Oleh: DATUK KALAKAU UNTOL
SEJURUS selepas selesainya
PRU12 pada 8 Mac 2008, Politik negara terus bergema dan bergolak. Di antara
perkembangan yang begitu signifikan adalah serangan dalaman UMNO yang diketuai
oleh Tun Dr. Mahathir sendiri ke atas Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun
Abdullah Ahmad Badawi, sehinggakan Perdana Menteri melepaskan jawatannya kepada
timbalannya Dato Seri Najib Tun Razak.
Sebelum itu, pilihanraya
kecil berlaku di merata negeri yang kebanyakannya dimenangi oleh Pakatan
Rakyat. Di antara pilihanraya kecil yang paling dramatis ialah pada ketika Dato
Seri Anwar Ibrahim (DSAI) secara rasminya kembali ke gelanggang arena apabila
Presiden Keadilan melepaskan jawatannya sebagai MP Permatang Pauh; untuk
memberi laluan kepada DSAI yang juga merupakan suaminya.
Ketika itulah juga UMNO/BN
mengulangi skrip lamanya iaitu rekaan fitnah sodomi ke-2 untuk menjatuhkan
DSAI. Syukur dan Puji Tuhan atas berkat kebenaran dan keadilan mahkamah
mendapati DSAI tidak bersalah sama seperti kes sodomi pertama.
Lebih daripada itu, UMNO,
melancar satu lagi babak video lucah di mana Tan Sri Rahim Tamby Chik diambil
sebagai pengarah filem tersebut tetapi ternyata strategi kotor ini gagal dan
tidak mendapat sambutan rakyat. Semua lakaran dan lakonan politik UMNO memakan
diri sendiri apabila rakyat Malaysia menolak UMNO dan menerima Pakatan Rakyat.
Kekuatan Pakatan Rakyat
terus bertambah di wilayah Borneo. Pertambahan 2 kerusi MP di Sabah dan 1 DUN
di Sarawak membuktikan perubahan drastik bakal menjelma bagi sokongan rakyat
dari wilayah Borneo.
SODOMI
Kini, politik negara bergema
dan bersemarak apabila SPR mengulangi strategi lamanya yang pernah dilakukan di
Sabah semasa menjatuhkan PBS di tampuk kuasa pada 1994 dengan merekrut pengundi
hantu.
Secara jelas tindakan SPR
ini adalah menderhakai perlembagaan negara dengan memberikan kerakyatan kepada
PTI sekaligus mendaftarkan mereka sebagai pengundi.
Perkara ini, telah menjadi
bahan politik di seluruh negara sehingga mengundang demonstrasi aman yang
terbesar dalam sejarah yang dikenali sebagai perhimpunan BERSIH. Begitulah
suasana politik negara muktahir kini dan pendemokrasian ini tidak bernoktah
serta akan menjadi lebih subur dan terus hidup.
Bila Pilihanraya Ke-13? Bila
Dewan Bubar?
Persoalan ini tidak lagi
penting dan tidak dihiraukan sangat oleh sesiapapun kerana rakyat sudah cukup
bersedia dan muak dengan sikap pengecut Najib Tun Razak. Bagaimanapun usaha
Najib yang sedaya upaya untuk melakar modul politik baru dengan pelbagai
penjenamaan harus dipuji sehingga tidak sempat pun dihadam oleh semua bahagian
UMNO.
Slogannya, transformasinya,
NKRAnya, dan berbagai lagi taktik tetapi semuanya kecundang dengan kuasa
rakyat. Malah, nasib Najib bertambah parah apabila dipukul oleh deretan
skandalnya sendiri termasuk pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu
dengan bahan peletup C4, skandal rasuah scorpene, dan banyak lagi.
