Wednesday 8 August 2012

HANYA TRIBUNAL BOLEH PECAT AG





Oleh : HAFIZ YATIM

BEKAS Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim mempersoalkan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melantik panel bagi menyiasat dakwaan yang dibuat terhadap Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mat Zain memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau terkejut dengan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull bahawa suruhanjaya itu pernah membentuk sebuah panel untuk menyiasat AG.

Shukri, ketika ditanya sama ada SPRM boleh mengambil tindakan tindakan terhadap Peguam Negara, berkata berkata suruhanjaya itu pernah menubuhkan sebuah panel tiga anggota untuk menyiasat AG berhubung kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hal itu, Mat Zain berkata, Jabatan Peguam Negara sendiri tidak mempunyai hak atau kuasa untuk melantik panel seumpama itu, terutama ia membabitkan AG yang masih berkhidmat.

Menurutnya, yang boleh melantik panel yang dipanggil 'tribunal' untuk mengadili tingkah laku seseorang AG hanyalah Yang di-Pertuan Agong, seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama dengan Perkara 145 (6) dan mestilah atas nasihat Perdana Menteri.

'Merebut kuasa Agong'

Katanya, jika sekarang SPRM berkata ia telah melantik sebuah panel untuk mengadili tingkah laku Peguam Negara, bermakna ia telah merebut kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimana mungkin? Ia tidak masuk akal. SPRM tidak mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalan atau memberhentikan prosiding jenayah terhadap mana-mana individu seperti Peguam Negara.

"Bagaimana ia boleh mempunyai kuasa untuk melantik sebuah panel bagi menyiasat Gani?" soal Mat Zain.

Mat Zain dan bekas Pengarah Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff telah menggesa supaya sebuah tribunal ditubuhkan untuk menyiasat pelbagai dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dibuat terhadap Gani.

Aduan Ramli terhadap Peguam Negara itu mengenai isu 'Copgate'.

Mat Zain mengulas mengenai siasatan SPRM berkaitan Ho Hup Construction Bhd yang dikatakan ada kaitan dengan Gani.

SPRM berkata ia bebas dalam menjalankan siasatan dan juga boleh melantik sebuah panel untuk menjalankan siasatan.

Dalam kes Ho Hup, Gani dikatakan memihak kepada bekas timbalan pengerusi eksekutif syarikat tersebut, Vincent Lye, yang berasal dari Sabah, dan sebagai balasannya didakwa menerima RM18,000 untuk mengubahsuai sebuah banglo di Seremban.

No comments:

Post a Comment