Friday, 6 April 2012

ZON BEBAS CUKAI UNTUK PENIAGA WANITA


MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Azizah Mohd Dun mencadangkan agar diwujudkan zon bebas cukai bagi para wanita memasarkan perniagaan mereka.

Beliau berkata zon bebas cukai itu akan menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri untuk membeli belah.

Sehubungan itu, Azizah menyeru para usahawan wanita supaya lebih berdaya saing bagi memastikan perniagaan yang berskala kecil dapat dikembangkan ke skala sederhana dan seterusnya ke skala yang lebih besar.

"Hasrat kita ialah melahirkan peserta global dalam kalangan usahawanita di negeri ini. Sebab itu, kita harus sentiasa mempertingkat mutu dan kualiti perkhidmatan yang kita berikan dan menjadikan perkhidmatan perniagaan kita sebagai kelas pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Keusahawanan Wanita Negeri Sabah 2012 di Kota Kinabalu, kelmarin.

Azizah berharap lebih banyak peluang dan inisiatif khas dapat diperuntukkan kepada para usahawanita, sekali gus membolehkan mereka dapat bersaing dan melonjakkan perniagaan ke peringkat antarabangsa. (Bernama)

No comments:

Post a Comment