KAYA
MENGEJUT...anggota sindiket memperolehi ratusan juta secara tiba-tiba dan
memiliki harta yang banyak serta berpuluh kereta mewah dalam masa singkat.
Oleh: KREW SABAHKINI.NET
BEBERAPA orang pemilik tanah
di Beaufort, Kuala Penyu dan Keningau didakwa diperdaya oleh anggota sindiket
yang mempergunakan salinan geran tanah dan kad pengenalan mereka untuk
melakukan penipuan terancang dengan mengaitkan nama Bank Negara Malaysia.
Anggota sindiket itu
dipercayai melibatkan pemimpin sebuah parti politik KDM di Beaufort dan
dikatakan memperalatkan nama-nama pemilik tanah tersebut selepas diyakinkan
bahawa mereka diberi wang dalam jumlah besar sekiranya mereka bersetuju dengan
urusan yang dilakukan di Bank Negara.
Individu yang disyaki
menjadi perancang sindiket itu pada waktu ini tiba-tiba menjadi kaya raya
sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai di kawasan Parlimen Beaufort.
Kemewahan secara mengejut
individu berkenaan dapat dilihat berdasarkan gaya kehidupan mewah mereka di
samping pemilikan harta yang melimpah ruah, pembelian tanah bernilai tinggi
dalam tempoh beberapa bulan sahaja serta pembelian berpuluh buah kereta mewah
seperti ninja super king dan ia menimbulkan kehairanan rakyat.
Parti pembangkang khusus
pemimpin PKR di kawasan ini dikatakan sedang menyelidiki bagaimana individu
berkenaan tiba-tiba memperolehi wang yang banyak dalam jangka masa singkat
kerana mereka tiada perniagaan tetap atau projek dari kerajaan.
Seorang pemilik tanah yang
mendakwa menjadi mangsa sindiket itu mengakui, dia telah menyerahkan salinan
geran tanah dan salinan kad pengenalannya kepada wakil kumpulan itu selepas
mereka menjanjikan bayaran wang lumayan setelah selesai urusan dengan Bank
Negara.
“Kami menuruti sahaja
kemahuan mereka, siapa yang tidak mahu wang banyak jika diberi tapi yang jadi
kaya raya mereka sahaja.” jelasnya.
Katanya, tanahnya dengan
keluasan hampir 20 ekar dijanjikan akan dibayar dengan bayaran lumayan yang
menyebabkan dia memberi persetujuan.
“Saya hanya diberitahu oleh
mereka, tanah itu diperlukan oleh BNM dan saya akan dibayar dengan wang yang
lumayan setelah segala-gala urusan selesai. Saya tak mahu tahu sama ada mereka
melakukan penipuan, saya hanya mahu duit yang dijanjikan” katanya namun selepas
itu tidak diberitahu perkembangan urusan mereka itu.
Yang peliknya, menurut
beliau, individu terlibat yang memang dia kenali tiba-tiba hidup mewah secara
mendadak dengan membeli berpuluh-puluh buah kereta mewah selain gaya hidup
mereka berubah dengan mendadak malah penduduk kampung juga tertanya-tanya dan
kehairanan dengan kemewahan mereka seperti seolah-olah “menang loteri”.
Katanya, ada juga mangsa
lain telah terhidu bahawa sindiket berkenaan telah mempergunakan nama dan
salinan geran tanah mereka untuk melakukan penipuan terancang yang kemungkinan
turut melibatkan pegawai-pegawai tertentu di BNM.
Mangsa itu yang rasa aneh
dengan kemewahaan secara tiba-tiba individu terlibat mahu pihak BNM supaya
menjelaskan tindakan sindiket mengaitkan nama institusi kewangan utama negara
itu.
“Kami harap BNM mengeluarkan
kenyataan mengenai mengapa sindiket terbabit mempergunakan nama BNM. Apa yang
berlaku sebenarnya, adakah nama kami dan salinan geran tanah kami hanya
dijadikan alat untuk mengeluarkan wang haram,” ujarnya sambil menekankan agar
pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melakukan
siasatan kerana mungkin melibatkan sindiket penipuan besar-besaran.
Beliau juga berikrar untuk
mendedahkan nama individu terlibat yang mendatangi mereka berhubung urusan
pembayaran tanah mereka yang dikatakan dilakukan BNM itu.
“Kemungkinan kami hanya jadi
alat, habuk pun kami tidak dapat tapi mereka pula sudah jadi kaya raya dengan
tiba-tiba. Mereka ini sangat merbahaya apa lagi mereka terlibat dengan parti
politik,” dakwanya.
Namun beliau memberi amaran
individu terlibat walaupun mereka orang politik mungkin perbuatan mereka akan
dapat dijejaki kerana “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke
tanah jua.”
“Kami akan membuat aduan
polis selepas ini sekiranya terbukti nama kami dan salinan geran tanah itu
didapati mereka pergunakan untuk melakukan penipuan dengan BNM dan kami
bila-bila sahaja boleh mendedahkan nama-nama mereka kepada pihak berkuasa,”
terangnya.
No comments:
Post a Comment