TIMBALAN Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencabar Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu perkara sebenar mengenai
pendatang tanpa izin kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja yang
dipertanggungjawabkan menyiasat masalah
itu yang berlarutan di negeri ini.
Beliau menegaskan Anwar
perlu berbuat demikian kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri pada waktu
itu, dan menurutnya, "beliau (Anwar) seorang amat berkuasa dan tahu apa
yang berlaku di Sabah".
"Jangan jadi hipokrit,
mungkin dengan pengetahuan hal sebenar atau "dalaman" itu, Anwar
boleh membantu memberikan maklumat...jadi beritahu perkara sebenar kepada RCI.
Beliau tidak usah main politik. Sekurang-kurangnya (Datuk Seri) Najib (Tun
Razak), Perdana Menteri kita mahu mengetahui kebenarannya dan meluluskan
penubuhan RCI untuk mengenal pasti punca masalah itu.
"Kita tidak patut membuat
kesimpulan dan menyalahkan pihak tertentu hanya kerana keterangan oleh beberapa
bekas tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Kita patut biarkan RCI
selesaikan tugasnya...apa yang kita mahukan ialah penyelesaian muktamad,"
katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi bertemu rakyat di SK Sembirai,
dekat Kota Belud kelmarin.
Oleh itu, Salleh, yang juga
Speaker Dewan Undangan Negeri berkata rakyat sepatutnya menghargai dan
menyokong Najib bagi langkah berani beliau dalam menubuhkan RCI.
"Sebaik sahaja RCI
menyelesaikan tugasnya, dengan itu kerajaan akan mengkaji dan mengambil
tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan perkara itu.
"Mereka yang layak dan
memperoleh kewarganegaraan menerusi prosedur sah tidak sepatutnya dihukum dan
mereka yang memperolehnya secara tidak sah atau "ikut pintu belakang'
kewarganegaraan mereka perlu dibatalkan. Itu lah cara yang betul,"
katanya.
Melahirkan keyakinan masalah
pendatang tanpa izin akan dapat diselesaikan oleh kerajaan pimpinan Najib, Salleh
berkata penduduk jati Sabah perlu sabar menunggu penyelesaian itu.
Penubuhan RCI dan pelantikan
anggota suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri pada 11 Ogos tahun lepas
untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.
Prosiding pendengaran RCI
dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip
Kiong.
Anggota panelnya terdiri
bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr
Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu,
bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan
Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J Luping.
Prosiding seterusnya akan
diadakan 28 Januari hingga 1 Februari dan 22 Februari hingga 27 Februari. (Bernama)
No comments:
Post a Comment