Tuesday, 23 April 2013

JAUJAN SEDIA JADI 'KHADAM' RAKYAT







SEMPORNA : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan yang turut merangkumi daratan dan 49 buah pulau kecil serta besar, kaya dengan hasil bumi yang belum diterokai sepenuhnya.

Majoriti pekerjaan utama penduduk di sini ialah nelayan hinggakan dilemparkan sahaja mata kail walaupun di hadapan rumah, sudah pasti dapat habuannya. Jika inginkan ulam, ragut sahaja rumpai laut berkualiti tinggi yang tumbuh melata di dalam laut.

Secara luarannya mereka nampak seperti miskin, tetapi hidangan makanan harian mereka terutama makanan laut ialah ikan kerapu, tuna, udang kara dan rumpai laut.

Sumber biodiversiti marin lautnya amat kaya dan tidak ternilai. Tidak cukup dengan itu, industri pelancongan juga amat berpotensi tinggi.

Rata-rata orang ramai mengetahui keindahan Pulau Sipadan dan Mabul yang terletak di Semporna tetapi mereka lupa jawapannya yang tepat, sebenarnya berada dalam DUN Sulabayan.

Semuanya lengkap tersedia, tidak perlu dicipta atau dibuat inovasi seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara jiran untuk menggamit kedatangan pelancong.

Segala kelebihannya inilah yang akan dieksploitasi sepenuhnya oleh calon muka baharu Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi tradisi ini, Datuk Jaujan Sambakong, 55, anak jati Pulau Bum-Bum di sini yang amat arif dan mengetahui setiap denyut kehidupan rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal optimis DUN Sulabayan itu mampu membangun bukan setakat setaraf dengan kawasan-kawasan lain tetapi melonjak menjadi antara kawasan terkaya di negara ini.

"Semuanya langsung tidak mustahil, produknya sudah ada, tunggu masa untuk dikomersialkan sahaja. Tetapi saya akui, proses itu tidak boleh dibuat secara semberono, mesti ada modal insan terbaik untuk mengendali dan menguruskannya. Mentaliti sekadar tangkap ikan dan jual, tanam rumpai dan tuai, tidak lagi relevan, potensinya perlu diterokai sepenuhnya.

"Misi utama saya jika diberikan mandat ialah memfokuskan kepada kepentingan pendidikan di DUN ini, kerana hanya dengan ilmu pengetahuan ia mampu membantu mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan, sekali gus memanfaatkan sepenuh segala sumber kekayaan ini.

"Tanpa ilmu pengetahuan, rumpai laut akan tetap kekal sebagai rumpai laut, bukannya menjadi produk bernilai seperti kosmetik dan makanan kesihatan tambahan.

"Banyak rumpai laut Semporna yang diproses oleh syarikat antarabangsa luar negara dan dijual semula ke negara ini dengan harga yang tinggi, ramai pula orang kita membelinya, tanpa mengetahui sebenarnya berasal dari pulau-pulau sekitar Sulabayan," katanya.

Jaujan yang berjanji untuk menjadi 'khadam' terbaik kepada rakyat akan menggunakan sepenuhnya segala pengalaman selama berkhidmat dalam enam kementerian berlainan dan berpolitik lebih 20 tahun untuk terus membela nasib rakyat, sekali gus memastikan kemenangan BN. (UM)

1 comment: