Friday, 5 April 2013

BATU SAPI SOKONG SIAPA JUGA CALON BN







ALBUM KENANGAN....Datuk Samsudin bersama para penyongkong BN Batu Sapi sekalipun mungkin tidak tercalon pada PRU-13.

OLEH: SHAIMON S JUMADI

BATU SAPI :  Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya, menyatakan keyakinannya ketiga-tiga kerusi di Parlimen P.185 Batu Sapi akan dapat dikekalkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti berdasarkan kesiapsiagaan jentera parti Barisan Nasional (BN) kini sudah cukup bersedia bagi menghadapi pihak pembangkang.

Menurut beliau, keyakinan ini apabila jentera sedia ada termasuk petugas Jalinan Rakyat (JR) menunjukkan semangat yang berkobar-kobar ketika menjalankan tugasan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, gerak kerja JR pastinya menambahkan lagi keyakinan rakyat terutama pengundi kerana kehadiran mereka dengan menyalurkan pelbagai maklumat terkini berhubung program pembangunan sedikit sebanyak membantu masyarakat untuk berkongsi pengetahuan.

Katanya, kemesraan JR ketika berinteraksi pula akan membantu BN dalam segala segi sebab pendekatan petugas-petugas terdiri dari rakan-rakan komponen parti itu turut mengenal pasti permasalahan untuk ditangani segera.

"Saya yakin dan percaya ketiga-tiga kerusi di kawasan Batu Sapi termasuk DUN Sekong dan Karamunting akan dapat dipertahankan semula pada PRU-13 kerana semua pihak di dalam BN komited dalam menjalankan tugas masing-masing.

"Seperti JR umpamanya ... saya berbangga dengan mereka apabila gerak kerja yang dilaksanakan mampu mempermantap jentera parti apabila pendekatan turun padang berjaya mendekati pengundi.

"Ditambah lagi dengan komitmen anda untuk menghadiri taklimat yang diadakan sudah pasti menambah lagi semangat untuk menggempur pembangkang ... semangat inilah yang kita inginkan dan tahniah kepada Wanita BN Batu Sapi," jelasnya.

Samsudin menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Taklimat JR Wanita Komponen BN anjuran Pergerakan Wanita Umno Bahagian Batu Sapi di Ballroom Hotel Hsiang Garden, Jalan Leila, di sini, kelmarin.

JR adalah merupakan gerak kerja wanita BN di semua peringkat bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-13 kelak.

Taklimat disampaikan tiga orang panel iaitu Penolong Setiausaha Wanita Umno Batu Sapi, Sebariah A.Tahir; Ketua Penerangan Wanita Bahagian, Puspa Enting dan Setiausaha Kerja Wanita Bahagian, Hasma Nurdin.

Pada taklimat berkenaan, seramai 82 pengerusi-pengerusi JR di setiap kampung dalam kawasan DUN Sekong dan DUN Karamunting menghadiri taklimat.

Dalam pada itu, Samsudin meminta rakyat di Batu Sapi agar tidak terlalu memikirkan soal calon sebaliknya perlu bekerja keras untuk memastikan kekuatan parti terus mantap.

Ini katanya, asyik memikirkan soal calon hanya mengundang masalah kepada parti sedangkan dalam prinsip perjuangan setiap ahli dituntut menitikberatkan kepentingan parti demi menjamin kekuatannya.

"Sesiapa pun calon kita mesti sokong sebab apa yang penting adalah lambang BN ... yakinlah, kemenangan BN kali ini akan memberi banyak manfaat," ujarnya berseloroh.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Batu Sapi, Jamayah Haji Sapawi, memberitahu bahawa pergerakan itu bersama-sama komponen BN lain sudah pun siap sedia untuk menggempur pihak pembangkang.

Katanya, jentera parti terutama melibatkan petugas-petugas JR sudah turun padang dengan strategi yang lebih kemas dan teratur sekali gus memudahkan mereka mendekati rakyat nanti.

"Kita tiada masalah bahkan kekuatan parti terus bertambah kukuh ... keyakinan ini apabila gerak kerja kita sentiasa berjalan pada setiap masa," beritahu beliau.

No comments:

Post a Comment