PEMUDA Barisan Nasional (BN) Sabah akan memperhebatkan usaha bagi melahirkan lebih ramai pemidato berkualiti yang mampu menangkis serangan politik pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemuda BN Sabah, Haji Awang Kadin Tang berkata ini kerana sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai isu politik yang diketengahkan parti pembangkang yang semata-mata bertujuan meraih sokongan rakyat.
Beliau berkata buat permulaan, pemuda BN akan menganjurkan kursus pidato politik di 1Borneo, Likas dekat sini, selama tiga hari bermula 13 April.
"Ini merupakan satu program mencari bakat, yang saya rasa penting dalam BN dan cara yang paling berkesan untuk mengetengahkan pemidato terbaik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Awang Kadin yang juga Ketua Pemuda Umno Sabah berpendapat ciri utama seorang pemimpin adalah menjadi penghujah paling berkesan.
Beliau berkata majlis perasmian program itu dijangka disempurnakan Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Sabah Datuk Sapawi Ahmad pada 13 April, manakala majlis penutup oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada 15 April.
Awang Kadin berkata kursus pidato politik itu, antara lain, bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman kepada peserta agar dapat menjalankan peranan membantu parti bagi menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan, jelas dan tepat kepada masyarakat. (Bernama)
No comments:
Post a Comment