah mendapat kad pengenalan berselindung
di bawah kategori bangsa Bumiputera lain, Bajau dan Melayu tersebut. Kita semua
tahu mengenai “Projek IC” yang dibuat oleh agen-agen kerajaan BN pada tahun
1990an. Ini adalah jelas terbukti mengikut pengakuan oleh beberapa orang dari
Sabah yang terlibat secara langusng dalam “Projek IC” di mana pengakuan mereka
itu tidak pernah dicabar oleh kerajaan.
Malahan orang yang
disabitkan dan ditahan di Kamunting kerana terbabit dalam “Projeck IC” diberi
kontrak pula bernilai beratus juta ringgit sejurus sahaja ia keluar dari
tahanan. Kes Petition Pilihanraya kecil DUN Likas 1999 juga adalah bukti jelas
bahawa ramai PATI telah diberi kad pengenalan dan diberi hak untuk mengundi.
Kes Petition ini telah mendedahkan pencemaran daftar pemilih oleh PTI yang
begitu banyak dalam senarai pemilih Sabah.
Sijil IMM13 juga dikeluarkan
oleh pihak Jabatan Immigresen kepada pelarian dari Filipina pada 1970-an yang
pada mulanya mereka hanya berjumlah 57,197 orang. Tetapi setelah lebih 30 tahun
sijil IMM13 itu mula dikeluarkan, bayangkan saja berapa ratus ribu sijil IMM13
dikeluarkan sekarang yang mana sijil itu membolehkan pemegangnya mendapatkan
status Penduduk Tetap dan kemudiannya menjadi warganegara Malaysia.
Pada 8 Februari 2012
kerajaan akhirnya akur dengan desakan rakyat Sabah untuk menubuhkan Suruhanjaya
Di Raja untuk menyiasat pengeluaran “Projek IC” dan pertumbuhan penduduk Sabah
yang luar biasa. Tetapi setelah ia diumum, penyiasatan tidak dimulakan.
Hanya baru kelmarin 11 Ogos,
Perdana Menteri mengumumkan terma-terma rujukan dan Ahli-Ahli Suruhanjaya.
Kenapa mengambil 6 bulan untuk membuat Terma-Terma Rujukan? Jawapannya ialah
kerajaan sebenarnya tidak ada keinginan dan keikhlasan untuk membuat
penyiasatan. Menyiasat ertinya menyiasat diri sendiri.
Saya tidak ada keyakinan
langsung dengan RCI yang dibuat oleh kerajaan BN ini. Lihat sajalah keputusan
siasatan Suruhanjaya Di Raja terhadap kes V.K. Lingam beberapa tahun yang lalu.
Walaupun beberapa individu yang ‘implicated’ dalam kes tersebut, tiada sebarang
tindakan dibuat. Ia hanyalah tinggal
siasatan tanpa apa-apa hasil.
Masalah
Kemiskinan
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita juga mempunyai masalah
kemiskian yang amat ketara di Sabah. Walaupun kita mempunyai sumber asli yang
kaya tetapi Sabah adalah negeri yang termiskin. Baru-baru ini Bank Dunia
menyatakan bahawa negeri Sabah adalah negeri yang termiskin di Malaysia dan
kaum yang termiskin di Sabah adalah mereka yang berada di kawasan Utara Sabah
iaitu termasuk di daerah saya iaitu Kota Marudu.
