Oleh : ALAN TING
GESAAN pihak tertentu agar
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan dan
rakyat negara ini diberi pendidikan tinggi percuma, mencetuskan perbahasan
dalam kalangan pelbagai pihak.
Hakikatnya, sejak PTPTN
diwujudkan pada 1997 mengikut Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
1997, kira-kira 1.93 juta pelajar telah mendapat manfaat daripadanya, seperti
yang dinyatakan Kementerian Pelajaran.
"Pada pendapat saya,
PTPTN membantu ramai pelajar, terutama mereka daripada keluarga miskin dan
mereka yang gagal mendapat biasiswa atau pinjaman daripada mana-mana persatuan
suku Cina dan pertubuhan sosial.
"Ternyata, PTPTN telah
memenuhi impian ramai belia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi
dengan menyelesaikan masalah kewangan mereka," kata Prof Madya UCSI Dr
Dominic Lau kepada Bernama baru-baru ini.
Malah, kata beliau, pinjaman
yang diberi PTPTN juga digunakan untuk membiayai perbelanjaan harian para
pelajar, di samping untuk menjelaskan yuran tuisyen mereka.
Lau berkata PTPTN memberi
pengecualian pembayaran balik pinjaman kepada mahasiswa yang menamatkan program
ijazah dengan memperoleh kepujian kelas pertama. Bagi yang lain pula,
pembayaran balik pinjaman hanya bermula enam bulan selepas mereka menamatkan
pengajian dan syarat ini meringankan beban para siswazah.
Timbalan setiausaha agung
Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Dr Chin Yew Sing pula berkata PTPTN
adalah sistem yang baik dalam membantu pelajar miskin melanjutkan pelajaran
kerana bukan semua pelajar mendapat biasiswa.
"Saya tidak bersetuju
kalau PTPTN hendak dihapuskan. Bagi kami, kami rasa, walaupun kerajaan mampu
memberi pendidikan tinggi secara percuma, ia tidak sepatutnya digalakkan.
"Kalau diberi percuma,
ramai pelajar tidak berasa bertanggungjawab untuk belajar dengan tekun. Biarlah
pelajar tahu bahawa pendidikan adalah suatu pelaburan yang perlu mereka buat
untuk masa depan mereka. Sekurang-kurangnya, dengan adanya PTPTN, pelajar akan
menghargainya," kata beliau kepada Bernama.
Chin berkata sesetengah ibu
bapa, yang tidak berkemampuan dari segi kewangan, dengan senang hati
membenarkan anak mereka bekerja sambilan untuk mencari wang dengan tujuan untuk
menyemai sikap bertanggungjawab anak mereka terhadap pelajaran.
"Lagipun, nilai yang
wujud dalam masyarakat Asia akan mendorong pelajar berkenaan membalas budi baik
yang mereka terima," katanya.
Tokoh pendidikan dari Pulau
Pinang Datuk Cheah See Kian berkata PTPTN adalah dasar yang baik kerana ia
membantu ramai rakyat Malaysia daripada kelas rendah dan menengah dalam
pelbagai kaum untuk mendapatkan pengajian tinggi.
Sekiranya pinjaman ini
dihapuskan, kata pengetua kehormat Kolej Han Chiang ini, ia bukan saja suatu
langkah yang tidak adil bagi mereka yang telah membayar balik pinjaman, tetapi
juga akan mempersendakan keseluruhan sistem pembiayaan pendidikan di negara
ini.
"Tidak banyak negara di
dunia yang menyediakan pinjaman pendidikan seperti Malaysia. Sekiranya
keputusan diambil untuk menghapuskan PTPTN dan memberi pendidikan percuma,
bagaimana pula halnya dengan mereka yang menuntut di sekolah, kolej dan
universiti persendirian dan swasta? Mereka tetap perlu membayar juga,"
katanya.
Beliau berkata kini terdapat
60 sekolah persendirian di seluruh negara, di samping 439 kolej dan 24
universiti swasta.
"Bagaimanakah untuk
meyakinkan mereka bahawa oleh kerana mereka tidak dapat ke universiti awam,
maka mereka tidak layak mendapatkan ini? Sistem PTPTN yang ada sekarang memang
adil, bayar balik setelah tamat pengajian," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, baru-baru ini menjelaskan
bahawa kerajaan memberi subsidi hingga 95 peratus bagi yuran tuisyen untuk
meringankan beban pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan mereka seharusnya
sedar akan subsidi yang diberi kerajaan itu.
Bagaimanapun, bagi ahli
ekonomi, satu perkara yang pasti ialah penghapusan pinjaman PTPTN akan memberi
bebanan dan mengurangkan sumber kerajaan.
Ketua ahli ekonomi RAM
Ratings Yeah Kim Leng berkata cadangan agar skim pinjaman itu dihapuskan akan
memberi kesan besar terhadap ekonomi kerana ia melibatkan sejumlah besar wang
yang akan dihapus kira.
"Jumlahnya bersamaan
dengan tiga peratus daripada KDNK pada 2011.
Menggunakan hasil minyak
untuk membiayai pendidikan akan menjejaskan program pembangunan ekonomi lain
untuk masyarakat.
"Kalaupun jumlah itu
dibiayai Petronas, perbelanjaan kerajaan untuk perkara lain seperti pendidikan,
penjagaan kesihatan, prasarana, pembangunan luar bandar dan kebajikan sosial
akan perlu dikurangkan," katanya kepada Bernama.
Beberapa ibu bapa dan
pelajar yang menggunakan pinjaman PTPTN berkata penekanan sepatutnya diberi
terhadap usaha menambah baik mekanisme kutipan balik pinjaman daripada mereka
yang tidak membayarnya dan bukan menghapuskan PTPTN.
Oleh itu, kenapa ada pihak
yang mahu meghapuskan PTPTN? (Bernama)
PTPTN perlu dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian.
ReplyDeleteIsu PTPTN ini semakin hangat diperkatakan. Harap isu ini akan dapat diselesaikan.
ReplyDeleteJangan mudah terpeengaruh dengan pembangkang.
DeletePTPTN hanya isu pembangkang saja untuk menarik perhatian rakyat
ReplyDeletekenyataan terbaru pemimpin2 pakatan yang kononnya mahu menghapuskan PTPTN telah mendedahkan sikap terdesak mereka.. rupanya mereka tidak berniat pun mahu menghapuskan pinjaman.. hanya pelajar2 IPTA sahaja yang diberikan pendidikan percuma, sebaliknya pelajar2 IPTS masih perlu memohon pinjaman.. adakah ini layak dipanggil pendidikan percuma??
ReplyDeletepelajar2 diseluruh Malaysia jangan mudah terpengaruh dengan janji2 puak terdesak ini.. sesungguhnya bukan semua pelajar akan menikmati pendidikan percuma.. seolah2 pelajar2 IPTS tidak membayar cukai sehingga hak mereka untuk mendapat pendidikan percuma dinafikan oleh pakatan..
ReplyDelete