Tuesday 22 January 2013

ANANDA ORANG TERKAYA DI MALAYSIA





 
KUALA LUMPUR: Bilionair telekomunikasi, T. Ananda Krishnan kini bergelar orang terkaya di Malaysia apabila memintas ‘Raja Gula’, Tan Sri Robert Kuok dengan mengumpul kekayaan bernilai RM30.56 bilion.

Menurut kaji selidik akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau, Ananda mendapat lonjakan baharu dari segi kekayaan apabila saham Astro Malaysia Holdings Bhd. disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun lepas.

Menurut kaji selidik itu, Kuok yang memiliki pelaburan dalam sektor perhotelan dan resort, perladangan serta syarikat perkapalan tercicir daripada kedudukan orang terkaya di Malaysia dengan nilai harta berjumlah RM29.4 bilion.

Kuok dinobatkan sebagai orang terkaya di Malaysia pada tahun lalu berdasarkan ranking majalah Malaysian Business dengan harta bernilai RM45.7 bilion tetapi kekayaan itu susut sebanyak RM16.3 bilion pada tahun ini.

Tempat ketiga pula dikuasai tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai aset berjumlah RM15.1 bilion, meningkat sebanyak RM2.36 bilion berbanding RM12.64 bilion pada tahun lalu.

Bagi tahun 2012, jumlah nilai harta ketiga-tiga bilionair tersebut berjumlah RM75 bilion.

Kedudukan Tan Sri Lee Shin Cheng daripada IOI Corporation Bhd. yang terlibat dalam sektor perladangan, hartanah dan perkilangan pula tidak berubah dengan kekal di tempat keempat dengan nilai kekayaan sebanyak RM14.68 bilion berbanding RM11.36 bilion pada tahun lalu.

Berada di kedudukan kelima ialah Tan Sri Lim Kok Thay daripada Genting Group dengan harta bernilai RM14.17 bilion, meningkat daripada tempat ketujuh dengan aset RM7.58 bilion pada tahun lalu.

Ia diikuti oleh Tan Sri Quek Leng Chan daripada Hong Leong Group yang kekal kedudukannya di tempat keenam dengan nilai kekayaan meningkat daripada RM8 bilion pada tahun lalu kepada RM10.42 bilion pada tahun ini.

Kekayaan Tan Sri Dr. Yeoh Tiong Lay daripada syarikat pembinaan dan hartanah YTL Corporation pula naik sebanyak sebelas anak tangga ke tempat ketujuh daripada tempat ke-18 dengan jumlah aset sebanyak RM9.75 bilion berbanding RM1.71 bilion pada tahun lalu.

Kedudukan Tan Sri Syed Mokhtar daripada Yayasan al-Bukhary daripada tempat kelima tahun lalu bagaimanapun merosot ke tempat kelapan pada tahun ini dengan harta kekayaan RM9.14 bilion berbanding RM9.53 pada tahun sebelumnya.

Kedudukan kesembilan dan kesepuluh dalam senarai tersebut pula masing-masing dikuasai tokoh perbankan Tan Sri Azman Hashim daripada Kumpulan AmBank dengan jumlah kekayaan sebanyak RM4.18 bilion dan Tan Sri Lee Oi Hian daripada Batu Kawan Bhd., sebuah syarikat perladangan, dengan nilai kekayaan berjumlah RM3.95 bilion.

Kaji selidik itu yang diadakan buat kali kedua oleh Nanyang Siang Pau turut menjelaskan bahawa jumlah nilai harta kekayaan bagi sepuluh hartawan tersebut berjumlah RM141.35 bilion.

Pada masa yang sama, antara 10 hartawan terkaya di Malaysia, kaum Cina masih merupakan golongan yang mencatat jumlah kekayaan tertinggi dengan aset terkumpul berjumlah RM97.47 bilion berbanding dengan kaum India berjumlah RM30.56 bilion dan diikuti Melayu yang mencatat jumlah kekayaan sebanyak RM13.32 billion.

INFO SENARAI ORANG TERKAYA DI MALAYSIA (Nanyang Siang Pau Januari 2013):

1. Tan Sri T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) - RM30.56 bilion

2. Robert Kuok (Kumpulan Kuok) - RM29.40 bilion

3. Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) - RM15.10 bilion

4. Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Group) - RM14.68 bilion

5. Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) - RM14.17 bilion

6. Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Group) - RM10.42 bilion

7. Tan Sri Dr. Yeoh Tiong Lay (YTL Corporation) - RM9.75 bilion

8. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary (Yayasan al-Bukhary) - RM9.14 bilion

9. Tan Sri Azman Hashim (Kumpulan AmBank) - RM4.18 bilion

10. Tan Sri Lee Oi Hian (Batu Kawan Berhad) - RM3.95 bilion

(Sumber Kosmo!)

No comments:

Post a Comment