SEMPORNA : Menteri Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa penjawat awam di
peringkat persekutuan dan negeri agar memberi komitmen penuh bagi melaksanakan
segala dasar dan inisiatif kerajaan.
Shafie berkata komitmen
seumpama itu amat penting bagi memastikan negara terus membangun dan berdaya
saing selari dengan kemajuan global demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
“Sumbangan penjawat awam di
semua peringkat perlu untuk jayakan dasar-dasar kerajaan. Kalau sistem
penyampaian kerajaan terbantut, rakyat tidak akan dapat merasai nikmat daripada
program pembangunan kerajaan,” katanya.
Shafie yang juga Naib
Presiden Umno dan Anggota Parlimen Semporna berkata demikian ketika berucap
sempena majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Pelajar Ulung
Kolej Risda Daerah Semporna di sini, malam tadi.
Shafie berkata kegagalan
penjawat awam bagi meningkatkan dan memperbaiki sistem penyampaian mereka juga
boleh menggagalkan usaha Malaysia menempatkan dirinya sebagai antara negara
yang berdaya saing di peringkat antarabangsa seperti negara-negara maju yang
lain.
Menurut Shafie pelbagai
dasar di bawah Transformasi Kerajaan dan inisiatif ekonomi yang diperkenalkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mentransformasikan negara amat
jelas matlamatnya namun ia memerlukan sokongan penjawat awam untuk
merealisasikannya.
Sambil memuji prestasi
sumbangan penjawat awam dalam merangka dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan
pada tahun 2012 seperti kejayaan pelaksanaan Strategi Lautan Biru di seluruh
negara, Shafie meminta supaya komitmen berkenaan diteruskan dan
dipertingkatkan.
Pada majlis berkenaan,
Shafie turut menyampaikan sijil kemahiran kejuruteraan sistem komputer kepada
25 lulusan pertama Kolej Risda Semporna dan menyerahkan surat tawaran
melanjutkan pelajaran di kolej berkenaan kepada 60 pelajar baru. (Bernama)
No comments:
Post a Comment