BUSUK.....Kini busuk, kotor dan menjengkelkan begitu sinonim dengan Bandar Sandakan, mungkin kerana Presidennya lebih suka memerap di bilik hawa dingin daripada memantau kerja kakitangannya.
Oleh : SHAIMON S JUMADI
TERDAPAT lubang besar di atas jalanraya berdepan Pasar Ikan Bandar Sandakan yang sekian lama tidak disenggelarakan oleh pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan seolah-olah dibiarkan begitu saja; menjadi penyebab punca air bertakung sehingga mengeluarkan bau busuk yang bukan alang kepalang.
Secara kebetulan wartawan pergi ke pasar tersebut untuk membeli ikan dan sayur-sayuran kelmarin, terserempak dengan lubang besar tersebut lantas menemui beberapa orang penjaja sayur dan ikan. Mereka memberitahu bahawa lubang besar itu sudah hampir lima bulan tidak disenggelarakan oleh pihak MPS.
Kata mereka lagi, di pasar itu ada Unit Penguatkuasa MPS termasuk Mandur, Merinyu Kebersihan dan Merinyu Kesihatan, mustahil tidak menyedari situasi di sekeliling pasar tersebut, terutama sekali adanya lubang besar yang dipenuhi air busuk bertakung di hadapan mata kepala.
“Jangan Tanya kami kenapa lubang yang ada ‘minyak wangi’ tersebut tidak diurus, tanyalah Presiden MPS yang mungkin sedang nyenyak tidur di bilik aircondnya,” ujar seorang penjual kuih yang enggan memberitahu namanya kerana bimbang dimarahi Merinyu Pasar.
Ekoran kegagalan MPS menyelenggarakan lubang besar yang dipenuhi air busuk itu, sedikit sebanyak telah mencemarkan dan benar-benar menjejaskan nama baik bandar Sandakan di mata para pelancong asing yang sering pergi ke pasar tersebut.
Sabahkini.Net difahamkan bahawa MPS telah melantik beberapa buah kontraktor untuk kerja-kerja pengendalian, khusus memungut sampah, memotong rumput dan penyenggelaraan lain, tetapi entah kenapa salah satu kontraktor tidak diberi peluang menjalankan kontrak khidmat penjagaan kebersihan.
Manakala seorang Pelancong Jerman, Schrek Markozec, 46, agak kecewa kerana Bandar Sandakan tidak lagi bersih seperti dahulu terutama di kawasan pasar dan laluan awam disebabkan sikap penduduk Sandakan meremehkan kebersihan.
“Presiden MPS wajar melihat kebersihan Bandar Kuching Utara dan Pulau Pinang yang sentiasa segar dan bebas daripada sampah sarap dan bau busuk,” ujar Schrek yang kesal kerana kegiatan menjual telur penyu masih berleluasa di Sandakan tanpa sebarang pemantauan pihak berkuasa.
Schrek yang seringkali melawat Sandakan untuk memancing dan Jungle Tracking, mengakui Sandakan adalah kaya dengan biodiversiti alam semula jadi tetapi gagal dipasarkan dengan sempurna oleh Kementerian Pelancongan dan pihak berkuasa tempatan sehingga ramai pelancong beralih ke Langkawi dan Miri.
No comments:
Post a Comment