Tidak ketinggalan juga
skandal cincin isterinya Rosmah yang bernilai 24 juta. Sikap isteri Najib yang kononnya
berbelanja mewah dan boros itu sekaligus melambangkan kepincangan dalam
menangani ekonomi rakyatnya apabila negara dilanda krisis dan rakyat merasai
bebanan dan tanggungan hidup yang tinggi, isteri Najib kelihatan berbelanja
sakan di luar negara termasuk di Australia baru-baru ini.
Belum pun reda kisah sedih
Najib ini, isu LEMBU KONDO pula muncul dan ianya ternyata membawa kehancuran
kepada cara pemerintahan Najib yang rasuah.
Sebagai bukti dan fakta
tatapan pembaca, baru-baru ini Najib telah dianugerahkan dan digelar sebagai
negara yang paling RASUAH oleh satu badan dunia yang berpengkalan di Amerika
Syarikat.
Ia seakan akan badi malang
yang menghantui Najib sehinggakan para peniaga roti di warung-warung menggelar
roti kosong sebagai roti NAJIB kerana tiada telur. Hal ini ditafsirkan
sedemikian rupa kerana Najip telah meninggalkan dewan Parlimen apabila dicabar
oleh DSAI untuk berdebat.
Sementara semua pihak
ghairah terjun dalam politik perubahan ada juga yang diselubungi kegetiran akan
kehilangan kedudukan dan keistimewaan.
Begitulah suasana perasaan
di kalangan masyarakat ketika ini. Namun, mahu tidak mahu Dewan pasti akan
bubar dan rakyat akan melakukan pemilihan sama ada Pakatan Rakyat atau UMNO/BN
di PRU-13 nanti.
Niat DS Najib untuk memberi
kejutan mengenai tarikh PRU-13 akhirnya tidak kesampaian apabila semua tarikh
yang ditiliknya memperlihatkan sesuatu yang tidak bermanfaat dan terpaksa
membawa perkara ini ke arah masa tambahan yang diperbolehkan oleh peraturan
sedia ada.
Semboyan politik yang
dilakar Najib hanya berjaya melembutkan Harimau Tua UMNO/BN iaitu Tun Dr.
Mahathir untuk memaksanya mengadakan pilihanraya pada tahun ini. Kroni Najib
terus puas hati melepasi tekanan Tun Dr. Mahathir dan beliau kini merasa bahang
kegetiran kerana suara dan strategi tidak mudah mengena lagi.
Barah dalam UMNO/BN semakin
parah apabila Tun Dr. Mahathir mengakui secara terang-terangan membuat
kenyataan media mengatakan bahawa Pendatang Tanpa Izin di Sabah wajar diberikan
kerakyatan hanya kerana PTI tersebut pandai berbahasa ‘melayu’.
Ini adalah satu penghinaan
yang tragis kepada kedaulatan Sabah. Sesungguhnya rakyat Sabah sangat terguris
dengan kenyataannya itu. Ia juga salah satu cara UMNO/BN untuk menakluki Sabah
dan berkuasa tanpa memikirkan nasip rakyat asal.
Tun Dr. Mahathir juga dengan
sombong mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan nilai agama rakyat Malaysia.
Kenyataannya iaitu ‘lebih baik menyokong SYAITAN yang dikenali daripada menyokong
MALAIKAT yang tidak dikenali’.
Beliau secara tidak langsung
menggelarkan UMNO/BN sebagai syaitan dan Pakatan Rakyat sebagai malaikat dan
bila diamati secara mendalam, kenyataannya ini memang benar sekali!
Calon-Calon Yang Bertanding
Kedua-dua pihak UMNO/BN dan
Pakatan Rakyat telah melahirkan nada yang sama mengenai kriteria calon iaitu
calon yang boleh membawa kemenangan.
Faktor calon ini kadangkala
menyulitkan apabila di peringkat akhir pemilihan. Dulu, perkara ini amat mudah
kepada UMNO/BN semasa ia kuat tetapi sekarang perkara ini adalah malapetaka
kepada UMNO/BN.
