Oleh : ZULKIPLE IBRAHIM
"KETIKA itu saya di
darjah empat. Cikgu beritahu saya kena pakai unifom sekolah bersih dan kena
hadir di padang sekolah esok pada pukul 7.30 pagi.
"Esoknya, saya dan
rakan lain beratur di padang. Kami diberikan bendera kecil Malaysia dan wang 50
sen. Barulah kami tahu yang kami terlibat dalam perbarisan Hari Merdeka
peringkat daerah," cerita Dr Ibrahim Jumat kepada penulis di Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Bagi generasi peringkat usia
pegawai perubatan yang berumur 51 tahun itu, ramai yang tidak mengerti apa itu
maksud Merdeka masa mereka di alam kanak-kanak.
Hanya bila usia meningkat
dewasa baru mereka tahu apa itu sebenarnya pengertian Merdeka.
Dan bila (Dr) Ibrahim dan
rakan sebayanya meningkat dewasa barulah mereka mengerti dan memahami apa itu
sebenarnya pengertian Merdeka, mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu
kebangsaan Negara Ku serta melafazkan ikrar Rukun Negara semasa perhimpunan
sekolah.
"Walaupun ketika di
universiti, saya dan rakan-rakan tetap bangga dengan Hari Merdeka," terang
beliau.
Bagi Dr Ibrahim, yang
mempunyai ijazah sarjana muda dan sarjana dari seberang laut, rakyat Malaysia
akan tetap mempunyai semangat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.
"Penting bagi
mengembalikan semangat Merdeka yang sebenar, dengan cara yang betul dalam menggalas
dan mempelajari pengajaran darinya. Ada banyak cara masyarakat boleh merayakan
Hari Merdeka.
"Harus diingat Merdeka
bukanlah sesuatu yang senang dicapai," terang Dr Ibrahim.
Sesuatu dalam hidup tetap
mempunyai harga yang perlu dibayar dan perjuangan generasi dulu bukannya mudah
untuk 'dibayar'.
"Generasi muda perlu
lebih memahami, daripada hanya merayakan. Mereka perlu mengambil kesempatan
daripada apa-apa manfaat dan kemudahan yang disediakan kerajaan kini.
"Apa yang mereka ada
sekarang adalah hasil daripada satu perjuangan yang memakan masa dan usaha yang
lama dan besar.
"Tiada yang percuma di
dunia ini, termasuk dalam mencapai kemerdekaan," kata beliau.
Hari
kemerdekaan
Tahun ini Malaysia akan
merayakan ulang tahun ke-55 Hari Merdeka pada Jumaat 31 Ogos. Hari Merdeka
dirayakan di seluruh negara dari bulan Ogos hingga pertengahan September.
Tema perayaan Hari Merdeka
tahun ini adalah 'Janji Ditepati'.
Wira
Menurut para sejarahwan,
wujudnya ramai pahlawan yang berjuang untuk kemerdekaan termasuklah patriot
seperti Lt Adnan Saidi yang maut dalam pertempuran Perang Dunia Kedua di
Singapura pada tahun 1942.
Pertempuran di Bukit Candu,
Pasir Panjang, Singapura antara askar Regimen Melayu dan tentera Jepun dianggap
sebagai satu peristiwa penting dalam mempertahankan benteng terakhir sebelum
Malaya jatuh ke tangan tentera Jepun.
Lt Adnan, yang ketika itu
berusia 27 tahun, terbunuh ketika memimpin sekumpulan kecil askar Melayu menentang
serangan Jepun.
Mereka telah berjaya
mematahkan serangan Jepun beberapa kali tetapi dalam pertempuran terakhir
mereka diatasi oleh jumlah tentera Jepun yang besar.
Lt Adnan gugur dalam keadaan
yang menyedihkan dengan tentera Jepun menggantung mayatnya pada dahan pokok dan
menikamnya bertubi-tubi menggunakan benet sebagai amaran kepada yang lain apa
akibatnya jika mereka menentang Jepun.
"Jika ada 10 Lt Adnan,
belum tentu Malaya jatuh ke tangan Jepun," itulah kata-kata Jen Yamashita,
yang juga dikenali sebagai 'Harimau Malaya' tentang keberanian ditunjukkan oleh
Lt Adnan dalam mempertahankan Tanah Melayu sehingga ke titisan darahnya yang
terakhir.
Peristiwa sebegini perlu
disematkan dalam diri setiap generasi yang ada dan patriotisme dan perjuangan
yang ditunjukkan oleh wira dan pahlawan negara boleh dijadikan iktibar.
Kata Dr Ibrahim, belia di
masa kini perlu mencontohi semangat seperti yang ditunjukkan Lt Adnan dalam
memastikan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati semua berterusan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment