Saudara Pengarang,
SAYA merujuk kepada
kenyataan oleh OCPD Daerah Ranau berkaitan penahanan seorang penduduk
pribumi berasal dari Ranau, Cyprian
Rustin (CR), berakibat daripada isu pencerobohan tanah adat oleh taukeh dari
syarikat tertentu.
Apa yang saya fahami
daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh OCPD Daerah Ranau tersebut ialah
penahanan ke atas CR itu bukan atas isu
pencerobohan tanah adat tetapi atas isu ‘Ugutan Jenayah’ atau terma yang biasa
digunakan oleh polis sebagai ‘Criminal Intimidation’.
Pembaca Sabahkini.net tidak
pula dimaklumkan apa dia perkataan yang telah dikeluarkan oleh CR melainkan
hanya suatu kenyataan bersifat umum daripada OCPD Daerah Ranau.
Di mana-mana kesempatan
dalam setiap ceramah umum, saya selalu mengungkapkan kata-kata bahawa saya akan
pertahankan mana-mana individu atau kelompok masyarakat yang teraniaya dan
dizalimi, tidak kira sama ada dia Islam, Kristian, Hindu, Buddha atau apa-apa
agama sekali pun.
Saya akan tentang
habis-habisan mana-mana individu, pemimpin
atau pihak berkuasa yang jahat
dan zalim, walau dia beragama Islam. Itulah
tarbiyyah yang saya terima dari pemimpin-pemimpin dan ulama-ulama PAS
sepanjang lebih 29 tahun saya berada dalam PAS.
Penahanan CR memang tidak
adil, zalim dan hanya menggambarkan sikap 'double standard' pihak polis dalam
menangani sesuatu kes.
Tahun lepas, seorang yang
bernama Yong Ah Choi, telah mengeluarkan kata-kata ‘SAYA BUNUH KAMU’ ke atas
seorang penduduk pribumi, Daud Hj. Hussin, yang tanah mereka diceroboh di kawasan
Rancangan Sg. Manila.
Yong Ah Choi telah
mengeluarkan kata-kata yang secara jelas (explicit) mengandungi elemen
‘CRIMINAL INTIMIDATION’ ke atas Daud Hj. Hussin, di hadapan Korporal Zaini,
bertempat di Balai Polis Rancangan Sg. Manila, ketika Daud Hj. Hussin datang
untuk membuat laporan polis di Balai Polis Rancangan Sg. Manila.
Korporal Zaini tidak pula
menahan Yong Ah Choi dan membiarkannya bebas tanpa sebarang tindakan. Pada
keesokan harinya apabila Daud Hj. Hussin datang berjumpa saya di bandar, saya
terus menelefon Korporal Zaini dan mengancam untuk menghantar laporan kepada
Ketua Polis Negara, jika Korporal Zaini enggan menerima laporan polis Daud Hj
Hussin dan seterusnya bertindak ke atas Yong Ah Choi.
Akhirnya, apabila Korporal
Zaini akur atas kecuaiannya, maka dia
telah meminta saya membawa Daud Hj. Hussin membuat laporan polis di Balai Polis Bandar
Sandakan.
Korporal SM Ready yang
bertanggungjawab menerima laporan tersebut berjanji untuk menahan Yong Ah Choi.
Tetapi malangnya tiada tangkapan atau penahanan dibuat ke atas Yong Ah Choi dan
sehingga saat ini Yong Ah Choi terus menunjukkan belangnya ke atas para pemilik
tanah di Rancangan Sg. Manila.
Yong Ah Choi terus mendakwa
bahawa beberapa lot tanah yang sudah bergeran adalah miliknya walaupun tiada
pengesahan dari Jabatan Tanah. Tetapi penipuan licik Yong Ah Choi akhirnya
terbongkar apabila tanah yang sudah bergeran yang didakwa milik Yong Ah Choi,
adalah sebenarnya milik seorang doktor pribumi di Sg. Manila.
Insiden di atas hanya satu
dari banyak insiden-insiden yang pernah saya tangani yang secara jelas
menunjukkan sikap 'double standard' pihak polis.
Dalam satu insiden lain di
Bukit Garam, seorang yang bernama Ibrahim telah disumbat ke dalam lokap selama
beberapa hari hanya kerana menentang pencerobohan tanah oleh sebuah syarikat
milik taukeh yang memiliki Sijil Anak Negeri palsu.
Saya terlibat secara
langsung dan terpaksa berdepan dengan OCPD Kinabatangan masa itu yang bernama
DSP Baharuddin. Seorang peneroka yang bernama Yunus dari Kinabatangan, juga
telah disumbat ke dalam lokap hanya kerana mempertahankan haknya dan tiada
apa-apa kata-kata ancaman yang dikeluarkan oleh beliau.
Seorang yang bernama Amin
telah disumbat ke dalam lokap oleh Inspektor Michael Tingkas hanya kononnya
memiliki dokumen palsu. Inspektor Michael meminta sejumlah RM1,600.00 daripada
Amin jika mahu dibebaskan.
Pada ketika beliau disumbat
ke dalam lokap, beliau yang baru balik dari kerja sebagai Pembantu Juru Ukur,
menghidap sakit malaria. Walaupun keluarga Amin sudah memenuhi tuntutan Inspektor
Michael dengan menyerahkan sejumlah RM1,600 kepada beliau, Amin masih juga
ditahan dalam lokap.
Saya telah menghubungi pihak
JPN Kuala Lumpur dan mendapat pengesahan bertulis bahawa dokumen beliau adalah
sah. Akhirnya, saya berjumpa Inspektor Michael dan menuntut supaya dipulangkan
wang RM1,600 kepada Amin. Akhirnya, Inspektor Michael terpaksa menyerahkan
kembali wang tersebut kepada Amin.
Wahai rakyat pribumi Sabah,
sedarlah kalian, selagi UMNO/BN terus menerus berkuasa di bumi Sabah khususnya,
maka selama itulah kalian akan ditindas dan dizalimi oleh institusi yang tunduk
di bawah kekuasaan UMNO/BN.
Jabatan Tanah dan Ukur di bawah
Pengarahnya, Datuk Osman Jamal, telah banyak menganiaya penduduk pribumi dengan
nenafikan hak-hak mereka ke atas tanah yang telah dipohon dan diusahakan sejak
puluhan tahun lamanya.
Pastikan ini kali lah, undi
kalian diberikan kepada Pakatan Rakyat. Apa yang dilakukan oleh pihak polis dan
Jabatan Tanah dan Ukur ini biarlah menjadi penyumbang kepada kejatuhan kerajaan
UMNO/BN pada PRU ke13 ini.
Sekurang-kurangnya pihak
polis dan Jabatan Tanah dan Ukur mempunyai saham di atas kejatuhan kerajaan
zalim UMNO/BN!
Ini kalilah TUKAAAAAAR!
Salam Hormat,
HJ. HAMZAH HJ. ABDULLAH
Timbalan Pesuruhjaya PAS
Negeri Sabah
No comments:
Post a Comment