Monday, 22 April 2013

CABARAN PEMBANGKANG KURANG DIRASAI






PUTATAN : Cabaran daripada pihak pembangkang tidak begitu dirasai di Sabah khususnya di Petagas memandangkan kekuatan jentera dan penyokong Barisan Nasional (BN) berupaya menangkis isu-isu yang dibangkitkan pembangkang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata sekiranya semua pihak bekerjasama dalam usaha memenangi hati rakyat, BN akan mencapai kemenangan besar.

"Pembangkang tidak memainkan sebarang isu hangat di sini, saya tak nampak sebarang isu yang boleh mengganggu-gugat keyakinan penyokong terhadap kekuatan sedia ada kepada BN," katanya kepada Bernama selepas menjayakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tengah Padang di sini.

Yahya yang juga calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas berkata beliau yakin BN mampu memenangi kerusi DUN Petagas berdasarkan jumlah pengundi yang semakin meningkat.

"Tahun ini, bilangan pengundi adalah seramai 15,000 orang, anggaran pada pilihan raya umum ke-12 adalah sekitar 10,000 orang dan jumlah ini saya berkeyakinan penuh BN mampu memenuhi hati rakyat dan menang besar di sini," katanya.

Yahya yang juga penyandang DUN Petagas berkata sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk mewakili rakyat di kawasan itu, beliau akan berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur termasuk membina lebuh raya bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan itu.

"Jumlah kenderaan semakin meningkat setiap tahun kesan pertumbuhan ekonomi yang baik di Petagas, dengan peruntukan yang telah disediakan oleh kerajaan persekutuan, ini akan dapat direalisasikan sekiranya BN diberi mandat di kawasan ini," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-13, Yahya berdepan dengan Awang Ahmad Shah dari Parti Reformasi Sabah (STAR) dan Mat Yunin @ Mohd Yunin Atin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada pilihan raya lepas, Yahya memenangi kawasan itu dengan majoriti 3,132 undi menewaskan Salleh Tiasi Tiaseh (PKR). (Bernama)

No comments:

Post a Comment