PRIHATIN
... Musa (dua kiri) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada murid-murid sekolah
agama di Rancangan Sungai Manila pada majlis itu.
SANDAKAN: Ketua Menteri
Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, menegaskan pembangkang sudah tiada isu yang
hendak dibangkitkan melainkan asyik menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN)
dengan menabur pelbagai tohmahan semata-mata untuk kepentingan politik sempit.
Menurut beliau, sikap
pimpinan pembangkang membuktikan mereka sudah ketandusan idea apabila suka
mengada-mengadakan dakyah sedangkan BN terus melaksanakan program pembangunan
yang membolehkan kemajuan terus dinikmati seluruh rakyat jelata.
Dia yakin dan percaya
perbuatan mereka ini akan menyusahkan diri sendiri sebab rakyat kini matang dan
bijak bukan sahaja dalam menilai seseorang pemimpin tetapi juga kerajaan yang
boleh membawa kemajuan.
“Rakyat negeri ini tidak
akan mudah terpengaruh dengan apa jua janji-janji kosong pembangkang bahkan
sokongan padu akan kita terima menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13
memandangkan kepercayaan rakyat terhadap BN semakin bertambah baik,” katanya
ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat peringkat Daerah Mengundi
Sungai Manila di Dewan Kompleks Penyayang Taman Cahaya, Batu 12, Jalan Labuk,
dekat sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Musa yang
juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian
Libaran berkata kemajuan yang dicapai selama ini membuktikan bahawa komitmen
kerajaan sedia ada dalam menunaikan segala janji.
Katanya, kerajaan tidak
pernah mempermainkan rakyat tetapi pembangkang ternyata asyik menjanjikan
‘Bulan dan Bintang’ seolah-olah menunjukkan mereka di pihak yang benar.
Justeru, ujar beliau, rakyat
perlu berfikir dua kali dalam memilih kerajaan kerana jangan sampai tertipu
akibat pembohongan pembangkang yang semakin ketara.
“Pembangkang masuk kampung
dan keluar kampung macam-macam dakyah dan tohmahan yang mereka lemparkan kepada
kita. Tetapi, saya percaya rakyat Sabah pandai memilih mana yang baik dan mana
yang buruk.
“Apalagi kemajuan pesat yang
kerajaan BN laksanakan sekarang selain pelbagai bantuan dan inisiatif termasuk
perluasan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M untuk kali kedua pastinya rakyat
akan memberi sokongan mutlak.
“Ini kerana, pembangkang
terbukti berjanji kosong apabila asyik memutar belitkan sesuatu isu mahu pun
fakta … padahal kerajaan BN terus bekerja keras demi kepentingan rakyat
jelata,” kata Musa.
Katanya lagi, tentu rakyat
tidak mahu ditadbir sebuah kerajaan yang tiada keupayaan jika dibandingkan
kerajaan hari ini terbukti membela nasib semua kaum apabila setiap pembangunan
yang dijalankan tidak pernah meminggirkan sesiapa pun.
Oleh itu, tambahnya, rakyat
perlu berhati-hati dalam memilih kerajaan kerana jika tersilap seolah-olah
memperjudikan masa hadapan generasi akan datang.
Ini katanya, pihak-pihak
suka sangat menyalahkan kerajaan adalah mereka yang tiada kemampuan untuk
membawa pembangunan kepada negeri ini.
“Sejak BN memerintah Sabah …
bukan saja pembangunan yang rakyat peroleh malahan dari segi aspek perpaduan
kaum apabila setiap seorang daripada kita ini hidup dalam suasana yang aman dan
damai.
“Tentu sekali kita inginkan
suasana ini berterusan sampai bila-bila makanya sokongan haruslah diberikan
kepada BN demi masa depan yang lebih gemilang,” jelasnya.
Hadir sama Ahli Parlimen
Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris; Presiden
Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir.James Wong dan Timbalan Presiden
MPS, Mohd Hamsan Awang Supain serta pemimpin masyarakat setempat termasuk para
ketua-ketua cawangan Umno. (NST)
No comments:
Post a Comment