Najib tidak akan mudah
menyerahkan atau memberikan laluan kepada sekutunya MIC dan MCA di kawasan
majoriti pengundinya melayu. Fenomena ini disebabkan oleh pengundi Cina dan
India kini sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kerumitan dan
kerunsingan sedang melanda kepada pemimpin UMNO/BN di Semenanjung.
Manakala, di pihak Pakatan
Rakyat pula, keadaan begitu mudah dan serasi dengan perundingan hampir selesai
sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kriteria pemilihan calon kali ini
juga penting dalam menentukan halatuju kemenangan sesuatu parti.
Peristiwa pemilihan calon
secara tergopoh gapah pada pilihanraya 2008 sudah tentu menyebabkan Pakatan
Rakyat akan lebih berhati-hati kali ini.
Bukan itu sahaja, rakyat
juga runsing jikalau pilihan mereka beralih arah lagi seperti yang berlaku di Semenanjung
Malaysia tidak lama selepas pilihanraya. Mereka tidak mahu lagi calon yang
mereka pilih akan beralih kepada UMNO/BN.
Terdapat banyak faktor yang
harus diambilkira dan sesungguhnya bukan mudah. Teka-teki persoalan ini hanya
boleh dijawap pada hari pengumuman calon. Biasanya individu yang tidak tercalon
akan kecewa dan berakhir dalam 2 atau 3 hari selepas itu.
Tidak kurang juga yang
sabotaj dan ada juga yang bertanding atas tiket bebas kerana tidak dapat
menerima keputusan Majlis Tertinggi parti. Ia adalah lumrah dalam setiap PRU.
Senario Politik Di Sabah Dan
Sarawak
Rakyat Sabah dan Sarawak
telah menyandarkan harapan mereka kepada rekod kecemerlangan pilihanraya
UMNO/BN seperti mana yang telah dicanai oleh pucuk pimpinan negara sejak sekian
lama dan sindrom kesetiaan yang membuta itu telah mengukir satu keputusan
cemerlang pada PRU-12 di mana hampir kesemua kerusi disapu bersih oleh UMNO/BN
di Wilayah Borneo (Sabah dan Sarawak).
Namun, dalam PRU-13 nanti,
perkara ini tidak akan berlaku. Stigma fix-deposit pasti meleset. Dalam
pilihanraya DUN Sarawak, keputusannya jelas bahawa hampir semua kawasan Cina
dan satu kawasan Lumbawang telah melayang. Perkara yang sama pasti terjadi
dalam pilihanraya Parlimen dan dipercayai jauh lebih banyak lagi yang akan
menyokong Pakatan Rakyat.
Di Sabah, sudah 2 Ahli
Parlimen dan seorang Senator telah mengistiharkan keluar daripada UMNO/BN dan
kini sedang bergiat aktif dalam Pakatan Rakyat.
Datuk Seri Panglima Wilfred
M Bumburing, Mantan Timbalan Presiden UPKO dan masih lagi berkhidmat sebagai
Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Hj Lajim Hj Ukin, Mantan
Timbalan Menteri, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Pusat dan masih lagi berkhidmat
sebagai Ahli Parlimen Beaufort, dan Senator Datuk Maijol Mahap, mantan Naib
Presiden UPKO.
Tindakan mereka memang tidak
diduga tetapi DSP Wilfred M Bumburing memang begitu lantang menegur kerajaan di
Parlimen berhubung dengan kebanjiran PTI di Sabah sejak dulu lagi.
Senario politik Sabah dalam
setiap kejatuhan kerajaan berpunca daripada tindakan pimpinan kerajaan
meninggalkan parti pemerintah apabila parti pemerintah semakin sombong dan
melupakan tanggungjawap kepada rakyatnya.
Di mana-mana sahaja di Sabah
sekarang laungan ‘INI KALI LAH’ dan disusuli dengan teriakan ‘TUKAR’ jelas
sekali menggambarkan betapa rakyat Sabah dahagakan perubahan.
