Monday, 2 April 2012

16 DIBERKAS DALAM ‘OPS SAYANG’

Oleh : WILLIE JUDE JUNAIDI

SERAMAI 16 warga asing termasuk 15 wanita diberkas penguatkuasa Jabatan Imigresen selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dalam satu operasi khas yang buat di sebuah pusat hiburan serta sebuah pusat refleksologi di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Daripada jumlah yang ditahan itu, 14 orang termasuk seorang lelaki merupakan warga Filipina manakala dua lagi wanita masing-masing berasal dari China dan Vietnam.

Difahamkan, kesemua wanita yang berumur antara 19 hingga 45 tahun itu ditahan kerana bekerja di pusat hiburan serta pusat refleksologi tanpa permit yang sah dan tidak memiliki dokumen manakala lelaki terbabit ditahan kerana dipercayai menjadi penjaga kepada kesemua wanita itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Mohammad Mentek berkata operasi khas yang dipanggil ‘Ops Sayang’ itu dibuat untuk mengesan seterusnya menahan warga asing yang bekerja di pusat hiburan serta pusat refleksologi tanpa permit yang sah.

“Dalam serbuan kita seramai 15 wanita dan seorang lelaki warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan mereka untuk bekerja di negeri ini selain ada beberapa yang tidak memiliki sebarang dokumen.

“Tiga daripada wanita yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas manakala selebihnya disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) akta yang sama kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Mohammad, berkata operasi serupa akan terus dibuat dari masa ke semasa untuk mengesan sekaligus menahan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. (Utusan Borneo)

No comments:

Post a Comment