Oleh : MUTALIB M.D
BARU empat hari RCI Sabah
bersidang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pemimpin dan mantan pemimpin di
Semenanjung Malaysia sudah menggelabah dan membuat pengakuan terbuka di luar
mahkamah; umpama kata orang, "hujan RCI di Sabah, tetapi banjir kilat di Malaya?"
Kenyataan Mantan Ketua Pejabat
JPN Tamparuli, Yakub Damsah dan beberapa Mantan Pegawai JPN berhubung
penglibatan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Aziz Samsuddin yang
menyediakan rumahnya di No 18, Kg Pandan, Kuala Lumpur sebagai 'Markas Operasi IC
Projek' telah membuatkan adrenalin Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr
Mahathir menggelegak.
Sewajarnya, Dr Mahathir
tidak memanggil sidang akhbar kelmarin kerana sepatutnya beliau perlu hadir di hadapan Panel RCI dan memberi
keterangan di dalam Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu apabila gilirannya tiba.
Tindakan Mahathir membuat
kenyataan terbuka melalui persidangan akhbar, ketika isu berkenaan sedang
dibicarakan di mahkamah RCI, jika dilakukan rakyat biasa, akan dianggap sebagai
cuba mengganggu prosiding mahkamah atau menghina mahkamah.
Namun oleh kerana dilakukan
oleh mantan Perdana Menteri, maka dijadikan berita utama oleh semua akhbar dan
tidak ada pihak yang berani membuat laporan polis atau mengheret Mahathir ke
Mahkamah atas tuduhan menghina mahkamah.
Dalam keadaan lautan politik
Sabah bergelora, senario politik di Malaya juga bergelombang apabila semua
pemimpin Pakatan Rakyat mula menunjukkan belang sebenar membuat kenyataan liar
sedangkan mereka boleh mendaftar diri untuk memberi keterangan di hadapan Panel
RCI yang bersidang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Saya tidak lagi mendedahkan
isu baru sebaik sahaja RCI bersidang pada Isnin lalu kerana menghormati
mahkamah, apatah lagi telah memberi keterangan kepada Panel Penyiasat RCI pada
tahun lalu di Kuala Lumpur.
Sebagai Mantan Perdana
Menteri, Mahathir sepatutnya bersabar dan bertenang sehingga gilirannya
dipanggil memberi keterangan di hadapan Panel RCI agar panel ini dapat
melengkapkan siasatan dan mengemukakan laporan kepada DYMM Yang DiPertuan
Agong.
Oleh kerana Mahathir
mendahului masa dan telah menimbulkan 'Tsunami' di hati rakyat Sabah yang marah
kepada Malaya, maka tempiasnya akan terpercik ke muka Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Kabinet Malaysia yang tidak terlibat
sama.
Daripada enam Perdana
Menteri, dua Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr Mahathir
sahaja yang terlibat secara langsung memberi kerakyatan kepada warga asing;
kononnya mengikut lunas undang-undang.
Tunku Abdul Rahman memberi
kerakyatan kepada lebih satu juta rakyat asing (India dan China) diambang
kemerdekaan; sedangkan kerakyatan Malaya ketika itu berdasarkan 'Jus Soli'
(tanah kelahiran) dan bukannya 'Jus Sanguinis' (ikatan darah). Senario inilah
yang dijadikan 'Mercu Tanda Kerakyatan' (Precedence) oleh Tun Dr Mahathir ketika beliau melancarkan Ops
Gembeling pada 1990-1994.
Persoalannya, jika Tun Razak
dan Tun Hussien Onn tidak terlibat, siapakah yang meluluskan kerakyatan kepada
Warga Filipina (pelarian perang) dan Indonesia (10,000 berbangsa China
Indonesia-mangsa Konfrantasi) di antara 1970 sehingga 1976?
Jika di zaman Tunku Abdul
Rahman, Dr Mahathir mendakwa lebih sejuta diberi kerakyatan Malaya melalui
pintu hadapan atas tipu muslihat British; berapakah kad pengenalan yang
diberikan kepada PATI di Sabah di era Tun Razak (1970-1976); Tun Hussien Onn
(1976-1981); Tun Mahathir (1981-2003); Tun Abdullah Badawi (2003-2009) dan
Datuk Seri Najib (2009 hingga sekarang)?
Andainya Tun Razak dan Tun
Hussien tidak terlibat, siapakah yang meluluskan pemberian kerakyatan Malaysia
kepada Warga Asing Filipina dan Indonesia di antara 1972 hingga 1981?
Bagi era Mahathir tidak
perlu dipertikaikan lagi kerana beliau mengakui telah merestui Skandal X-Files
ini dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid
Megat Ayub.
Jika Datuk Seri Najib
terlibat, kenapa hanya beliau yang mempunyai 'Political Will' menubuhkan RCI
sedangkan lima Perdana Menteri sebelum ini mengharamkan RCI?
Persoalannya sekarang, hanya
Tun Abdullah dan Mahathir sahaja yang masih hidup untuk dihadapkan ke Mahkamah
RCI, sedangkan tiga Perdana Menteri sebelumnya dan Megat Junid telah meninggal
dunia?
Untuk menafikan Tun Abdullah
(Pak Lah) tidak terlibat adalah agak mustahil kerana pada pilihanraya umum
2008, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing telah
menghubungi Pak Lah untuk mendapatkan tambahan pengundi luar, Pak Lah telah mengarahkan
beliau bercakap dengan 'Pegawai Khas' yang menangani pengundi luar iaitu Datu
Akjan Datu Ali Mohammad @ 'The Sultan of Sulu'.
Agak mengejutkan Bumburing
kerana hanya 200 pengundi luar yang dihantar untuk mewakili 800 pengundi kerana
masing-masing memegang empat kad pengenalan atau resit sementara yang diterima
pakai sebagai dokumen sah oleh SPR. Maklumat selebihnya biarlah Bumburing
sahkan sendiri dalam Mahkamah RCI.
Pengakuan serta pendedahan
saksi RCI hanyalah ulang tayang apa yang telah saya nyatakan di dalam empat buku
saya iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK
Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir.
Isu pengundi hantu telah
saya nyatakan secara meluas dalam buku 'Pengundi Untuk Disewa' dan pernah diharamkan
untuk edaran oleh Mahathir kerana saya enggan menukar kulit luarnya yang
memaparkan kenyataannya kepada Wartawan Australia, Bob Reece yang
antara lain berbunyi; ".....We must accept that there is not going to be a
democracy in Malaysia; there never was and there never will be."
Selebihnya akan saya
dedahkan di hadapan Panel RCI jika disapena memberi keterangan kerana pengakuan
Mahathir kelmarin telah merubah iklim politik di Sabah dan segala-galanya boleh
berlaku tanpa diduga; apatah lagi pengakuan Mahathir menjadikan IC PROJEK sebagai SAH menurut undang-undang sehingga SALMAN MAJID yang dilucutkan kerakyatannya dikembalikan sebagai WARGANEGARA Malaysia!
No comments:
Post a Comment