Tuesday, 15 January 2013

UNIT PENEMPATAN JKM JAGA PELARIAN FILIPINA






KOTA KINABALU : Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah kelmarin diberitahu kerajaan menubuhkan Unit Penempatan, di Jabatan Ketua Menteri (JKM) bagi menjaga hal ehwal pelarian dari Filipina di Sabah.

Abdul Jaapar Alip, 58, Bekas Ketua Unit Penempatan di JKM berkata unit itu ditubuhkan pada 1976 juga bertanggungjawab menjaga semua hal ehwal yang berkaitan di bawah JKM.

Abdul Jaapar yang bertugas di unit itu dari 1983 hingga 2008, juga turut bersetuju dengan soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, skim penempatan itu bertujuan menangani masalah pelarian rakyat Filipina.

Abdul Jaapar, saksi ketiga dalam prosiding itu berkata kerajaan juga pada 1985 menubuhkan lima skim penempatan bagi pelarian Filipina itu yang terletak di Kampung Telipok dan Kampung Kinaruk, di Kota Kinabalu; Kampung Bahagia, Sandakan; Kampung Selamat, Semporna dan Kampung Hidayah di Tawau.

Diminta menjelaskan mengenai pengambilan pelarian itu ke skim tersebut saksi berkata mereka mesti memenuhi lima syarat iaitu datang dari Selatan Filipina, terlibat secara langsung dalam peperangan di kawasan itu, datang ke Sabah pada 1970 hingga 1984, beragama Islam dan bersedia tinggal tetap di negeri itu.

Abdul Jaapar, yang kini bersara, berkata penempatan itu masih wujud sehingga sekarang.

Beliau berkata sejak pelaksanaan skim penempatan itu dari 1976 sehingga 1985, seramai 73,000 pelarian beragama Islam dan pelarian teranjak yang bukan Islam didaftarkan di JKM.

Ketika menerangkan proses pengambilan, saksi berkata selepas menemuduga pelarian itu dan sekiranya mereka layak dikategorikan sebagai pelarian pihaknya akan mengemukakan borang permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk pengeluaran pas lawatan kerja sementara yang kini dikenali 1MM-13.

"Resit pendaftaran beserta gambar dan nombor siri akan dikeluarkan," katanya lagi.

Saksi itu berkata bagaimanapun pada September 1985, kerajaan negeri mengarahkan pendaftaran pelarian itu dihentikan serta-merta dan ketika itu kerajaan diterajui Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pakar sejarah Malaysia Datuk Prof Ramlah Adam, dalam keterangannya pula berkata pelarian Filipina datang ke Sabah atas beberapa faktor antaranya hubungan yang mempunyai banyak persamaan dari segi warisan, pekerjaan, agama dan juga berkongsi lautan yang sama.

"Saya percaya hubungan yang tidak tertulis dan tersirat ini berlaku kerana hubungan agama, persaudaraan dan warisan," katanya yang banyak menulis buku dan menjalankan penyelidikan sejarah selain pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

Ketika diminta memberikan cadangan untuk mengatasi isu pendatang asing ini oleh Manoj, Ramlah mencadangkan supaya semua pihak melihat isu ini sebagai isu negara dan bukannya isu politik.

Saksi pertama itu berkata sekiranya ada pihak melihat isu ini sebagai isu politik, mereka tidak ikhlas dalam menyelesaikan masalah ini.

Prosiding itu juga mendengar keterangan saksi kedua iaitu Prof Emeritus Dr Ranjit Singh a/l Darshan Singh, pakar sejarah yang menerangkan sejarah etnik Sabah.

Selepas saksi ketiga selesai memberikan keterangannya bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong yang mempengerusikan panel lima anggota itu meminta semua yang berada di dalam mahkamah keluar atas sebab kecemasan.

Pihak polis kemudiannya meminta semua meninggalkan kawasan mahkamah sementara menunggu siasatan dan difahamkan terdapat ancaman bom.

Perbicaraan bersambung hari ini, selasa (Bernama)

1 comment: