Wednesday, 24 April 2013

SUTRADARA BUKAN LAGI JAGUH KAMPUNG






WAWANCARA...Ketua Biro Sabahkini.Net sedang mengadakan sesi tembual dengan Pengerusi FINAS Malaysia Datuk Affendy mengenai peranan sebenar FINAS.

Oleh: SHAIMON S JUMADI                   Foto : SAFFIE S JUMADI

“FINAS sebenarnya ingin melihat sutradara tempatan bukan setakat jaguh kampung, tetapi dapat pergi jauh sehingga ke persada dunia. Itu yang kami harapkan," kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Md Afendi Hamdan baru-baru ini.
Bercakap kepada Sabahkini.Net semasa ditemui di Majlis Penutupan Bengkel Penulisan Skrip dan Sinematografi anjuran Finas di Sandakan, beliau berkata Finas sedang merangka pelbagai pendekatan bagi membangunkan industri filem tempatan agar setanding dengan negara-negara lain.

Ini katanya, dengan membawa pakar-pakar perfileman yang terkemuka seperti dari Hollywood dan Bollywood umpamanya; sudah pasti menjadi platform terbaik ke arah menghasilkan filem yang lebih berkualiti.

Menurut beliau, sudah tiba masanya potensi industri perfileman negara diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa ekoran perkembangan positif yang berlaku terhadap filem tempatan yang kini berjaya menarik minat penonton ke pawagam.

"Kita mahu pakar-pakar luar dapat berkongsi pandangan seperti menurunkan ilmu agar sutradara tempatan mendapat pendedahan yang lebih besar bukan saja dari segi jalan penceritaan sesuatu filem tetapi juga berhubung dengan penggunaan teknologi canggih.


"Kemajuan perfileman banyak didorong oleh penggunaan peralatan dan teknologi yang terkini. Sebab itu, saya mahu pakar-pakar luar menurunkan ilmu mereka macam mana penghasilan filem 'Starwars' boleh menjadi satu fenomena kepada masyarakat dunia.

"Apa resepi mereka, macam mana ia dihasilkan? Ini penting supaya sutradara tempatan dapat berkongsi pengalaman apabila pakar-pakar luar ini dijemput untuk mengadakan bengkel di Malaysia," jelasnya.




CENDERAHATI.... V.K Liew menerima cenderahati kenangan daripada FINAS yang disampaikan Datuk Affendy.


Sehubungan dengan itu, Afendi berharap penggemar industri perfileman mengambil bahagian setiap bengkel yang diadakan pihak Finas di seluruh negara ke arah memartabatkan lagi industri tersebut.

Beliau berkata, menerusi penganjuran bengkel akan memberi peluang kepada setiap peserta untuk menimba ilmu memandangkan penceramah akan memberi tunjuk ajar dan bimbingan yang berguna mengenai cara-cara menghasilkan filem serta penulisan skrip.

"Saya ucap tahniah kepada peserta bengkel yang telah mengikuti bengkel Finas ini. Saya kagum melihat kesungguhan mereka dalam menghasilkan filem pendek begitu cepat sekali.

"Nampaknya, penggemar filem di Sandakan banyak bakat-bakat yang terpendam. Jangan bimbang, kita di Finas sentiasa merancang pendekatan untuk membantu melahirkan lebih ramai sutradara berjaya sekali gus menandingi kebolehan sutradara dari luar negara," katanya.

Penutupan bengkel yang disertai 40 peserta itu disempurnakan Mantan Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong.

Dalam ucapannya, V.K. Liew berkata, penghasilan drama pendek menerusi televisyen mampu mengetengahkan keindahan tempat-tempat menarik di Sandakan.

Ini katanya, bandar berkenaan mempunyai banyak tempat pelancongan dan tempat bersejarah yang sesuai untuk pembikinan program televisyen.

Namun demikian, ia juga memerlukan ramai profesional dalam bidang tersebut bagi mempromosi keindahan Sandakan kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Saya rakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pihak Finas di atas inisiatif menganjurkan bengkel yang akan dapat memartabatkan industri perfileman khasnya di negeri ini," jelasnya.

Sambil turut merakamkan ucapan tahniah kepada peserta, Liew juga menegaskan industri perfileman dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat Sandakan dengan kedatangan masyarakat luar sama ada untuk melancong mahupun menjalankan perniagaan.

Bengkel julung kalinya ini telah diadakan pada 15 hingga 19 April lalu.

Hadir sama pada majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada peserta itu ialah Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon; Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Haji Mohd Hamsan Awang Supain dan isteri kepada Liew iaitu Datin Dr.Lindai Lee.

No comments:

Post a Comment