Thursday, 23 August 2012

2,000 TASKA MASIH TAK BERDAFTAR



           
Oleh : NORSHAZLINA NORAZMAN
             
PUSAT jagaan atau taska yang beroperasi tanpa lesen serta penggunaan pengasuh tidak berkemahiran menjadi antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan kematian bayi di taska.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Shamsinah Che Shariff berkata kebanyakan kes kematian bayi berlaku di rumah taska yang tidak berdaftar serta diurus oleh suri rumah.

Beliau berkata buat masa ini dianggarkan terdapat kira-kira 3,000 taska dan pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara namun hanya sekitar 1,000 sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kebanyakan kes kematian seperti yang berlaku di Putrajaya...bayi diasuh suri rumah yang tidak terlatih, menjadikan rumah sendiri yang tidak didaftarkan sebagai tempat untuk menjaga bayi dan kanak-kanak," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata statistik JKM mendapati seramai enam bayi meninggal di dalam taska pada tahun lepas manakala pada tahun ini sehingga Julai sahaja, tujuh kes kematian bayi dilaporkan.

"Kita lihat ada peningkatan kes dan ia amat membimbangkan. Kita tidak mahu bayi terus dijaga oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak mengikut piawaian ditetapkan," katanya sambil menambah kematian yang berlaku di taska berdaftar hanya lapan peratus daripada jumlah itu.

Shamsinah berkata punca kematian bayi di taska bukan sahaja disebabkan tersedak susu tetapi juga akibat berlaku hentakan di kepala yang dipercayai akibat penggunaan buaian.

"Kita dapati ramai pengasuh di taska tidak berdaftar ini menggunakan buaian bagi menidurkan bayi sedangkan JKM mengharamkan penggunaan buaian di taska kerana dikhuatiri berlaku goncangan kuat yang boleh membahayakan bayi dan mengakibatkan hentakan di kepala yang kita panggil 'shaken baby syndrom'," katanya.

Beliau menyeru para pengasuh yang mengambil lebih daripada tiga bayi atau kanak-kanak untuk dijaga agar mendaftar dengan JKM supaya mereka dapat dilatih dengan cara pengasuhan kanak-kanak yang betul dan selamat.

Shamsinah turut mencadangkan JKM agar mewajibkan mereka yang menjaga walaupun seorang bayi untuk mendaftar secara ringkas agar boleh mengambil kursus berkenaan sekaligus dapat memantau keadaan pusat jagaan tersebut.

Katanya PPBM telah memberikan latihan 'Kursus Asas Kanak-Kanak' kepada lebih 3,000 pengasuh berdaftar sejak tahun 2000 dan kesemua mereka menunjukkan perbezaan yang amat ketara selepas menyertai latihan.

"Harap ramai lagi pengasuh dapat menjalani latihan di PPBM dan kita harap kerajaan juga akan dapat memberikan latihan secara percuma kepada mereka...PPBM sudah buat pilot projek dengan memberi latihan dan alatan permainan percuma.

"Latihan tersebut dijalankan selama lima hari dan mereka diberi alat bantuan mengajar termasuk permainan bersesuaian yang berharga RM500 serta diberi mentor untuk memantau dan membimbing mereka dalam mengadakan aktiviti perkembangan menyeluruh kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata pemantauan yang dilakukan mendapati pengasuh yang menjalani latihan berupaya mengubah pendekatan dari segi asuhan, didikan, makanan, kepelbagaian aktiviti malah sudah tidak malu untuk menyanyi dan bercerita kepada kanak-kanak.

"Malah pengasuh di rumah kini turut mengajar kanak-kanak membersihkan diri, melipat baju, menyapu rumah, memotong sayur dengan cara mematah-matahkan menggunakan jari dan tidak lagi hanya mengajak tidur atau menonton televisyen setiap hari," katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar menghantar anak mereka ke taska yang berkualiti dan berdaftar serta mempunyai pengasuh terlatih mengelakkan masalah dan kejadian tidak diingini.

"Perkembangan kanak-kanak sangat kritikal pada usia empat tahun pertama, mereka lebih cepat belajar dan ingat, maka pilih taska yang 'ajar bagai guru, asuh bagai ibu' yang membimbing dengan kasih sayang dan menggunakan bahasa yang baik untuk perkembangan bahasa dan sikap," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment