Saudara Pengarang,
KAMI mewakili 4,637 pengundi
berdaftar di Lembah Pantai membantah sekeras-kerasnya cubaan Nurul Izzah Anwar
untuk menafikan hak kami untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 dengan
menuduh kami sebagai pengundi hantu.
Sebagaimana tuan-tuan dan
puan-puan sedia maklum, pada 22 Mac 2013 Nurul Izzah telah memfailkan semakan
kehakiman menuntut SPR untuk membatalkan pendaftaran 4,637 pengundi Lembah
Pantai yang disifatkan oleh Nurul Izzah sebagai pengundi hantu kononnya kerana
alamat kediaman kami tidak lengkap atau tidak wujud. Apabila kami menyemak
senarai pengundi hantu yang dikemukakan Nurul Izzah, bayangkan betapa
terkejutnya kami bila mendapati nama-nama kami tersenarai sebagai pengundi
hantu.
Untuk pengetahuan Nurul
Izzah, kami adalah penduduk Lembah Pantai sejak sekian lama. Kami telah lama
menetap di sini, bekerja di sini, anak-anak kami pun lahir di sini. Kami juga
telah lama mengundi di sini. Ada antara kami sudah mengundi sebelum Nurul Izzah
lahir lagi!
Semasa kami mula-mula
mendaftar untuk mengundi, kami masih lagi tinggal di kampung-kampung setinggan
dan itulah alamat yang kami gunakan untuk mendaftar.
Tetapi seiring dengan arus
pembangunan, kami telah dipindahkan ke kawasan perumahan dengan pelbagai
kemudahan lebih selesa. Tetapi walaupun kami tidak lagi menetap di kawasan
asal, kami masih lagi penduduk Lembah Pantai.
Tindakan Nurul Izzah
menuntut pembatalan pendaftaran kami menyerlahkan kejahilan beliau mengenai
sejarah Lembah Pantai. Hanya kerana sesuatu kawasan itu tidak lagi wujud, tidak
bermakna alamat tersebut adalah alamat palsu dan tidak bermakna kami adalah
pengundi hantu.
Beberapa kawasan setinggan
yang disenaraikan oleh Nurul Izzah adalah seperti berikut:
i. Kg Pasir Kiri, sekarang
adalah tapak Gerai Penjaja yang telah dirata dan penduduk berpindah ke Taman
Gasing (PDM – PANTAI DALAM)
ii. Kg Pasir Dalam (Juga di
kenali sebagai Kg Kelantan) sekarang adalah Pejabat NPE dan sebahagian New
Pantai Express (PDM PETALING SELATAN)
iii. Kg Pantai Halt sekarang
telah di bangun dengan PPR Pantai Ria (PDM PANTAI HALT )
iv. Kampung Lembah Pantai –
sekarang ini adalah Menara TM dan sekitarnya (PDM PANTAI BAHARU)
v. Kampung Awal adalah
Kuarters Pengawal Universiti Malaya yang telah berpindah ke Indraloka (PDM
KAWASAN UNIVERSITI)
vi. Setinggan Bukit A, Bukit
B, Bukit C dan Bukit B Tanjung, Kg Kerinci telah tiada di mana kawasan mereka
telah dibangunkan (PDM BUKIT KERINCI). Semua telah berpindah ke Taman Bukit
Angkasa atau di PPR Kg Limau.
vii. Sepanjang New Pantai
Expressway dan pembinaan Rel Keretapi Komuter mempunyai banyak rumah-rumah
SETINGGAN. Semua penghuni telah dipindahkan ke PPR sekitar Lembah Pantai.
Pengundi-pengundi yang
pernah berdaftar di kawasan ini dengan sewenang-wenangnya telah dilabel oleh
Nurul Izzah sebagai pengundi hantu.
Tindakan Nurul Izzah
melabelkan kami sebagai pengundi hantu juga adalah sebahagian taktik politiknya
untuk menagih simpati, kononnya Barisan Nasional menggunakan pengundi hantu
untuk menang. Kami berharap pengundi Lembah Pantai tidak akan terpedaya dengan
taktik murahan sebegini.
Sebelum ini, ada di antara
kami yang mengundi Nurul Izzah dalam Pilihan Raya Umum yang lepas, tapi kami
kecewa, demi untuk mencipta isu pengundi hantu, Nurul Izzah sanggup menganiaya
kami dan cuba untuk menafikan hak kami untuk mengundi.
Pilihan kami adalah calon
yang mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan. Pilihan kami adalah calon
yang kuat kerja, bukannya kuat cakap semata-mata. Pilihan kami bukannya orang
yang hanya tahu membuat fitnah. Pilihan kami sudah tentunya bukan Nurul Izzah!
Untuk mengadakan sidang
media ini, kami hanya mengambil masa tiga hari untuk mengesan lebih 200
pengundi yang cuba dianiaya oleh Nurul Izzah.
Kebanyakan dari mereka
merupakan bekas penghuni kawasan setinggan manakala selebihnya adalah dari
kawasan lain yang turut dilabel oleh Nurul Izzah sebagai pengundi hantu. Kami
yakin masih ramai lagi pengundi yang tidak sedar bahawa mereka telah dianiaya
oleh Nurul Izzah.
Sehubungan dengan itu, kami
akan menubuhkan satu gerakan yang akan dikenali sebagai GEMPUR – Gerakan
Mencari Pengundi Asal Lembah Pantai bagi menjejak kesemua 4,637 pengundi Lembah
Pantai yang ditindas oleh Nurul Izzah agar mereka tahu siapa Nurul Izzah
sebenarnya.
Awas Nurul Izzah! Kami tidak
akan berdiam diri apabila hak kami cuba dinafikan dan kami akan pastikan semua
4,637 pengundi Lembah Pantai yang teraniaya tahu bagaimana kau cuba menindas
kami.
Salam Hormat,
HAJI MOHD YAHYA BIN YUSOP
(Bagi pihak 4,637 pengundi
asal Lembah Pantai)
No comments:
Post a Comment