Monday, 9 April 2012

WANITA JANGAN HANYA TAHU MENGKRITIK!


SIDANG.....Shahrizat Abdul Jalil ketika sidang medianya yang terakhir sebagai senator dan menteri.

Oleh : SHAZWAN MUSTAFA KAMAL (TMI)

DATUK Seri Shahrizat Abdul Jalil kelmarin menegaskan sayap Wanita Umno masih lagi 'kukuh' dan stabil walaupun menerima kritikan terhadap kepimpinannya.

Shahrizat menolak dakwaan sayap Umno itu tidak mampu bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang, malah menegaskan beliau 'akan memastikan' Wanita Umno melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.

“Mereka perlu belajar untuk tidak hanya tahu mengkritik sahaja,” katanya kepada pemberita di sini ketika sidang medianya yang terakhir sebagai senator dan menteri.

“Lihat sekeliling dan anda akan dapat melihat kekuatan Wanita Umno. Jangan hanya mengkritik dari Kuala Lumpur ... turun padang berjumpa masyarakat di akar umbi, dan akan tahu.”

Shahrizat berkata demikian sebagai respon kenyataan yang dibuat Tan Sri Rafidah Aziz termasuk timbalannya, Datuk Kamilia Ibrahim.

Rafidah, bekas Ketua Wanita Umno, sebelum ini menyuarakan kerisauan terhadap sayap parti berkenaan, dan mendesak mereka bekerjasama dan bersatu dengan Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya.

Kedua-dua Rafidah dan Kamilia dilihat seringkali mengeluarkan kenyataan menentang Shahrizat, yang mana telah dikaitkan dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), dengan mendesak beliau turut melepaskan jawatan Ketua Wanita Umno yang disandangnya, seperti mana beliau melepaskan jawatan menteri dan senator.

“Saya tegas. Saya tahu apa yang saya mahu daripada Wanita Umno. Setiap perkara yang berlaku boleh diselesaikan tanpa konflik,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan beliau akan mengambil alih portfolio Shahrizat, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkuat kuasa kelmarin.

Pengumuman perdana menteri itu menjadi penamat kepada spekulasi sama ada timbalan Shahrizat, individu paling lantang bersuara dalam Wanita Umno, Kamilia, akan dilantik menjadi senator menggantikan Shahrizat.

Pada 11 Mac, Shahrizat telah mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, apabila tamat penggalnya sebagai senator hari ini.

Pengumuman itu dibuat selepas hampir lima bulan tuduhan beliau dan keluarganya menggunakan RM250 juta dana kerajaan untuk projek penternakan lembu bagi membiayai keperluan sendiri, termasuk beberapa lagi perbelanjaan lain.

Pusat Fidlot Corporation, (NFCorp), syarikat yang diusahakan suami dan keluarga Shahrizat, menjadi topik hangat setelah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan NFC itu dikatakan gagal mencapai sasarannya di dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara.

4 comments:

  1. ahli wanita UMNO harus bersatu dan bekerjasama agar mereka terus kukuh.

    ReplyDelete
  2. mantapkan barisan wahai wanita

    ReplyDelete
  3. Yang pasti Wanita UMNO akan terus memberika kerjasama dengan BN untuk memastikan terus kekal menjadi kerajaan.

    ReplyDelete
  4. jangan hanya tahu mengkritik, malah tahu bagaimana mahu menghadapi kritikan..

    ReplyDelete