Sunday 19 June 2011

NADI KEHIDUPAN KENINGAU TERANCAM



Oleh: KREW SABAHKINI.NET (BINGKOR)

SUNGAI Babayo merupakan ‘nadi kehidupan’ iaitu sumber air utama kepada penduduk di Keningau, terutama sekali kepada penduduk di Mukim Bingkor, Apin-Apin dan Keningau.

Sungai ini merupakan salah satu daripada sungai yang mempunyai kualiti air yang bermutu tinggi dan jernih di daerah Keningau sehingga menjadi tempat bagi penduduk kampung mendapatkan bekalan air bersih.

Selain untuk kegunaan pertanian dan pengairan, sumber air daripada sungai ini digunakan untuk memasak, membasuh, mandi, air minuman dan sebagainya.

Berikutan kebimbangan kerosakan dan pencemaran yang mungkin akan berlaku terhadap Sungai Bayayo, Ahli Jawatankuasa Pemikir, Koperasi Kelapa Sawit Kandang Besar Bhd. di Bingkor, Jonathan Likoh, menyuarakan pendapat beliau sewaktu ditemui baru-baru ini menyatakan bahawa; “perlu ada agen atau organisasi khas daripada pihak kerajaan untuk memantau perkembangan atau penerokaan hutan yang kian rancak diadakan di kawasan hulu Sungai Bayayo untuk menjaga dan memelihara bekalan sumber air di Bingkor.”

Katanya lagi, ketika ini boleh dilihat terdapat beberapa individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab telah mula meneroka kawasan hutan berbukit di sekitar hulu sungai Bayayo.

“Mereka ini telah mula meneroka hutan untuk tujuan perladangan seperti penanaman kelapa sawit secara besar-besaran dan sebagainya dengan sewenang-wenangnya tanpa membuat penilaian dan perancangan alam sekitar terlebih dahulu,” ujar Jonathan.

Aktiviti perladangan seperti ini, kata Jonathan, pada amnya dilihat amat menguntungkan dan dapat menjana pendapatan dan ekonomi di kawasan Bingkor. Namun terdapat pelbagai kesan buruk yang mungkin akan terjadi jika aktiviti penerokaan itu tidak dirancang dengan betul atau dilakukan dengan sesuka hati.

Menurut beliau, penerokaan hutan akan membawa kepada aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan. Ini akan menyebabkan kitaran hidrologi di kawasan penerokaan tersebut menjadi tidak stabil dan terjejas.

Aktiviti pembalakan, kata Jonathan, juga akan mengakibatkan kekurangan kadar susupan air ke dalam tanah dan seterusnya menurunkan kandungan paras air di dalam tanah tersebut sehingga menjejaskan kawasan tadahan air dan sumber bekalan air kepada sungai Bayayo.

“Kesan lain daripada aktiviti pembalakan ini juga akan menyumbang kepada kesan larian air permukaan yang akan membawa banyak lumpur atau kelodak ke dalam sungai,” kata Jonathan yang kesal kerana aktiviti haram berkenaan akan menyebabkan kualiti, kejernihan air dan sifat fizikal air terjejas serta akan menyebabkan mendapan sungai.

Katanya lagi, Sungai Bayayo yang merupakan sumber bekalan utama air kepada penduduk di Bingkor mungkin akan tercemar dan terjejas akibat daripada aktiviti penerokaan hutan tersebut, termasuk menghanyutkan bahan kimia dan racun serangga ke dalam sungai sehingga menjadi tempat pembuangan toksik.

“Diharap wakil-wakil rakyat kawasan DUN Bingkor, Liawan dan Parlimen Keningau serta agensi-agensi kerajaan dapat membendung perkara ini daripada berlaku. Sungai adalah khazanah alam sekitar yang harus dijaga untuk generasi kita di masa hadapan, bukan hanya untuk dihari tua pihak-pihak tertentu,” kata Jonathan lagi.

12 comments:

  1. Kerajaan negeri perlu mengambil perhatian akan hal ni dan segera mengambil tindakan yang sesuai.

    ReplyDelete
  2. Jagalah sungai kita dengan baik.

    ReplyDelete
  3. Jangan biarkan alam sekitar tercemar gara2 ingin mengaut keuntungan.

    ReplyDelete
  4. Aktiviti penerokaan hutan yang berhampiran dengan sungai Babayo perlu dirancang terlebih dahulu agar sungai ini tidak tercemar dan kualiti air tidak terjejas.

    ReplyDelete
  5. Pastikan kualiti air sungai ini tidak tercepat oleh sebab pembalakkan yang kiat giat berlaku di hulu sungai. Semoga pihak tertentu memantau perkara ini.

    ReplyDelete
  6. laporan harus dibuat kepada pihak berwajib agar tindakan susulan boleh dilakukan.

    ReplyDelete
  7. wakil rakyat di keningau serta ahli parlimen keningau harus segera memandang serius hal ini kerana jika dibiarkan akan memberikan kesan negatif kepada beribu-ribu penduduk keningau dan sekitarnya.

    ReplyDelete
  8. selain itu kerjasama antara penduduk dan kerajaan harus ada bagi memastikan sungai tersebut tidak terancam..

    ReplyDelete
  9. diharapkan perkara ini akan ditangani segera..

    ReplyDelete
  10. jgn biarkan penerokaan hutan mencemarkan sungai yang menjadi sumber kehidupan penduduk.

    ReplyDelete
  11. kalau kita lihat gambar diatas, kawasan ini lebih sesuai untuk industri pelancongan, bukannya perladangan.. industri pelancongan juga mampu memberikan pendapatan lumayan, peluang pekerjaan dan yang paling penting sekali mengekalkan sifat fizikal kawasan tersebut.

    ReplyDelete
  12. kawasan tersebut perlu dijaga dengan sebaiknya..

    ReplyDelete