Slogan ini begitu popular
dan sudahpun sampai ke Semenanjung Malaysia. Tsunami keramat ini jauh sekali
menenggelamkan pekikan sumbang ’1Malaysia’ idea basi transformasi Najib.
Masyarakat umum percaya
bahawa semua kawasan Cina akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat walaupun SPR cuba
membuat penambahan pengundi yang diragui.
Manakala di kawasan Muslim
seperti Beaufort, Kimanis, Papar, dan Kudat akan dikuasai Pakatan Rakyat. Di
kawasan KDM yang pasti dirampas ialah Penampang, Tuaran, Kota Marudu,
Pensiangan, Ranau dan Keningau.
Pernyataan ini dibuat
berdasarkan culaan dan sentimen perubahan pengundi KDM yang bermula sejak
pilihanraya 2008 lagi. Keadaan ini terjadi bukan kerana pemimpin dari Sabah ini
tidak baik, tetapi mereka ditinggalkan pengundi kerana rakyat secara amnya
mahukan perubahan kepada dasar dan polisi negara yang didominasi oleh politik
tidak sihat UMNO/BN. Fenomena ini sudah sampai ke tahap leburnya dan tidak
boleh dihentikan lagi, bak kata orang putih, ‘UNSTOPPABLE’.
Perhitungan rakyat Sabah
ialah, jikalau UMNO/BN dilanjutkan lagi berkuasa selama 5 tahun, rakyat Sabah
yakin bahawa kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) akan terus bertambah dan
diberikan kerakyatan. Implikasi penderhakaan ini akan mengakibatkan PTI yang
mempunyai kerakyatan songsang melebihi rakyat asal dan seterusnya mengambil hak
rakyat selama-lamanya.
Selagi kerajaan pusat
pimpinan UMNO/BN tidak tumbang, selagi itulah penderhakaan kepada Perlembagaan
Negara tidak dapat dihentikan. Justeru itu, rakyat Sabah sudah nekad dan
bergerak dalam diam seterusnya membentuk sebuah kerajaan pusat yang baru yang
dinamakan ‘Pakatan Rakyat’.
Kempen Yang Terhebat
Semasa penamaan calon, sudah
tentunya meriah dan hangat di Semenanjung. Semuanya panas dan agresif. Tidak
kurang juga yang mengganas apabila peralihan kuasa rakyat berlaku. Apapun di
Sabah memang mesra dan penulis tidak fikir perarakan calon-calon di Sabah
berlaku keganasan.
Penulis percaya bahawa
keesokan hari selepas sahaja penamaan calon suasana akan bertambah hebat dengan
pembongkaran sama ada isu umum atau peribadi merujuk kepada calon-calon yang
bertanding.
Pada masa itu slogan ‘TUKAR’
dan ‘INI KALI LAH’ akan terpampang di billboard yang besar dan di tempat-tempat
yang strategik. Bukan itu sahaja, teriakan dan laungan perkataan keramat ini
akan menamatkan pemerintahan UMNO/BN di Malaysia.
Tidak hairanlah pada ketika
itu haiwan peliharaan seperti kambing, kerbau dan anjing akan digunakan sebagai
bahan kempen membawa bendera ataupun dicat dengan warna bendera masing-masing.
Sudah pastinya kempen terhebat kali ini bergerak 24 jam dan tidak mengira masa.
Kempen akan dijalankan di
mana mana sahaja termasuklah di majlis keramaian seperti tunang, kahwin,
harijadi, di gereja, di masjid, malah di tempat orang meninggal pun kempen
tetap berjalan. Kadang-kadang ada juga pekempen-pekempen yang fanatik dan berlagak
dengan nada yang tinggi cuba menguasai keadaan.
