BANTU....Anggota
JPAM dan orang awam membantu mengangkat jenazah Kahar.
Oleh : AMIR ANUAR
TAWAU: Misi mencari dan
menyelamat seorang lelaki yang nekad terjun ke perairan Sabindo kerana mengelak
daripada dicekup pihak Jabatan Imigresen berakhir setelah hampir 20 jam apabila
mayat mangsa ditemui terapung berhampiran lokasinya dilaporkan hilang.
Menurut Ketua Balai Bomba
dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek, mayat Kahar Koko, 37, ditemui oleh orang
awam kira-kira jam 8.25 pagi kelmarin dalam keadaan lengkap berpakaian
berhampiran Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini.
“Semasa mayat lelaki itu
ditemui, pasukan mencari dan menyelamat telahpun memulakan operasi, namun
secara kebetulan mayatnya timbul dan terapung di permukaan air,” katanya ketika
dihubungi sambil mengesahkan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis.
Mengulas mengenai kes itu,
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah mengesahkan tentang insiden
itu dan menyatakan bahawa siasatan ke atas mayat mangsa dijalankan mengikut
Seksyen 7 (1) Ordinan Pemeriksaan (Inquest Ordinance).
Dalam masa sama, Awang
mengingatkan para majikan agar tidak sesekali menggaji pekerja warga asing
tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah bagi mengelak
daripada dikenakan dengan sebarang tindakan undang-undang.
“Mereka yang didapati melakukan
kesalahan ini boleh didakwa mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen yang
memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 12
bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diupah,” katanya.
Sementara itu, Konsul Muda
Bahagian Tenaga Kerja, Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Asrarudin Salam
berkata pihaknya telah mengenal-pasti identiti dan keluarga mangsa yang
meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.
Tambahnya, pihak konsul akan
membantu urusan pengebumian jenazah Kahar dan telah memaklumkan ahli keluarga
lelaki terbabit yang berada di Pindrang, Sulawesi Selatan, Indonesia mengenai
insiden itu.
“Justeru, kita juga
menasihati warga Indonesia yang berada di negara ini agar memastikan diri
masing-masing memiliki dokumen pengenalan diri yang sah samada untuk bekerja
ataupun untuk melancong.
“Begitu juga, sekiranya ada
pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa di negara ini, janganlah melarikan
diri bahkan ke tempat-tempat berbahaya yang berisiko seperti di kawasan laut,”
katanya.
Untuk rekod, jenazah mangsa
telahpun dituntut oleh ahli keluarganya sejam selepas mayatnya dihantar ke
Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut dan dibawa ke Masjid Raya sebelum
disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Utara.
Terdahulu, Kahar yang
bekerja sebagai buruh sampingan selama hampir 10 tahun di CIQ Tawau dikhuatiri
mati lemas apabila tidak kelihatan selepas terjun ke laut kerana hendak
mengelak daripada dicekup oleh pihak penguatkuasa Jabatan Imigresen. (UB)
No comments:
Post a Comment