SETIAUSAHA Persekutuan Sabah,
Datuk Khazali Ahmad (kiri) dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja
Malaysia yang baru mulai 22 Jun ini bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khalid
Yusuf (kanan) yang menamatkan perkhidmatan.
Ketua Setiausaha Negara Tan
Sri Mohd Sidek Hassan, yang mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan hari
ini berkata, pelantikan Khazali sebagai Ketua Pengarah Kastam yang baru, dibuat
berdasarkan kelayakan, pengalaman, dan prestasi cemerlang beliau dalam bidang
ekonomi, pengurusan cukai dan kewangan di sepanjang karier perkhidmatan beliau.
Katanya sebelum dilantik
sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah, Khazali merupakan Timbalan Ketua Pengarah
(Pengurusan) di Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Khazali, 56, berkelulusan
Ijazah Sarjana Ekonomi dari Central State University, Oklahoma, Amerika
Syarikat; dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Pertanian dari
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau menyertai
perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Dis 1981.
Sementara itu, Mohd Sidek
turut mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abu Bakar Hassan
sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah yang baru mulai 22 Jun ini bagi
menggantikan Khazali.
Abu Bakar, 57, berkelulusan
Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara dari Universiti
Malaya.
Beliau menyertai
perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 Nov 1979, dan
berpengalaman dalam bidang pentadbiran negeri dan wilayah serta pengurusan
kerajaan tempatan menerusi karier perkhidmatannya.
Mohd Sidek turut merakamkan
penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Khalid atas sumbangan dan khidmat
bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama 35 tahun, terutama
sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam. (Bernama)
No comments:
Post a Comment