Oleh : MUTALIB M.D
MUNGKIN bantuan dana RM15,000
setahun hanya cukup untuk memelihara 45 ekor kambing di dalam Fidlot, tetapi bukan
untuk menyara 45 orang buta yang serba
serbi kekurangan, sekalipun mendapat Kompleks Penyayang bernilai RM5 juta.
Entah di mana silapnya
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang diterajui
oleh seorang ahli politik berpengalaman dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah
(JPKAS) yang mengabaikan 100 peratus kebajikan orang buta, majoritinya kaum
Kadazandusun yang bukan sahaja terpinggir serba serbi; malah tidak mempunyai kad
pengenalan.
Sudah berkajang surat diutus,
namun mungkin Ahli Parlimen, Menteri, Pengarah dan pemimpin masyarakat tidak
pandai membaca kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Walaupun surat yang
dihantar dalam bahasa Melayu dan bukannya menggunakan sistem Braille, namun
tidak pernah mendapat jawatan sehingga Pusat Latihan Orang Buta terpaksa
mencari dana sendiri.
Lebih memalukan Konglomerat
seperti IOI yang mempunyai ratusan ribu ekar ladang pertanian di Sabah hanya
mampu menderma papantanda yang bernilai tidak sampai RM100. Di mana CSR yang
dilaungkan selama ini?
45 orang buta yang berlindung
panas dan hujan di Kompleks Penyayang umpama melukut di tepi gantang kerana
masyarakat hilang deria kasihan dan tidak mempunyai deria untuk melihat
kepincangan yang berlaku di tengah-tengah kepesatan pembangunan negara.
Pusat Latihan Orang Buta ini,
terutama di rumah kelamin bukan sahaja kelihatan daif, malah tidak sesuai untuk
orang buta kerana terdedah dengan pelbagai risiko; namun siapa yang peduli?
Jika isu ini juga memerlukan
perhatian dan campurtangan Ketua Menteri Sabah (yang telah meluluskan
peruntukan RM5 juta untuk membina Kompleks Penyayang) maka apakah peranan Ahli
Parlimen Libaran, Menteri Pembangunan Masyarakat, Pengarah JPKA dan pemimpin
masyarakat yang dilantik mewakili kerajaan?
JAWS.....Surat
rayuan spontan ini ditaip menggunakan perisian JAWS kerana Braille mungkin
tidak difahami oleh Ketua Menteri Sabah. Memang diakui terdapat banyak
kesilapan, tetapi itulah yang mampu dihasilkan Yongjilin, salah seorang pelatih
di Taman Cahaya.
Sebenarnya penghuni Taman
Cahaya tidak buta tetapi mereka tidak dapat melihat kejahilan kita yang tidak
nampak kesusahan mereka yang bukan sahaja disisih di bangunan usang; malah dibatasi
ilmu pengetahuan dengan menyekat bajet dan bantuan untuk menaiktaraf prasarana
antik di Pusat Latihan ini.
Saksikan kejahilan dan
kebodohan kita yang tidak dapat melihat bakat yang ada pada orang buta,
terutama dalam bidang IT dan ICT. Mungkin anda akan merasa diri anda kecil
selepas ini. Selamat Menonton!
No comments:
Post a Comment