Tuesday, 22 January 2013

PEMERINTAHAN BN WAJIB DIKEKALKAN






BANTUAN ... Alipudin menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Siti Haiba di majlis tersebut.

Oleh  : SAIMON S JUMADI

RAKYAT negeri ini perlu mengekalkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) memandangkan ia bukan sahaja mampu membawa nikmat pembangunan, malahan keamanan yang menjadi asas perjuangan para pemimpinnya.

Naib Ketua Umno Bahagian Sandakan, Datuk Haji Alipudin Puyon, menegaskan sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, suasana harmoni terus dinikmati semua lapisan kaum kerana kerajaan mengambil ikhtibar  daripada kejadian di masa lampau.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini rakyat terus mengecapi kehidupan yang aman dan tenteram hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin BN yang sentiasa menitikberatkan perpaduan demi kepentingan generasi mendatang.

Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja, rakyat hendaklah memastikan kerajaan sedia ada terus berkuasa mengekalkan tampuk pemerintahan kerana hanya BN mampu mewakili rakyat negara ini.

"Saya mengatakan demikian kerana BN terbukti membela nasib rakyat tambahan pula Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah petanda bahawa kepentingan rakyat terus didahulukan.

"Sudah terbukti apabila berbagai usaha dan inisiatif yang diperkenalkan pihak kerajaan baru-baru ini telah memberikan banyak manfaat kepada seluruh rakyat.

"Oleh itu, kita wajar bersyukur dengan nikmat keamanan termasuk juga usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan ini. Manalah kita mahu negara ditadbir pihak-pihak yang suka sangat menabur janji manis sedangkan keupayaan mereka tiada," jelasnya.

Alipudin menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Program Puteri Prihatin anjuran Pergerakan Puteri Umno Bahagian Sandakan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Dewan Masyarakat, di sini.

Hadir sama Bendahari Umno Sandakan, Jainudin Brahim; Ketua Penerangan Bahagian, Abdul Hamid Sabal dan Ketua Puteri Bahagian, Siti Haiba Majid.

Sehubungan itu, katanya, negeri ini akan bertambah maju dengan kepesatan pembangunan berikutan dasar kerajaan BN yang sentiasa memenuhi aspirasi rakyat tanpa meminggirkan keperluan mana-mana golongan.

Tambah beliau, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerana ia adalah gimik politik tambahan pula mereka sudah ketandusan idea melainkan asyik menyalahkan kerajaan tanpa usul periksa.

Beliau berkata, sebaliknya rakyat hendaklah memberikan sokongan penuh bagi memastikan kemenangan mutlak calon-calon BN dan menolak pembangkang.

"Saya yakin dan percaya melalui pentadbiran kerajaan BN akan dapat mensejahtera seluruh rakyat. Kita boleh lihat sendiri keadaan harmoni sekarang membolehkan negara menjadi contoh terbaik.

"Oleh itu, beri sokongan padu terhadap BN demi kelangsungan kemajuan yang kita kecapi ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Alipudin memuji usaha dan inisiatif Puteri Umno Sandakan yang tampil membantu masyarakat memerlukan bantuan menerusi program tersebut.

Katanya, program amat dialu-alukan kerana ia selari dengan hasrat kerajaan iaitu Gagasan 1Malaysia 'Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan'.

Terdahulu, Siti Haiba dalam ucapannya memberitahu Puteri Umno tidak pernah lupa tanggungjawab membantu masyarakat malahan sentiasa memastikan 'Program Puteri Prihatin' memanfaatkan semua pihak.

"Inilah salah satu misi kita yang tidak sanggup melihat ada yang terpinggir dan program yang diadakan petang ini kerana kita terpanggil untuk memberikan sedikit bantuan walaupun seadanya.

"Cuma kita mahu masyarakat terus mendapat pembelaan lebih-lebih lagi kerajaan memperkenalkan pelbagai pendekatan murninya," tambahnya.

No comments:

Post a Comment