Monday, 23 April 2012

MENTERI KABINET SABAH TERLIBAT KEMALANGAN



MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun terlibat dalam kemalangan apabila kereta yang dinaikinya terbabas berdekatan Hotel Airport View, di KM6, Jalan Kepayan di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, kereta yang dipandu pemandunya, Yousriesyah Hujin, 33, tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke arah bertentangan dan melanggar besi penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi, ketika ditemui pemberita di Hospital Queen Elizabeth 2, Luyang di sini, mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Sek 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis menerima laporan kemalangan di hadapan Hotel Airport View yang difahamkan waktu itu hujan lebat. Kemalangan berlaku ke atas seorang menteri kabinet Sabah yang hanya membabitkan sebuah kereta," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Yusof Ibrahim ketika ditemui hospital berkata Azizah dilaporkan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman.

"Keadaannya stabil...sekarang, kita memberinya (Azizah) berehat," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata Yousriesyah kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 dekat sini dan keadaannya juga stabil manakala pengawal keselamatan Sairun Hamid, 51, masih memerlukan rawatan rapi.

"Beliau (Sairun) kini masih berada di dalam bilik pembedahan dan kita masih berusaha memberhentikan pendarahan yang dialami Sairun," katanya.

Difahamkan Sairun yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat tersepit yang memerlukan pembedahan.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Awam menteri itu, Faizal Arshad berkata Azizah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 pukul 8 pagi sebelum dipindahkan di Hospital Queen Elizabeth 2, Luyang kira-kira pukul 11 pagi.

Faizal berkata ketika kejadian, Azizah sedang dalam perjalanan menuju ke Beaufort untuk menyempurnakan beberapa program penting termasuk merasmikan mesyuarat Umno kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, di Kampung Lajau, Gadong di Beaufort.

Menurutnya, Azizah juga dijadualkan merasmikan acara sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di River Park Hotel, Beaufort. (Bernama)

8 comments:

  1. Syukur semuanya selamat. Semoga mereka tidak alami kecederaan yang seius.

    ReplyDelete
  2. Keadaan kereta di dalam gambar sangat teruk. Kena lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan hujan lebat.

    ReplyDelete
  3. Setiap pemandu harus menunpukan semua perhatian semasa memandu

    ReplyDelete
  4. Mujur kecederaan tidak teruk sangat. kena lebih berhati2 di masa akan datang.

    ReplyDelete
  5. syukurlah dia selamat.

    ReplyDelete
  6. Yang penting keadaan mangsa dalam keadaan yang stabil.

    ReplyDelete
  7. syukur la.. yang penting semuanya selamat..

    ReplyDelete