Wednesday, 24 April 2013

SETIAKAWAN TUNJANG KEKUATAN BN TENOM






TENOM : Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Itu perumpamaan terbaik bagi Barisan Nasional (BN) Tenom yang bersandarkan resipi pemuafakatan untuk memastikan kerusi parlimen itu kekal milik BN.

Segala masalah yang timbul sebelum ini termasuk pemilihan calon bagi kawasan itu diselesaikan atas semangat setiakawan dan kekeluargaan parti-parti komponen dalam BN.

Calon BN bagi kerusi parlimen kawasan itu berkata permuafakatan di kalangan parti komponen menjadi kunci utama dalam menjamin kejayaan BN di Parlimen Tenom dan dua kerusi negeri di bawahnya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong dan Melalap.

Dan kehadiran Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis bersama rakyat di Tenom esok pasti akan menyuntik lebih semangat kepada anggota dan pemimpin parti komponen BN untuk memantapkan perpaduan.

Datuk Raimee Unggi berkata kerjasama baik BN atas semangat setiakawan menjadi kunci paling penting bagi menjamin kejayaan parti untuk terus kekal menjadi parti pemerintah yang tiada tolok banding dengan mana-mana lawan lain.

"Pakatan rakyat (pembangkang) tidak boleh bergabung sebagai kuasa pemerintah kerana sering bercanggah dalam sesuatu isu terutama DAP dengan PAS. Semangat setiakawan BN terlalu tinggi dan menjalin kerjasama baik antara parti komponen," katanya kepada Bernama.

Raimee yang mewakili Parlimen Tenom selama dua penggal sejak 2004 berkata: "Perkongsian kuasa BN cukup bagus dan terbaik berbanding pembangkang yang kelihatan bergabung secara 'marriage of convenience'. Najib menyambung tugasan perkongsian yang sekian lama wujud.

"Rakyat jangan sesekali melakukan eksperimen dengan menukar kerajaan. Setiap pembangunan yang dibagi bukan percubaan tetapi memanfaatkan rakyat dan mendahulukan janji," katanya.

Daerah Tenom yang mempunyai keluasan kira kira 2,238km didiami lebih 35,000 penduduk dengan 70 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Murut.

Pada pilihan raya umum ini, Raimee ditendang Masdin Tumas daripada PKR, Jaineh Juaya @ Jimmy Jawatah (SAPP), Hasmin @ Azroy Abdullah (Star) dan Mutang @ Selvester Dawat (Kita). Sambil bertekad meneruskan perjuangan membela nasib rakyat Tenom, Raimee yang merupakan anak kelahiran Murut itu berkata kerajaan BN meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur di Sabah khususnya di Tenom.

Enam puluh peratus jalan-jalan raya di kampung dan luar bandar di Tenom telah dinaik taraf termasuk di Melalap dan Kemabong dan selebihnya akan diperbaiki dari semasa ke semasa, katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin masyarakat Tukimin Tumin, 51, juga berkongsi pandangan sama bahawa kejayaan yang dikecapi kini hasil daripada kerajaan yang stabil dan banyak membantu rakyat terutama dari segi pinjaman bank, peluang kursus selain kemajuan sumber pertanian di Tenom.

"Kita sudah aman dan maju bersama kepimpinan kerajaan BN. Kita sedia tahu kerajaan BN ikhlas membantu rakyat Sabah dan jika kita hendak kemajuan, keharmonian, keamanan yang berterusan kita harus kekal bersama BN," kata pesara polis itu sambil menambah bahawa kerajaan benar-benar serius menjaga keselamatan dan keamanan negeri ini.

Seorang anak tempatan dari Kampung Intabuan, Sazali Ismail, 27, berharap BN akan bergerak sebagai pasukan yang kukuh bagi menghadapi pembangkang yang mempunyai agenda tertentu dan sekadar 'menangguk di air yang keruh'.

"Pembangkang susah untuk dipercayai, mereka hanya pandai menabur janji-janji kosong, pembangkang hanya mencari peluang semasa pilihan raya...," katanya yang mewakili pengundi muda di Tenom. (Bernama)

No comments:

Post a Comment