Friday, 24 August 2012

LALUAN MAUT DI CENTREPOINT KOTA KINABALU?



Saudara Pengarang,

Di ruangan ini, saya ingin menarik perhatian para pembaca dengan berbicara soal keselamatan. Apatah lagi dalam suasana masih merayakan hari lebaran ini, pastinya hidup kebanyakan daripada kita tidak lari daripada menggunakan jalanraya.

Saya ingin mengimbau kejadian malam Ramadhan yang baru berlalu. Kejadian bapa saya dilanggar kereta di Jalan Coastal, antara bangunan Center Point dengan Asia City.

Laluan ini merupakan laluan utama/lebuhraya yang biasanya pemandu-pemandu memandu kenderaan sangat laju. Sudah sampai masanya laluan ini dibina jejantas pejalan kaki. Ini soal keselamatan pengguna jalanraya ini yang sudah tentu amat ramai apatah lagi menjelang musim-musim perayaan.

Apabila melihat bantuan-bantuan kerajaan menjelang pilihanraya umum akan datang, saya berfikir alangkah baiknya jika jejantas pejalan kaki dapat dibina sekarang ini. Ia sangat penting kerana ia membabitkan soal keselamatan rakyat. Keselamatan merupakan perkara yang sangat diharapkan oleh rakyat daripada sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengajak para pembaca untuk merenung sejenak agensi yang bertanggungjawab soal keselamatan rakyat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selepas kemalangan akibat dilanggar kereta ketika melintas jalan (Jalan Coastal) pada 20 Julai 2012, bapa saya menderita akibat kecederaan kepala yang serius sehingga menyebabkan beliau lumpuh.

Kami sekeluarga amat bersedih dengan peristiwa ini. Tetapi apa yang lebih menambahkan lagi kesedihan kami ialah soal layanan pihak polis terhadap kami. Ketika anak perempuan saya cuba membuat laporan polis, polis yang bertugas mengambil laporan pada masa itu ialah Sarjan Amin Jalil telah mengeluarkan kata-kata yang pada saya amat biadap dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang polis.

Beliau telah berkata “Oh, itu memang laluan bunuh diri!”. Anak perempuan saya yang masih dalam keadaan gelisah kerana kami menanti berita keadaan bapa di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), menyebabkan anak saya terus keluar dan tidak dapat meneruskan laporan pada masa itu.

Akhirnya, selepas bapa saya ditempatkan di Wad Unit Rawatan Rapi, HQE II, hampir Subuh, saya bersama anak perempuan saya dan adik lelaki saya datang kembali ke Balai Polis Trafik Kota Kinabalu untuk membuat laporan.

Sekali lagi, kami amat terkejut dengan layanan pihak polis terutamanya Pegawai Penyiasat kes ini iaitu Sarjan Mallianus Kanor. Kami datang berjumpa dengan beliau kerana anggota polis yang mengambil laporan pada waktu itu menyuruh kami merujuk kepada beliau.

Beliau dengan kasar berkata “Hah, apa lagi, buatlah laporan di luar dulu”.

Nasib sungguh baik, anggota polis yang bertugas mengambil laporan pada waktu itu, (hampir Subuh) amat baik melayan kami. Terubat sedikit kelukaan. Selepas membuat laporan, kami berjumpa kembali dengan Sarjan Mallianus Kanor.

Saya terkejut untuk kali yang kedua apabila masuk ke bilik beliau. Sangat kotor mengalahkan sarang penagih dadah. Dengan habuk rokok bertaburan di mana-mana. Bahkan lantai juga tidak bersapu. Saya terfikir, anggota polis sebegini, bagaimana boleh berpangkat Sarjan?

Hampir saya tidak yakin untuk berurusan dengan beliau tetapi kerana kami ini orang kampung, mana ada pilihan lain. Ini sahaja peluang yang kami ada untuk memastikan hak kami sebagai rakyat tetap terjamin.

Selesai diambil keterangan, Sarjan Mallianus Kanor memberi jaminan kepada kami yang beliau akan menghubungi kami selepas dua atau tiga hari. Sebelum kami berlalu, beliau sempat memberitahu, bahawa syarikat insurans sudah menghubungi beliau berkaitan kes kami. Malah beliau berkata “Senang saja mahu urus pampasan”.

Nampak sangat bahawa beliau cuma memikirkan soal ‘kebajikan’ kewangan tetapi soal keselamatan jauh sekali. Kami mahu memastikan orang yang melanggar bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kejadian ini tetapi juga diberikan ‘hukuman’ sewajarnya agar orang lain tidak lagi menjadi mangsa.

Selepas hampir dua minggu, akhirnya kakak saya menerima panggilan daripada Sarjan Mallianus Kanor. Lebih memedihkan hati, selepas bertanya keadaan bapa, beliau menjawab “Oh, cedera kepala saja”. Tidakkah beliau tahu bahawa kecederaan kepala merupakan kecederaan yang amat serius?

Apa yang menjadi persoalan kami ialah, bagaimana seorang penyiasat dapat menyelesaikan kes seperti ini tanpa hadir melihat keadaan mangsa? Kami sengaja menanti sehingga sebulan untuk melihat sejauh mana efisiennya tindakan pihak polis dalam kes ini.

Sayang sekali, hanya sekali panggilan telefon yang menyakitkan dan tanpa lawatan walaupun sekali daripada pihak penyiasat. Jika beginilah cara pihak polis menjalankan tugas, pastilah kejadian kemalangan akan terus meningkat di negara kita.

Nampak jelas kelemahan penguatkuasaan dan ketegasan dalam menyelesaikan kes seperti inilah yang menyebabkan samseng jalanan berleluasa dan bermaharajalela di jalanraya.

Kepada yang melanggar iaitu Raymond Teo Phui Vun, jika diberikan pilihan, siapa pun tidak akan memilih untuk melanggar seorang tua berumur 84 tahun melintas jalan. Tetapi kecuaian anda menjadi kekesalan kami.

Bapa kami yang masih sihat dan cergas kini hanya mampu berbaring dengan ingatan yang samar-samar. Di pagi Hari Raya ini kami sekeluarga menitiskan airmata. Sedangkan anda tanpa rasa sedikit pun bersalah, langsung tidak hadir atau menghantar wakil untuk menjenguk keadaan bapa kami di hospital.

Kehadiran anda pasti sedikit sebanyak mengubat kemarahan kami. Kita ini manusia biasa seharusnya punya hati dan perasaan. Tetapi mungkin anda hanya berasakan bahawa anda cuma melanggar seekor anak kucing.

Soal benar atau salah, saya sudah mula meraguinya kerana anda berjaya membuat laporan lebih awal dan selepas anda membuat laporan, kami mendapat layanan ‘hebat’ daripada pihak polis.

Mungkin kami ini keluarga miskin dan tidak mendapat tempat lagi dalam masyarakat. Tetapi kami ingin memberitahu anda, kami bersedia untuk memastikan hak kami terbela agar keadilan dapat ditegakkan demi bapa yang kami sayangi.

Tujuan saya mengambil keputusan menulis di ruangan ini semata-mata dengan niat ikhlas untuk membangunkan pihak-pihak yang tidur atau ditidurkan daripada mengendalikan kes seumpama ini dengan sewajarnya apatah lagi yang melibatkan golongan marhaen seperti kami. Bahkan kami juga ingin memberikan isyarat bahawa dunia ini semakin kecil untuk kita bersembunyi atau lari daripada tanggungjawab.

Yang benar,

ROBIA ABDULLAH.

(NOTA : Kejadian berlaku lebih kurang jam 7.30 malam, bapa saya berpimpin tangan dengan anak perempuan saya berumur 19 tahun. Bapa saya memakai kaca mata. Jelas pada waktu melintas, isyarat pejalan kaki berwarna hijau. Mereka telah berjaya melintasi dua lorong. Namun di lorong yang terakhir, menghampiri bahu jalan, sebuah kereta Wira SE bernombor JJM5901 dari arah kiri meluru laju lalu merempuh bapa dan anak perempuan saya. Nasib agak baik anak perempuan saya hanya cedera ringan. Tetapi bapa saya dirempuh dari bahagian kanan kereta. Malah pemandu kereta tidak berusaha memperlahankan kereta kerana tiada kesan brek di kawasan kejadian. Saya dan anak-anak saya yang lain berada tidak jauh dari belakang mereka pada waktu itu. Selepas kejadian, orang ramai mengambil kunci kereta itu dan diserahkan kepada saya kerana menurut mereka, pemandu cuba melarikan diri).

6 comments:

  1. Mungkin penyediaan jejantas perlu di laluan tersebut. Tambahan lagi itu menjadi laluan utama pengunjung.

    ReplyDelete
  2. Memang banyak jejantas diperlukan dibina sekitar KK kerana kesesakan yang berlaku. mungkin flyover pun akan dibina lebih banyak di masa akan datang.

    ReplyDelete
  3. Semoga peruntukan dapat diperolehi dengan segera bagi pembinaan kemudahan ini.

    ReplyDelete
  4. dengan berkembangnya penggunaan teknologi maklumat hari ini, eloklah penjawat2 awam terutamanya anggota polis menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih profesional.. bukannya sambil lewa..

    ReplyDelete
  5. kepada keluarga mangsa, teruskan bersabar dan saya harap pihak yang melanggar itu akan dikenakan tindakan tegas setimpal dengan kesalahan yang dilakukan..

    ReplyDelete
  6. ya.. patut ada jejantas di kawasan tersebut.

    ReplyDelete