Saya merasa malu kerana
negeri saya adalah yang termiskin di Malaysia dan bangsa saya adalah bangsa
yang termiskin di Sabah. Tetapi ini adalah kenyataan. Baru-baru ini saya telah
berhujah di Dewan Negara dan menyatakan tahap kemiskian di Sabah mengikut
daerah bagi tahun 2004 seperti yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi
Malaysia. Peratusan kemiskinanya adalah seprti berikut:-
01. Nabawan 70.8%
02. Kudat 41.7%
03. Pitas 46.3%
04. Kota Marudu 37.1%
05. Kota Belud 36.0%
06. Tuaran 20.5%
07. Ranau 38.2%
08. Beluran 35.1%
09. Penampang 6.7%
10. Kota Kinabalu 8.4%
11. Sandakan 15.3%
12. Kuala Penyu 14.3%
13. Papar 14.7%
14. Tambunan 44.4%
15. Sipitang 15.8%
16. Beaufort 20.3%
17. Keningau 30.7%
18. Kinabatangan 38.0%
19. Tenom 31.6%
20. Tongod 35.7%
21. Lahad Datu 21.3%
22. Kunak 38.6%
23. Semporna 38.1%
24. Tawau 21.4%
Saya telah mendapat
penjelasan secara bertulis daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai
angka yang terkini. Beliau menyatakan bahawa sudah ada penurunan. Apabila saya
melihatnya, penurunannya tidaklah seberapa. Contohnya, di Bahagian Kudat, ia
turun dari 41.0% kepada 39.7% sahaja. Ertinya masih terlalu ramai penduduk di
Utara Sabah termasuk Kota Marudu yang miskin dan miskin tegar. Perlu diingat
bahawa statistik ini adalah statistik kerajaan. Mungkin angka sebenarnya adalah
lebih tinggi.
Kerajaan BN telah membuat
transformasi dengan wang berbilion-bilion ringgit tetapi ia tidak memberi kesan
yang baik terhadap kemiskinan yang berleluasa di Sabah. Rakyat masih terlalu
miskin sehingga rumah yang mereka diami nampak memilukan.
Masalah
Tanah
Tuan-tuan dan puan-puan,
Masalah tanah adalah satu
daripada masalah yang besar di Sabah. Masalah-masalah tersebut adalah seperti
berikut:-
(a) Permohonan tanah yang
bertindih-tindih;
(b) Permohonan tanah yang
tidak diproses atau terlalu lama diproses;
(c) Penyukatan tanah yang
diproses mengambil masa yang sangat lama;
(d) Pengeluaran geran bagi
tanah yang disukat mengambil masa yang sangat lama;
(e) Tanah-tanah NCR yang
tidak diberi kepada pemiliknya walaupun undang-undang NCR memang diperuntukkan
dalam Seksyen 13-16 Ordinan Tanah Sabah;
(f) Tanah-Tanah NCR adalah
termasuk dalam tanah konsesi yang diberikan oleh kerajaan kepada
syarikat-syarikat dan agensi-agensi kerajaan seperti SAFODA. Oleh itu,
penduduk-penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat dan
agensi kerajaan tersebut untuk mendapatkan tanah. Apabila ada persaingan
seperti ini, sudah tentu penduduk kampung akan kalah. Contoh : di Kota Marudu
seluas 60,000 hektar tanah telah diluluskan oleh kerajaan kepada syarikat besar
dan di kawasan ini terdapat banyak perkampungan dan tanah-tanah NCR yang telah
terperangkap di dalamnya.
Saya yakin dan percaya
bahawa kerajaan PR nanti akan membuat Reformasi terhadap Dasar Tanah, di mana
tanah-tanah NCR dan tanah-tanah yang sepatutnya rakyat mendapat hak akan di
berikan kepada mereka. Saya yakin dan percaya kerajaan PR tidak akan
mengamalkan perbuatan yang kejam terhadap orang-orang anak negeri seperti
membakar rumah dan memusnahkan tanaman di kawasan-kawasan Hutan Simpan.
Sebenarnya banyak kes-kes di mana rakyat memasuki dan menetap di satu-satu
kawasan sebelum ia digazetkan sebagai Hutan Simpan.
Masyarakat
KDM yang terpinggir
Tuan-tuan dan puan-puan,
Selama ini masyarakat
Kadazandusun dan Murut (KDM) merasakan bahawa mereka adalah terpinggir dalam
semua aspeks. Mengikut pemerhatian saya, hanya satu sahaja aspek yang KDM
dikira berjaya iaitu pemeliharaan kebudayaannya seperti perayaan Tadau
Kaamatan. Mungkin ini kerana tidak ada orang lain yang berani atau ingin
mengganggu KDM dalam perkara ini.
Tetapi dalam aspek-aspek
lain, KDM adalah ketinggalan yakni dalam segi peluang perniagaan, peluang
pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam di peringkat persekutuan dan negeri, peluang
kedudukan jawatan tinggi dalam perkhidmatan Awam, peluang menduduki jawatan
utama dan penting dalam kerjaaan, peluang kenaikan pangkat dalam Perkhimdatan
Awam dan pemberian biasiswa.
Masyarakat KDM juga
merasakan mereka adalah kelas ketiga kerana orang-orang PATI yang baru saja
mendapatkan Kad Pengenalan dan status kewarganegaraan adalah diberi layanan
yang lebih baik oleh kerajaan daripada mereka dalam segi pemilikan tanah,
pekerjaan dan perniagaan.
Keluar
daripada Barisan Nasional
Tuan-tuan dan puan-puan,
Banyak lagi masalah yang
dihadapi oleh masyarakat KDM, dan rakyat Sabah seperti isu ugama dan
sebagainya. Tetapi isu-isu yang saya nyatakan di atas adalah yang saya anggap
utama yang mesti diselesaikan oleh Kerajaan.
Saya telah berjuang dalam
UPKO selama 14 tahun dan menyuarakan masalah-masalah tersebut dalam pelbagai
forum. Tetapi saya nampak bahawa kerajaan adalah tidak komited dan serius untuk
menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
Justeru itu, saya tidak ada
keyakinan lagi terhadap kerajaan Barisan Nasional untuk menangani
masalah-masalah di Sabah dan di Malaysia.
Oleh itu, saya dan
rakan-rakan di Kota Marudu adalah dengan ini telah mengambil keputusan untuk
keluar daripada Barisan Nasional dan sama-sama menubuhkan satu flatform baru
yang dipanggil Angkatan Perubahan Sabah (APS), untuk membantu Pakatan Rakyat
memenangi PRU ke 13 ini.
Saya juga ingin mengumumkan
bahawa hampir kesemua Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian UPKO Kota Marudu yang
saya ketuai sebelum ini adalah sama-sama keluar dari Barisan Nasional dan
menyokong APS yang diketuai oleh YB Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Pakatan Rakyat. Selepas ini, saya menjangka
bahawa banyak Ketua-Ketua Cawangan UPKO dan AJK Cawangan juga akan meninggalkan
Barisan Nasional untuk menyokong perjuangan kita.
Keputusan untuk meninggalkan
Barisan Nasional tidaklah dibuat secara terburu-buru. Apatah lagi saya sudah
berjuang dalam UPKO selama 14 tahun dan menyukai budaya (corporate culture)
dalam UPKO dan menghormati dan menyukai pemimpinnya, YB Tan Sri Bernard Dompok.
Tambahan pula, saya akan
melepaskan jawatan dalam kerajaan sebagai Pengerusi di sebuah Badan Kerajaan,
iaitu Saham Sabah Berhad. Tetapi, demi perjuangan, saya dengan rela hati
melepaskannya. Saya tidak mahu dihakimi dan dicaci oleh generasi-generasi akan
datang kerana tidak berjuang dan mempertahankan dan mengembalikan hak-hak
mereka. Saya dan semua dalam APS Kota Marudu akan bekerja keras untk membantu
dan memastikan kemenangan PR dalam PRU ke 13 akan datang ini.
Hari ini, kita akan
melancarkan APS bagi Kota Marudu dan kita dalam APS akan bekerjasama dengan PKR
Kota Marudu dan parti-parti pembangkang untuk memastikan BN akan tumbang di
kawasan Parlimen P. 168 Kota Marudu, kawasan DUN N. 4 dan kawasan DUN N. 5 di
dalam PRU ke 13 yang tidak lama lagi.
Keyakinan
Terhadap PR
Saya mempunyai keyakinan
penuh terhadap PR dan pemimpinnya YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya mempunyai
keyakinan penuh bahawa apabila beliau menjadi Perdana Menteri nanti, beliau dan
PR akan melaksanakan segala komitmen mereka di Buku Jingga termasuklah menaikkan
royalti minyak Sabah dari 5% ke 20%.
Dato’ Seri Anwar adalah
pemimpin yang kental, berani, liberal dan dihormati bukan sahaja di Malaysia
tetapi di lain-lain negara. Walaupun dia telah melalui banyak kesengsaraan
tetapi dia bangun dan berdiri dengan semangat yang lebih kuat untuk membawa
rakyat ke arah perubahan.
Tukar!
Tukar!Tukar!
Marilah kita rakyat Sabah
bersatu padu. Marilah kita rakyat Malaysia bersatu padu - untuk menukar
kerajaan. Kalau bukan sekarang, bila lagi. Ini kali lah, kerana kalau lain kali
kita sudah terlambat. Sekarang ini, masa depan kita masih di tangan kita.
Tetapi kalau BN menang lagi dalam PRU 13, masa depan kita bukan lagi ditangan
kita tetapi ditangan PATI. Oleh itu, marilah kita bangkit untuk Tukar! Tukar!
Tukar!.
Terima kasih.
Kita lihat saja pada PRU 13 akan datang ini. Apa kata rakyat adakah perlu atau tidak menukar kerajaan yang ada sekarang ini. Tambahan lagi rasanya kerajana yang ada sekarang ini masih relevan untuk rakyat.
ReplyDeleteRakyat akan menentu segalanya pada PRU13.
DeleteUntuk peringatan kepada rakyat negeri ini senantiasa menghargai nikmat kehidupan yang aman, makmur dan selamat di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa prihatin membela nasib rakyat. Tanpa keamanan sudah pasti rakyat sentiasa dalam ketakutan dan tidak berani keluar dari rumah apa lagi menghadiri majlis-majlis
ReplyDeleteDatuk Najib Razak has set up an RCI panel which will investigate the Project IC issue and recommend actions to the government, hopefully they can help resolve the Project IC problems that has been haunting us for many decades as claimed by Maijol Mahap. We will wait and see.
ReplyDeleteKerajaan serius dalam menyelesaikan masalah rakyat Sabah.
ReplyDeleteMay the best man win during the next GE.
ReplyDeleteteks ucapan yang hanya untuk mengagung-agungkan anwar..
ReplyDeleteYa. Saya pun setuju. Teks Ucapan pun sudah membodek.
DeleteAPS baru ditubuhkan...pembangkang di sabah pula masih kabur2 dalam mencari sepakatan untuk formula 1 lawan 1..undi pembangkang akan pecah..BN akan menang..
ReplyDeletedalam hal ini biar rakyat buat keputusan.
ReplyDeleteSistem 2 parti hanya mengutamakan keuntungan parti.
ReplyDeleteBiar rakyat putuskan apa yang terbaik buat semua.
ReplyDeleteRakyat makin matang dan bukannya sennag utk bodek atau alihkan perhatian rakyat hanya dengan teks ucapan yang terlalu 'manis' ini. hehe
ReplyDelete""Kita lihat sajalah negara-negara jiran kita Thailand, Indonesia dan Philippine, mereka juga mengamalkan sistem 2 parti.""
ReplyDeleteapa yang boleh dibanggakan dengan ketiga2 negara ini berkenaan dengan pelaksanaan sistem 2 parti?? maju? politik stabil?
Selama 14 tahun dalam BN, Maijol baru sedar menenai keadaan kemiskinan rakyat di Sabah, PATI dan sebagainya? hanya dekat2 PRU iaitu selepas pemilihan calon dibuat, baru dia ambil keputusan tinggalkan BN??
ReplyDeleteapakah selama 14 tahun berada dalam BN, Maijol telah bertungkus lumus mengatasi kemiskinan, masalah jawatan bagi KDM, masalah PTI dan pelbagai lagi isu yang menjadi alasannya meninggalkan BN? apakah bila dia menjadi wakil rakyat barulah dia mampu menguruskan masalah2 tersebut?
ReplyDeleteMaijol jadi wakil rakyat pun belum tentu dapt selesaikan masalah. Kenapa beliau tidak bersuara lantang sebelum ni? Perlukah keluar dari BN baru mahu bersuara?
ReplyDelete