Friday, 5 April 2013

ILMU ELEMEN KEHIDUPAN SEJAHTERA






SAMPAIKAN.....AZIZAH menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Daerah Beaufort kepada Nur Farahatiqah sambil disaksikan Dr Mahmud pada program Selangkah ke Menara Gading di Beaufort.

Oleh : ABDUL BAKAR ESAH
        
ILMU adalah perkara asas yang diperlukan oleh setiap manusia. Ilmu mampu membezakan manusia dengan makhluk lain, antara individu dengan individu lain serta mampu membentuk individu itu sendiri.

Apa yang lebih penting, ilmu dapat mengubah kehidupan seseorang daripada kemunduruan kepada kemajuan sekali gus mengangkat martabat kehidupan. Dengan kata lain ilmu adalah elemen utama dalam kehidupan dan memiliki ilmu bermakna memiliki kekuatan.

Gambaran tentang kepentingan ilmu ini telah disuarakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun pada Program Selangkah ke Menara Gading anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Baru Beaufort, baru-baru ini.

Program yang disertai 300 pelajar, lepasan SPM dan STPM itu diisi dengan tiga sesi ceramah iaitu ceramah Bahagian Perkhidmatan Akademik, Asasi Sains dan ceramah bertajuk UMS 1 Impian 1 Realiti. Turut diadakan pameran, pemeriksaan kesihatan dan derma darah.

Pada majlis itu Azizah menyempurnakan upacara Penyampaian Pelajar Cemerlang SPM dan STPM daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort, SMK Beaufort II, SMK Kota Klias, SM St Paul Beaufort, SM St John dan pelajar luar kawasan.

Nur Farahatiqah Ahmed dari SM St Paul Beaufort dinobatkan sebgai pelajar terbaik Daerah Beaufort dengan pencapaian 8A+ dan 1A- dalam peperiksaan SPM 2012.

Sementara itu, SMK Kota Klias dipilih sebagai Sekolah Terbaik bagi kategori peperiksaan SPM dan SM St Paul dalam STPM, bagi sekolah menengah Daerah Beaufort.

Hadir sama, Pengarah Alumni UMS, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof Madya Dr Mahmud Sudin, Ketua Daerah Dun Klias, OKK Wong Samie, Wakil Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd Noh, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Sabdin Maaruf, pengetu-pengetua sekolah, ketuak-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan pemimpin masyarakat.

Mengupas lebih lanjut Azizah berkata ilmu itu pula berkait rapat dengan pendidikan. Justeru itu beliau menyarankan  para pelajar mengamalkan proses pendidikan seumur hidup.

“Pelajar-pelajar perlu mengamalkan proses menuntut limu yang lebih baik iaitu melalui pendidikan seumur hidup. Pendidikan tidak terhad pada pendidikan di institusi pendidikan yang formal, tidak juga terhad kepada satu-satu bidang sahaja dan tidak terhad kepada suatu peringkat umur. Pendidikan yang diperlukan ialah yang meliputi setiap aspek yang ada pada individu iaitu rohani, jamani, intelek, emosi. Sosial. Politik, ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Azizah yang juga penyandang wakil rakyat DUN Klias berkata kerajaan sentiasa mengambil berat dan peka terhadap kepentingan pendidikan dalam pembangunan negara.

“Apabila kita mengimbas kembali sejarah lalu, sebaik merdeka kerajaan telah mengadakan kelas dewasa kerana pada masa itu masih ramai penduduk yang buta huruf. Ini membuktikan betapa kerajaan mengambil berat terhadap kepentingan ilmu pengetahuan kepada seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Menurutnya lagi, sejarah pendidikan negara berhubung rapat dengan pembangunan pendidikan dan hasil daripada itu negara mencatat kemajuan berganda dalam semua sektor termasuk ekonomi, sosial dan sebagainya.

Beliau juga turut menggesa pihak sekolah dan guru-guru untuk terus menyokong dasar-dasar pendidikan negara dan bekerjasama bagi melahirkan lebih ramai ilmuan khasnya di Daerah Beaufort ini.

“Dasar kerajaan yang memberi tumpuan sepenuh masa terhadap pendidikan menuntut warga pendidik melakukan sesuatu yang lebih untuk bersama-sama membangunkan modal insan seterusnya memartabatkan pendidikan negara hingga ke tahap yang membanggakan,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada pelajar dan guru-guru yang telah merealisasikan kejayaan yang membanggakan.

Rakaman penghargaan juga diberikan kepada pihak kepada UMS yang mmbawa program itu ke daerah Daerah Beaufort.

Seterusnya beliau berharap pelajar terus berusaha gigih dan dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional di negara ini.

Azizah juga mengingatkan pelajar supaya sentiasa mengenang budi kerajaan yang terus komited memberi perhatian utama kepada pendidikan dan kebajikan pelajar selama ini.

“Anak-anak pelajar sekalian, apabila telah berjaya nanti kenanganlah budi kerajaan. Lakukanlah sesuatu pulangan kembali kepada pembangunan negara dan anak bangsa khas untuk kawasan kelahiran ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment