Oleh : ABU BAKAR ESAH
CALON Barisan Nasional (BN)
bagi kerusi Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, menggariskan visi dan misi
pembangunan yang holistik untuk kawasan Beaufort.
Azizah yang juga Menteri
Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri bersaing dalam
pertandingan tiga penjuru apabila berhadapan bekas Timbalan Menteri Perumahan
dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin yang kini mengetuai Pertubuhan
Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) tetapi bertanding atas tiket PKR dan Gaundi
Kohoi dari parti STAR.
Parlimen Beaufort yang
mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Klias dan Kuala Penyu
menyaksikan calon BN, Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih
berhadaan cabaran Lajim (PKR), Mohd Sanusi Taripin (SAPP) dan Aliapa Osman
(STAR) untuk DUN Klias.
Sementara Limus Jury yang
diberi tanggungjawab jawab mempertahankan kerusi BN di DUN Kuala Penyu
menghadapi saingan daripada Datuk Johan @ Christopher OT Ghani (PKR), Alexander
Sintin (STAR) serta dua calon bebas iaitu Mohd Tajuddin Mohd Walli dan Jusbian
Kenneth @Kini.
Azizah yang kelihatan ceria
sepanjang penamaan calon berkata, misi itu lebih menumpukan kepada usaha
memperkasa pembangunan Beaufort yang maju dalam semua aspek kehidupan termasuk
daripada segi sosio-ekonomi, budaya, sahsiah dan penguasaan ilmu yang seimbang.
Bagi mencapai tujuan itu,
Azizah berazam untuk meneruskan perkhidmatan yang terbaik untuk semua rakyat
selaras dengan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin BN yang mendukung
konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
"Kita juga mahu melihat
taraf ekonomi di kalangan penduduk berbilang kaum dapat ditingkatkan melalui
penyertaan penduduk dalam program dan bantuan yang disediakan kerajaan selain
memperhebat penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan perniagaan,"
katanya kepada Bernama, di sini.
Azizah juga bertekad untuk
menjadikan Beaufort sebagai Hab Pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya
saing dan mempunyai jati diri negara bangsa bagi memenuhi keperluan sebagai
negara maju menjelang 2020, sekurang-kurangnya 1 Kampung 1 Profesional.
"Kita mahu memperkasa
kepimpinan di peringkat akar umbi bagi memastikan kawasan dan penduduk setempat
tidak terpinggir daripada program-program pembangunan kerajaan,' katanya.
Katanya nasib golongan belia
Beaufort tidak diabaikan, malah misi beliau turut merangkumkan usaha
mentranformasi daya kepimpinan generasi muda dalam usaha melahirkan pemimpin
pelapis demi kesinambungan perjuangan pemimpin terdahulu dan masa kini.
"Saya juga berhasrat
untuk mewujudkan bandar lestari (Beaufort) yang memenuhi cita rasa dan aspirasi
penduduk dengan perkembangan semasa.
Turut menjadi fokus beliau
jika diberi mandat untuk lima tahun akan datang ialah meningkatkan penglibatan
penduduk tempatan memajukan industri pelancongan di Beaufort.
Mengenai pilihan raya umum
kali ini, Azizah berkata Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik untuk
Beaufort demi masa depan yang lebih baik dan beliau yakin rakyat Beaufort bijak
memilih kerajaan yang boleh menjamin masa depan mereka.
"Kita tidak boleh
terlalu ikut emosi memilih ketokohan individu sehingga tidak dapat melihat
kebaikan berada di bawah payung kerajaan Barisan Nasional yang sudah teruji
mampu membela nasib rakyat termasuk di Beaufort.
"Orang muda kita
sekarang mahu melihat sesuatu agenda pembangunan yang "konkrit" atau
jelas. Misalnya dalam soal perumahan, individu tertentu mungkin boleh
menyediakan beberapa rumah tetapi penduduk Beaufort ramai, tidak mungkin
individu ini boleh menyediakannya.
Azizah berkata kerajaan BN
telah membawa banyak perubahan dan pembangunan, sama ada di daerah Beaufort
atau daerah Kuala Penyu, terutama peluang pekerjaan dan pendidikan.
Sambil memberi contoh
pembangunan industri minyak dan gas di Sipitang dan Kimanis, beliau berkata
ramai generasi muda dari kawasan Beaufort bakal mendapat pekerjaan di situ.
"Bagaimanapun, mereka
perlu diberi latihan bagi merebut peluang pekerjaan dalam industri minyak dan
gas dan hanya kerajaan BN yang boleh melakukannya, dan ini terbukti melalui
program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak," katanya.
No comments:
Post a Comment