Wednesday 24 April 2013

WUJUDKAH RUNDINGAN TANDUO?






Oleh : ANAK JATI TANDUO

KEJAYAAN Pasukan Keselamatan memadam api kebangkitan Pengganas Sulu di bumi Tanduo menjelang PRU-13 amat melegakan semua pihak yang bernafas di bumi merdeka Malaysia; tetapi menghancurkan masa hadapan Anak Jati Tanduo kerana menang sorak, kampung tergadai.

Khabar kononnya ada perundingan di antara kerajaan dengan pihak Pengganas selama beberapa hari sebelum serangan besar-besaran; meresahkan Anak Jati Sabah kerana pernah tercatat dalam sejarah beberapa Penjanjian Damai dengan pemberontak, termasuk dengan Parti Komunis Malaya.

Jika dalam Perundingan Damai Haadyai, bekas ahli Parti Komunis Malaya diberikan habuan, apa bezanya dengan Pelarian Filipina yang diberi penempatan, rumah, tanah dan pelbagai kemudahan di Pusat Penempatan Pelarian Filipina yang sebelum ini dibiayai UNHCR sebelum diserahkan ke bahagian Penempatan Jabatan Ketua Menteri?

Setelah Insiden Tanduo dan Simunul, masih ramai pemimpin Sabah tidak sedar betapa bahayanya PATI yang diberi kerakyatan songsang dan kini menyusup di dalam politik dan bakal menentukan masa hadapan Sabah.

Kami yang dihalau dari bumi 'Tanduo' merasakan tidak ada gunanya lagi kerana kami terpaksa meninggalkan bumi bertuah Tanduo yang telah diambil alih Kerajaan Persekutuan kerana 'Tidak Selamat' dan akan dibangunkan sebagai Pusat Pelancongan (kononnya)?

Berikut sedutan Arkib Negara Malaysia berhubung Rundingan Damai Haadyai untuk tatapan bersama dan semoga tidak ada sebarang Perjanjian dimaterai di Tanduo.

"PADA 1989, berlaku Peristiwa Penting iaitu Rundingan Damai Haadyai. Ianya merupakan Perjanjian Damai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia (UMNO) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Turut menandatangani perjanjian ini ialah Kerajaan Thai.

Setelah lebih 41 tahun Malaysia dibelenggu dengan ancaman komunis, akhirnya perjanjian ini membawa kepada pembubaran dan Perletakan Senjata Gerila Komunis dari Parti Komunis Malaya(PKM).

Antara kandungan utama Perjanjian Damai Haadyai ialah : Artikel 3.1 menetapkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang memang berasal dari Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia dengan membuka penempatan buat mereka serta mengikut undang-undang Malaysia.

Artikel 4 perjanjian menetapkan bahawa kerajaan Malaysia akan membantu bekas bekas anggota Parti Komunis Malaya untuk memulakan hidup baru di Malaysia.

Kesemuanya Perjanjian Damai dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Malaysia berjanji untuk membayar subsidi kehidupan sebanyak RM 8,000 seorang sekembalinya mereka ke Malaysia dan wang saraan hidup sebanyak RM300 sebulan untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanahair dan nama-nama mereka tidak akan didedahkan atas sebab Keselamatan."

No comments:

Post a Comment