Thursday 10 May 2012

SABAH AKAN TELITI KILANG SAWIT DI JAMBONGAN


 
Oleh : MUTALIB M.D

KERAJAAN Negeri Sabah akan meneliti asas tentangan Persatuan Tagal dan Persatuan Penternak Balat di Kampung Hujung Pulau Jambongan, Sandakan yang membantah pembinaan sebuah kilang kelapa sawit milik Genting Berhad kerana mereka khuatir akan menjejaskan hasil ternakan balat dan tangkapan ikan mereka.

Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun ketika dihubungi Sabahkini.net menegaskan pihaknya terutama Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah akan menjalankan pemantauan yang rigid ketika diminta mengulas bantahan penduduk kampung melalui dua NGO berkenaan.

"Kita akan meneliti asas bantahan tersebut agar kita berlaku adil kepada penduduk kampung dan syarikat yang memohon mendirikan kilang berkenaan," kata Masidi yang mengakui pihaknya telah menerima TOR EIA bagi tujuan Proposed Palm Oil Mill at Pulau Jambongan, Beluran, Labuk Sugut oleh Genting SDC Sdn. Bhd pada 22 Februari 2012.

"Sebarang permohonan akan melalui proses tapisan piawaian alam sekitar yang ketat dengan mengambil kira kedudukan Jambongan sebagai sebuah pulau yang berpotensi untuk pelancongan kerana terkenal dengan khazanah alam semula jadi," kata Masidi lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Tagal Kampung Hujung, Bitting Muniran ketika dihubungi Sabahkini.net menegaskan pihaknya menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah tidak meluluskan permohonan Genting Berhad untuk mendirikan kilang di Pulau Jambongan kerana pengalaman perit nelayan tradisi di kawasan yang mempunyai kilang kelapa sawit.

"Mula-mula mereka ikut peraturan tetapi penguatkuasaan yang longgar dan denda yang rendah menyebabkan banyak kilang menjadi penjenayah alam sekitar. Daripada kita berperang dengan mereka dan kerajaan, baik jangan luluskan. Kasihanilah kami nelayan tradisi yang hanya mengharapkan sumber laut untuk meneruskan kehidupan," rayu Bitting lagi.

Menurut Bitting, jika kilang sawit berkenaan diluluskan, sudah pastinya kehidupan nelayan di lima kampung akan terancam iaitu Kampung Melalin, Kampung Hujung, Kampung Bahanan, Kampung Tawakal dan Kampung Babagoh yang mempunyai penduduk seramai 500 orang.

Bitting yang mewakili lebih 70 penternak balat (sea cucumber) di Kampung Hujung menegaskan pihaknya telah dijemput berunding dengan Genting Berhad di Kuala Lumpur yang diwakili Ketua Kampung, Pengerusi JKKK dan anggota rombongan seramai empat orang.

Dalam perjumpaan dengan Naib Presiden Eksekutif (Perladangan-Malaysia), Haji Abd Halim bin Abd Majid pada 3 Mei lalu, pihaknya tetap tidak bersetuju dengan penjelasan dan aku janji Genting Berhad yang tidak memihak kepada mereka.

Oleh itu, kata Bitting, Eksekutif Genting akan mengadakan lawatan ke tapak kilang yang telah dibersihkan sejak beberapa bulan lalu untuk mengadakan rundingan lanjut dengan penduduk kampung pada 15 Mei akan datang.



Menurut Bitting, walaupun ladang sawit Genting Berhad di Pulau Jambongan seluas 3,711 hektar telah mengeluarkan hasil, namun memandangkan Genting telah memiliki enam buah kilang di Sabah, maka mereka boleh mengangkut buah tandan segar mereka ke kilang berdekatan seperti yang mereka lakukan selama ini iaitu ke kilang mereka di Paitan.

"Mendirikan sebuah lagi kilang sawit di Jambongan seolah-olah membunuh kehidupan penyambung generasi kami. Kalau boleh mohonlah batalkan demi kebaikan semua," kata Bitting yang memaklumkan bahawa enam buah kilang sawit milik Genting ialah Genting Sabapalm Oil Mill, Genting Mewah Oil Mill, Genting Trushidup Oil Mill, Genting Tanjung Oil Mill dan Genting Indah Oil Mill.

Bitting turut mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah, terutama Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun agar turun padang meninjau dan berdialog dengan mereka dan meneliti memorandum bantahan yang mereka kemukakan pada 20 April 2012.

"Kita serius dengan bantahan kita dan kita minta semua pihak menghormati keputusan kita mengenai perkara ini melainkan jika ada alternatif lain yang menguntungkan nelayan tradisi," ujar Bitting.

12 comments:

  1. hal ini kena diteliti, kepentingan penduduk tempat kena diambil kira, jgn kerana kilang tersebut penduduk hilang sumber pendapatan.

    ReplyDelete
  2. Kerajaan harus memikirkan kesan jangka masa panjang ke atas alam sekitar dan penduduk berdekatan jika projek ini diteruskan.

    ReplyDelete
  3. Pujian diberikan kepada kerajaan negeri kerana mengambil inisiatif untuk pertimbangkang sebaik-baiknya projek ini dan tidak hanya mengejar keuntuungan semata-mata.

    ReplyDelete
  4. Keindahan alam sekitar harus dijaga.

    ReplyDelete
  5. Cadangan membina kilang sawit ini akan dikaji semula. Ini kerana aduan dan bantahan yang dibuat oleh penduduk kampung. Ini kerana risau menjejaskan kehidupan dan pencemaran kawasan tersebut

    ReplyDelete
  6. Ini demi kebaikkan penduduk dikawasan tersebut. Maka cuba buat perbincangan dengan penduduk bagi mengatasi masalah ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amat setuju demi menyuntik sumber ekonomi kepada masyarakat setempat

      Delete
  7. janganlah periuk nasi orang lain terjejas hanya kerana sebuah kilang..

    ReplyDelete
  8. apa2pun, saya yakin kilang ini akan menerima nasib yang sama seperti logi arangbatu.. kerajaan negeri pasti akan membuat pertimbangan yang memihak kepada penduduk sekitar dan juga alam sekitar..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pihak kerajaan negeri perlu meneliti perkara tu. Utamakan rakyat Sabah dan kebersihan alam semula jadi

      Delete
  9. Lebih baik tutup saja tu kilang, sekiranya memberi banyak keburukan

    ReplyDelete
  10. Jika kajian telah dilaksanakan mematuhi kajian EIA, maka perkara ini perlu diteruskan agar ia memberi manafaat kepada sumber pendapatan pekerjaan dan mengurangkan penghijrahan ke bandar.

    ReplyDelete