REPLIKA….Masidi (tengah) memutuskan replika sarang labah-labah sebagai simbolik perasmian pameran itu sambil disaksikan oleh Mokhtar (kiri) dan Joanna (dua, kiri).
Oleh : S.CONNIE PEARL SUIL
PENEMUAN Tapak Lembah Mansuli di Lahad Datu Sabah telah mendedahkan perkembangan budaya sejak 235,000 tahun dahulu dan menjadi tapak tertua di Borneo.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata terdahulu Gua Niah mencatat penemuan tertua di Borneo namun dengan penemuan baharu itu, Mansuli menjadi penempatan pertama didiami oleh manusia purba di rantau ini.
Katanya, kajian arkeologi amat penting bukan sahaja sebagai lakaran sejarah silam di Sabah tetapi juga memberikan ilmu pengetahuan yang meluas kepada masyarakat mengenai pra sejarah negeri ini.
“Selain itu, kajian ini juga dapat menyumbang kepada khazanah mengenai negara kita mahupun di dunia. Penemuan ini juga penting kerana kita dapat mengetahui aliran penghijrahan yang berlaku dahulu dan juga asal usul kita,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Pameran Sementara ‘Arkeologi di Malaysia’ di Jabatan Muzium Sabah, kelmarin.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi jaminan bahawa sokongan, kerjasama dan bantuan akan diberikan kepada pihak Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (USM) dalam membuat kajian secara berterusan.
“Kita juga menerima dengan tangan terbuka kepada pelajar, pensyarah dan pengkaji daripada USM yang datang ke Sabah untuk membuat praktikal dengan Muzium Sabah.
“Dan ini akhirnya akan menjadi usaha negara dalam memberikan implikasi kepada seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Sabah. Ini juga harus menjadi pertimbangan utama kepada kita dalam merangka kerjasama di antara USM dan Jabatan muzium,” katanya.
Beliau turut mengesa penduduk Sabah khususnya para pelajar, agar menjadi peneraju utama kepada usaha itu untuk menyelamatkan tapak arkeologi yang penting.
“Kepada pelajar dan juga seluruh rakyat Sabah, kita harus menjaga khazanah ini kerana ia mencerminkan asal usul kita.
“Semua pejabat daerah juga harus peka dan memaklumkan kepada muzium jika ada gua yang mempunyai nilai tinggi untuk dibuat penyelidikan,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada masyarakat agar menjaga artifak peninggalan yang berharga dan memastikan ia tidak jatuh di tangan pihak yang tidak berkenaan.
Katanya, jika masyarakat menjual artifak peninggalan yang sangat berharga itu dikhuatiri akan hilang begitu sahaja.
Beliau turut berharap pameran sementara di Muzium Sabah itu dapat membuka minda dan hati masyarakat untuk terus menjaga warisan negara.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Joanna Kitingan berkata, kajian yang dilakukan oleh Pusat penyelidikan Arkeologi Global dan USM dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah itu memberikan gambaran jelas tentang perkembangan budaya Sabah.
Katanya, hasil kajian yang diperolehi membuktikan kemampuan penyelidik tempatan dalam membuat kajian yang setaraf dengan penyelidik luar negara.
“Pameran sementara mengenai arkeologi ini juga akan diteruskan selama tiga bulan dan diharap masyarakat dapat menanam minat dan kefahaman lebih jelas mengenai arkeologi,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Professor Dr. Mokhtar Saidin dan tetamu kehormat yang lain. (theborneopost)
No comments:
Post a Comment