BUKTINYA...Salah
seorang ahli PBS Sekong yang menerima bendera PKR yang disampaikan oleh Ketua
Umum PKR Pusat Datuk Seri Anwar Ibarahim dalam satu majlis kemasukan
beramai-ramai ahli-ahli PBS ke PKR. Gambar sisipan Zainuddin (kiri) dan Boni
(kanan).
Oleh: SHAIMON S JUMADI
KETUA Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.43 Sekong,
Norseso P.Juanico @ Boni Yusop Abdullah (gambar sisipan) dan barisan
jawatankuasanya telah mengadakan kunjungan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri
Musa Haji Aman bagi menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang bertiup
kencang konon mereka akan keluar dari PBS dan menyertai salah satu parti
pembangkang iaitu Parti KeAdilan Rakyat (PKR).
Bercakap kepada pemberita
selepas ditemui di kediaman Musa di Sri Libaran dekat sini, kelmarin beliau
berkata ia adalah desas-desus yang tidak boleh dipercayai kerana ternyata
bersifat provokasi semata-mata; sedangkan tidak pernah terlintas di hati mereka
untuk meninggalkan PBS.
Beliau yakin dan percaya
angkara tercetusnya desas-desus ini dilakukan individu yang berkepentingan atau
ingin mendapatkan sesuatu imbuhan bagi memecah-belahkan perpaduan di kalangan
ahli-ahli PBS di kawasan Sekong dalam Parlimen Batu Sapi itu.
"Saya sudah memaklumkan
kepada Ketua Menteri tadi bahawa ia adalah satu khabar angin yang tidak boleh
dipercayai sama sekali. Kami tetap bersama PBS dalam apa keadaan sekali pun ...
parti ini adalah merupakan wadah perjuangan setelah sekian lama.
"Ia dilakukan individu
yang mempunyai niat tidak baik bertujuan adalah untuk memecah-belahkan
ahli-ahli PBS khususnya di kawasan Sekong ini. Syukurlah, Ketua Menteri berpuas
hati dengan penjelasan yang saya berikan kepadanya," kata Boni.
Boni memberitahu desas-desus
yang baru beberapa hari lepas tersebar itu turut memperkatakan empat cawangan
PBS Sekong akan bertindak keluar parti untuk menyertai PKR disusuli kira-kira
500 lagi ahli akan berbuat demikian.
Katanya, lebih dasyat lagi
konon kepimpinan PBS Sekong akan bertindak keluar secara beramai-ramai dari PBS
dan menyertai pembangkang.
"Ini satu perbuatan
sangat dasyat dilakukan individu yang juga adalah pimpinan PBS di kawasan ini.
Saya percaya bahawa individu ini tiada kekuatan yang tergamak sehingga sanggup
bertindak mewar-warkan desas-desus itu adalah bagi kepentingan dirinya.
"Sebab itu, kami
dipanggil Ketua Menteri pagi ini adalah bagi memaklumkan perkara sebenar. Ini
satu khabar angin atau desas-desus yang tidak boleh dipercayai sama sekali;
apalagi kita sekarang ini akan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
"Sesiapa pun calon
Barisan Nasional (BN) di Parlimen Batu Sapi, akan kita sokong sepenuh hati bagi
memastikan kemenangannya," ujar Boni sambil menambah bahawa dia akan
memaklumkan perkara ini kepada Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau juga akan mendapatkan
nasihat daripada Setiausaha Agung PBS berhubung tindakan tata-tertib yang boleh
dikenakan sekiranya desas-desus sedemikian terus berlarutan.
Sementara Sabahkini.Net
kelmarin sempat menemui Timbalan Ketua
Cabang Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Batu Sapi, Zainuddin Hassan (gambar sisipan)
menyatakan kemasukan seramai 400 orang ahli-ahli Parti Bersatu Sabah (PBS)
Bahagian Sekong memang benar ini bukan satu pembohongan atau direka-reka sahaja
seperti yang disangkal oleh Boni.
Kata Zainuddin, kemasukan
400 orang ahli PBS ke Parti Pakatan Rakyat kerana mereka sudah jelak dan muak
atas kepimpinan Boni sebagai Ketua Bahagian yang tidak membawa sebarang
kemajuan langsung untuk para penyokong PBS.
Lagipun kata Zainuddin, Boni sebagai Ketua Bahagian PBS Sekong sejak
dari dahulu hingga sekarang tidak
disukai oleh orang Sekong dan Batu Sapi; apatah lagi wujud permusuhan dengan
ADUN Sekong dan Ahli Parlimen
Batu Sapi; malah Boni tidak sehaluan dengan kedua-dua pemimpin yang mempunyai
pengaruh besar di kawasan berkenaan.
“Jadi saya cabar Bonney agar
tidak menegak benang yang basah. Itulah hakikatnya; siapa lagi percaya kepada
Boni kerana tidak mempunyai kredibiliti.
Sekalipun dia jumpa dengan Ketua Menteri, saya tidak fikir akan percaya dengan
kata-katanya” tegas Zainuddin lagi.
PBS Sekong, kata Zainuddin
tidak lagi mempunyai ramai ahli kerana para penyokongnya sudah bosan dengan
janji-janji yang tidak pernah ditunaikannya.
Macam mana Boni boleh jadi pemimpin, tambah
Zainuddin, kalau setiap masa mengharap belas ehsan pemimpin lain sehingga ahli-ahli
PBS hanya mampu menelan air liur sahaja berbanding dengan ahli-ahli UMNO.
"Saya cadangkan, bagus
bubar sahaja PBS Sekong kerana tiada gunanya bertahan lama, kecuali kalau tukar
Ketua Bahagian iaitu anak jati Sekong
atau Batu Sapi. Barulah ada kemajuan,” ujarnya sambil menyelar Boni lebik baik
letak jawatan jangan jadi patung atau tunggul dalam PBS yang semakin hilang
pengaruh.
No comments:
Post a Comment