Biasanya pekempen ini hanya
dibiarkan sahaja oleh pengundi kerana garangnya itu cuma 2 hingga 3 minggu dan
keadaan akan pulih seperti biasa. Penulis meramalkan tempoh kempen mungkin
menjangkau 13 hari ataupun 312 jam.
Semasa Mengundi
Tempoh yang paling kritikal
ialah pada masa tamat tempoh kempen. Semua pihak beralih kepada satu tahap
teknikel yang melibatkan ‘polling agent’, ‘counting agent’ dan ‘barong agent’.
Di situlah nanti orang
harapan dan pilihan parti masing-masing akan bertugas. Mereka ini adalah
ejen-ejen yang terlatih dan harus dipantau ketat oleh Pakatan Rakyat agar tidak
dibeli oleh pihak lawan. Jikalau perkara ini berlaku, maka penipuan dalam
kiraan undi dengan mudah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawap.
Apapun diharap kedua-dua
belah pihak akan mengamalkan satu pengiraan yang telus dan berakauntabiliti.
Para petugas SPR juga diharapkan bertugas secara berkhemah dan berhati-hati
tanpa ada niat menipu kerana jikalau itu berlaku dan ditakdirkan Pakatan Rakyat
memerintah sudah tentu nama pegawai tersebut akan diambil dan dihadapkan ke
muka pengadilan.
Jalan selamat ialah petugas
SPR harus menjalankan tanggungjawap secara profesional untuk mengelakkan
sebarang perkara yang buruk.
Penulis menjangkakan
kehadiran pengundi hantu yang akan digunakan oleh pihak UMNO/BN untuk
menentukan kemenangan mereka. Jikalau keadaan ini berlaku, kekacauan mungkin
akan timbul bilamana orang-orang kampung dan penduduk tempatan pada kali ini akan
bertindak menghalang pengundi hantu ini. Sesungguhnya kehadiran pengundi hantu
tidak boleh dibiarkan sama sekali.
PRU-13 adalah PRU yang
paling penting dan kritikal. Ia akan menjadi satu titik perubahan cara
pentadbiran negara dijalankan. Jikalau mereka dibiarkan menentukan kuasa
politik tanahair maka masa depan generasi kita akan datang akan gelap dan akan
diperintah selama-lamanya oleh pengundi hantu ataupun PTI ini.
Diketahui kini bahawa semua
kampung dan JDM sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kehadiran pengundi
hantu demi mempertahan kan kedaulatan Sabah.
Pengundi tempatan yang sah
pula tentu merasa bangga kerana dapat menunaikan tanggungjawap besar dalam
penubuhan sebuah kerajaan dalam sistem demokrasi.
Selepas itu, proses
pengiraan undi adalah yang terpenting sekali di mana ‘counting agent’ bertugas.
Wakil ini haruslah individu yang boleh dipercayai dan pakar dalam mengira.
Sikap berhati-hati, tegas dan berani harus ada.
Pengumuman Keputusan PRU-13
Detik cemas ini amat
ditunggu-tunggu dan akan diperhatikan oleh masyarakat di seluruh dunia.
Persoalan mereka ialah siapa pemerintah negara Malaysia yang baru? Sama ada
Pakatan Rakyat ataupun masih UMNO/BN.
Semasa menunggu keputusan
detik akhir inilah yang sangat mendebarkan dan mampu menggoncang adrenalin
peminat politik, tidak hairanlah jika ada yang lemah jantung dan mungkin ada
yang pengsan kerana tidak dapat menerima kekalahan. Tahniah! Kepada yang menang
dan kepada yang kalah, cuba lagi di PRU-14.
Tetapi, sekiranya pemilihan
tidak telus dan berat sebelah, sudah tentu akan mengundang masalah dan rakyat
pastinya tidak berpuashati. SPR dari awal-awal lagi tidak menjalankan kerja
dengan baik, kesilapan demi kesilapan dalam daftar pemilih yang semacam
disengajakan tentunya mengundang persepsi negatif kepada kredibiliti SPR.
