Tuesday 23 April 2013

JADIKAN 5 MEI MEDAN TOLAK PEMBANGKANG






KUALA PENYU : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Sabah menjadikan pilihan raya umum 5 Mei ini sebagai medan untuk menolak pembangkang yang memutar belit isu keselamatan dan keamanan di Sabah sebagai satu sandiwara.

Najib menegaskan hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu memberi jaminan berhubung soal keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.

"Rakyat Sabah harus menyatakan (tolak pembangkang) 5 Mei ini. Ini (kedaulatan Sabah) mesti dipertahankan kerana ia lebih besar daripada soal pembangunan, lebih besar daripada (janji) jalan tar yang dikotakan.

"...Ini bukan soal kerusi (kawasan) tapi soal maruah dan kedaulatan Sabah di bumi Malaysia yang BN berjanji tetap dipertahankan dengan nyawa sekalipun," katanya ketika berucap pada majlis jerayawara Yayasan Sabah bersama rakyat di pekan Kuala Penyu di sini Selasa.

Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 8,000 rakyat pelbagai lapisan itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga calon BN untuk Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, calon kerusi DUN Klias, Isnin Aliasneh dan calon muka baharu DUN Kuala Penyu, Limus Jury.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata rakyat Sabah tidak harus berfikir panjang dalam menilai pembangkang kerana mereka sebenarnya sudah bijak membuat pilihan.

"Peristiwa (pencerobohan pengganas di) Lahad Datu seharusnya jadi iktibar yang mana orang yang kemaruk kuasa dan mempersoal kedaulatan negara tidak boleh dibenarkan berjaya," katanya.

Najib menarik perhatian bahawa kerajaan BN berjaya membawa kemakmuran menerusi program transformasi yang merupakan pendekatan lebih bermakna berbanding reformasi laungan pembangkang yang tidak membawa apa-apa kemajuan.

Sambil mengulangi manifesto BN lebih merupakan aku janji untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, beliau memuji manifesto tambahan BN Sabah yang turut mengandungi kad laporan kerajaan negeri.

Menurutnya, berdasarkan kad laporan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah, termasuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Najib berkata kerajaan pusat juga akan memastikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah akan melebihi jumlah bayaran hasil royalti minyak yang diterima negeri ini.

"Apabila siap projek terminal minyak dan gas di Kimanis yang akan menjadi telaga pengeluar minyak, hasil minyak di Sabah akan bertambah...dan kerajaan pusat beri balik kepada rakyat Sabah dan lebih besar daripada 20 peratus royalti seperti dalam manifesto pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, Najib menekankan pentingnya sokongan padu diberi kepada BN oleh anggotanya dan supaya ia tidak dikhianati.

Merujuk kepada komponen tonggak BN iaitu Umno, beliau berkata: "Orang Umno (mesti) lebih sayang parti daripada individu yang mana matlamat dan prinsip perjuangan lebih mahal daripada kedudukan mana-mana individu.

"Rakyat akan menghukum dan melihat kebenaran di atas kesetiaan pemimpin mereka."

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Jambatan Kuala Penyu yang menyeberangi Sungai Sitompok sepanjang 1.1 km bernilai RM60 juta.

Dalam pada itu, Ketua Cabang PKR Beaufort Abdul Jarih Ukin, adik kepada penyandang kerusi Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin, bersama 200 anggota lain mengisytiharkan keluar parti dan menyertai BN.

Kuala Penyu, antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Beaufort, dimenangi Teo Mau Sing (BN) dengan majoriti 257 undi pada pilihan raya lepas. (Bernama)

No comments:

Post a Comment