Monday, 6 June 2011

BENARKAH RAKYAT SABAH HILANG PATRIOTIK?


NASIB....Apakah nasib 20 Perkara menjadi seperti wang kertas RM20 yang jarang terdapat di pasaran!

Oleh : MUTALIB M.D

ISU 20 Perkara yang menjadi ‘kunci penjara’ kepada Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan mungkin ‘signal maut’ buat Tun Fuad Stephens; mungkin hanya isu politik yang sukar untuk dituntut secara sah melalui undang-undang kerana tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mustahil bagi 222 Ahli Parlimen Malaysia termasuk Pembangkang tidak menyedari peri pentingnya isu ‘20 Perkara’ yang dikatakan menjadi ‘Batu Asas’ untuk mendirikan Perlembagaan Persekutuan, kini hanya menjadi isu politik yang hanya muncul setiap kali menjelang pilihanraya umum; seolah-olah rakyat Sabah hilang semangat patriotik.

Dari segi hakikat, kedudukan Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan hanyalah setaraf sebuah negeri di Malaysia seperti Perlis; wal hal dari segi sejarah dan politik, Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi sama rata iaitu 33.33 % dengan Malaya setelah Singapura keluar daripada Gagasan Malaysia.

Usaha Sabahkini.net untuk mendapatkan pandangan rakyat Sabah nampaknya gagal kerana daripada 270 komen setakat jam 10.19 pagi 6 Jun 2011, hanya beberapa komen sahaja yang boleh diterima pakai sebagai hasrat hati rakyat Sabah untuk dimuatkan dalam ‘Memorandum Khas Kepada Perdana Menteri’, manakala selebihnya adalah ‘monolog’ yang disuarakan dalam bentuk tulisan melalui komen.

Jika ada sambutan hangat, (tanpa mementingkan hadiah yang ditawarkan-RM5,000 kepada komen terbaik-Panel Hakim orang Sabah sendiri), Sabahkini.net akan mengadakan ruangan khas di sudut atas bagi memudahkan rakyat Sabah memberi komen secara tulus ikhlas cara terbaik menuntut 20 Perkara melalui kaedah undang-undang; bukannya maki hamun atau keluhan semata-mata.

Komen yang diperlukan, bukannya menyenaraikan 20 Perkara, tetapi mengulas sama ada 20 Perkara masih relevan dari aspek undang-undang dan bagaimana merealisasikannya di Parlimen agar Hari Malaysia yang telah diwartakan dan makna ‘Persekutuan’ di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Sabah dan Sarawak.

Sabahkini.net juga mengalu-alukan komen daripada pemimpin NGO untuk menambah baik peranan 25 Ahli Parlimen dan 60 Adun di Sabah dalam memperjuangkan 20 Perkara yang disisihkan sejak 1963!

Buat masa ini, sila klik MASIH RELEVANKAH 20 PERKARA? Untuk memberi komen sehingga 31 Ogos 2011. Jika sambutan hangat, Sabahkini.net akan menyediakan ruangan khas bagi membolehkan rakyat Sabah membicarakan isu 20 Perkara secara bebas, bernas dan bermatlamat.

No comments:

Post a Comment