Sebenarnya kalau diamati
secara mendalam, SPR sudah tercemar dengan Pengerusi dan Timbalannya adalah
ahli parti UMNO. Di pihak Pakatan Rakyat, mereka begitu mengambil berat dan
serius perihal ini. Ini secara jelas bertentangan dengan konsep demokrasi.
Secara lazimnya, pada
peringkat ini, semua pemimpin tertinggi berkumpul di rumah Presiden
masing-masing dan di peringkat negeri pula, mereka akan berkumpul di rumah
Ketua Menteri atau rumah Menteri Besar.
Setiap kemenangan pastinya
akan disusuli dengan teriakan riang gembira dan sebaliknya kepada yang kalah,
biasanya diiringi dengan tangisan. Begitulah lumrah dan adat pertandingan.
Suasana ini akan berlaku di kedua-dua belah pihak sama ada Pakatan mahupun BN.
Pada akhirnya, apabila sudah hampir kepada bilangan majoriti mudah ataupun ‘Simple
Majority’, di situlah semua merasa gelisah.
Kepada calon MP atau DUN
yang menang, mereka akan dipanggil dan berkumpul tetapi kepada yang kalah
biasanya dikemudiankan. Ketua kepada pemenang akan menghubungi Peguam Negara,
dan Istana untuk tujuan upacara pembentukan kerajaan.
Dalam jangkamasa ini sudah
tentu persaingan di antara ketua akan timbul dan di sini jugalah keikhlasan dan
kejujuran sebenar biasanya dilihat. Ada yang susah dihubungi dan mungkin tidak
kurang juga yang akan beralih arah, kita tunggu dan lihat.
Berakhirnya Legasi Ketuanan
Melayu UMNO
Penulis menjangkakan bahawa
pertukaran kerajaan pasti berlaku.
UMNO kalah
Selepas sahaja Pakatan
Rakyat mengambilalih Putrajaya, serentak dengan itu berakhir jugalah legasi
Ketuanan Melayu UMNO yang telah tertanam sejak sekian lama.
Peningkatan tahap pemikiran
melalui kerajaan baru nanti akan merancakkan pembangunan negara dari segi
material mahupun ideologi, apalagi kita akan berhadapan dengan pesaing negara
maju global kini.
Sebenarnya fenomena ini
bukanlah perkara yang baru bagi sesebuah negara maju, ianya sudah berlaku
beberapa fasa ke hadapan dan kita di Malaysia juga sedang mempersiapkan diri
untuk melaluinya. Rakyat Malaysia akan melangkah dan maju setapak lagi dalam
fasa baru demokrasi yang sebenarnya.
Rakyat dan generasi baru
akan merasai cara demokrasi sebenar diaplikasikan dan sudah tentu ianya akan
mempengaruhi cara pemikiran yang lebih terbuka dan keluar daripada hambatan sindrom
‘setia membuta’ yang dipopularkan oleh UMNO/BN sejak merdeka lagi.
Dan mungkin ada benarnya
kata-kata seorang penulis dan aktivis antarabangsa yang terkenal, Hishamudin
Rais bahawa UMNO adalah parti yang diasaskan oleh British dan sebutannya berbunyi
‘United Malay National Organisation’.
Apapun terjadi, kita sebagai
rakyat Malaysia harus bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan dan sudah
tentu setiap daripada kita ini mengharapkan yang terbaik sebagai bekalan kepada
generasi yang akan datang.
{NOTA : Artikel ini ditulis
oleh Datuk Kalakau Untol. Beliau merupakan seorang ahli politik berpengalaman
yang pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Buruh Persekutuan, Ahli
Parlimen P.170 Tuaran dan juga Senator Dewan Rakyat. Ketika ini, beliau
merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat dan Setiausaha
Penganjur bagi Angkatan Perubahan Sabah (APS)}
No comments:
Post a Comment