Oleh : MUTALIB M.D
PENGUMUMAN Calon PRU-13 BN
yang dijadualkan pada hari ini (Isnin) mungkin akan mengejutkan ramai pihak
jika senarai berkenaan tidak dipinda di saat akhir. Kejutan yang bakal
dilakukan Najib menyerlahkan transformasi politik yang beliau janjikan,
sekalipun tidak disukai ramai pihak.
Malangnya, keputusan
muktamad Najib untuk memilih seseorang calon tersebut berdasarkan beberapa
faktor sekalipun tidak disukai pengundi, pemimpin parti dan penyokong akar
umbi.
Calon spesis 'Tunggul Mati',
'Pokok Pisang', 'Nasi Tambah', 'Nasi Bungkus', 'Tong Sampah' dan 'Badukang'
(Ikan Sembilang) masih menjadi ancaman besar kepada BN untuk mendapatkan
Majoriti dua pertiga di Parlimen dan beberapa negeri jika Najib tidak
mengamalkan saiwar ala Sun Tzu.
Majoriti rakyat Sabah 'tidak
peduli' siapa dipilih kerana sejak merdeka mereka hanya mendapat pemimpin
'Angguk-Angguk' setelah Pembangkang mengajar mereka erti 'Geleng-Geleng' yang
belum memberikan sentuhan kecundang; melainkan pada PRU-12 yang ternyata lebih
kepada 'Temberang Kacang'; terutama peristiwa 16 September 2008.
Bagi abang ipar saya di Batu
Sapi, Daniel Abdul Ganih, sama ada Samsudin Yahya atau Datin Linda Tsen dipilih
sebagai calon BN atau tidak; langsung tidak memberikan sebarang erti kepada
beliau.
Samsuddin pernah memberikan
hadiah paling berharga iaitu menyalah gunakan 'kuasanya' membatalkan elaun kebajikan
untuk anak Daniel yang mengidap Autisme dan terpaksa meminta bantuan PAS
setelah Samsuddin atau Linda tidak langsung mempedulikan rayuan beliau dan 10
keluarga yang diroboh rumah mereka di Kampung Lupak Meluas bagi memberi laluan
kepada Projek Rumah Mesra Rakyat dan Masjid Batu Sapi.
Bagi Daniel, jika diletakkan
'Patung Anjing' pun boleh menang kerana Batu Sapi menyokong BN; bukannya
menyokong Calon yang terbukti selama ini belum pernah membela mereka, termasuk
Samsuddin yang mendapat jolokan 'YB Ko-Nelayan' dan 'YB Anaconda' kerana
terlibat dalam kes Subsidi Diesel.
Dalam pada itu, hasrat Najib
untuk menggugurkan kesemua 4 Wakil Rakyat di Silam iaitu Salleh Kalbi (Parlimen
Silam), Datu Nasrun Datu Mansur (DUN Lahad Datu), Suhaili Said @ Ustaz Yassin
(DUN Tungku) dan Nilwan Kabang (DUN Kunak) disambut baik kerana rakyat tahu
mereka mempunyai skandal masing-masing, namun lobi melobi membingungkan Najib
dan pemimpin 'Syok Sendiri' masih tidak berputus asa dan masih berkampung di
Kuala Lumpur untuk menanti Majlis Penyerahan Senarai Calon BN pada hari ini.
Desas desus bahawa adik
salah seorang Naib Presiden UMNO, iaitu Datuk Haji Mohd Yusof Apdal akan dicalonkan di DUN Lahad Datu
menggantikan Nasrun yang berpindah ke Parlimen Silam telah menghangatkan
politik Silam.
Sekalipun penyandang, Salleh
Kalbi masih terus melobi melalui pelbagai cara, namun pastinya Ketua Pergerakan
Wanita UMNO Silam, Hajjah Saleha Abd Wahid juga berpeluang mewakili DUN Tungku
yang sebelum ini diwakili Suhaili yang begitu nekad menulis janji politik di
atas Surah Yassin dan 'menipu' Najib dalam Kes Mini Estet Sejahtera (Mesej Kg Nala).
Bak kata pepatah,
seburuk-buruk daging, jika dicuci dan dimasak kari, tidak akan terasa busuknya.
Begitu juga ikan yang dibeli di pasar harus disiang sebelum dimasak kerana
sisik dan darah tidak boleh dimakan.
Beginilah perihalnya dengan
majoriti calon yang masih enggan mengaku kalah dan memperagakan diri dengan
pelbagai cara agar terpilih membawa panji-panji BN sekalipun mereka sebenarnya hanya
layak menjadi 'mangkuk tandas' kepada rakyat.
Ramai pemerhati politik
meramalkan Najib terpaksa memastikan BN menang besar jika ingin terus menjadi
Perdana Menteri atau terpaksa mengikut jejak Pak Lah jika menang tipis; apatah
lagi berlaku sabotaj dalaman yang semakin menyerlah, terutama di kalangan
pemimpin kanan UMNO termasuk di kalangan Naib Presiden UMNO.
Sukarnya Najib memilih calon
PRU-13, lebih sukar daripada keputusan yang terpaksa dibuat Tun Mahathir ketika
mahu memecat Anwar Ibrahim; sekalipun sebelumnya telah memberi jaminan bahawa
Anwar akan menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Daripada 25 Ahli Parlimen dan
60 Adun di Sabah, Najib sepatutnya memecat 20 Ahli Parlimen dan 50 Adun yang
selama ini menjadi liabiliti kepada BN untuk mendapatkan majoriti dua pertiga
yang telah hilang akibat Tsunami Politik 2008.
Jumlah Wakil Rakyat yang
perlu dicantas Najib bukanlah sedikit dan akan menjadi senjata makan tuan jika mereka
berkomplot. Maka Anwar tidak perlu kerja keras dan membazirkan wang ringgit
untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliau hanya perlu 'membeli' calon BN yang
menang dan merealisasikan impiannya yang tergendala pada 16 September 2008.
Parti Komponen BN masih
belum memahami intipati transformasi yang dibawa oleh Najib terutama
kesungguhannya menangani masalah PATI melalui penubuhan RCI di Sabah; jika
calon yang mengalami krisis identiti atau yang terlibat dengan 'Ops Durian
Buruk' masih disenaraikan sebagai calon BN dalam pilihanraya paling getir ini.
Kesatuan pemimpin KDM
berhubung isu RCI hanyalah 'Perpaduan Ala Tahi Kambing' yang bersatu di dalam 'Tataba'
tetapi terburai di luar. Mereka hanya menjadikan RCI dan Sindrom 'Anti Pati'
sebagai 'Modal' atau 'Fixed Deposit'
politik untuk memborong lebih banyak kerusi bagi parti dan kaum yang mereka
wakili.
Manakala masyarakat Tiong
Hua sudah kehilangan 'Pemimpin Agung' setelah era Lim Guan Seng dan Chong Kah
Kiat; bahkan terpaksa melukut di tepi gantang untuk mendapat tempat dan bakal
menjadi habuan 'Pakatan Rakyat' jika tidak mendapat sokongan daripada UMNO yang
mendominasi politik Sabah.
Apa pun keadaannya, kita
tunggu pengumuman yang akan dilakukan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Sabah, Datuk Seri Musa Aman setelah mendapat senarai muktamad daripada Perdana
Menteri kerana sehingga sekarang tiada
siapa yang tahu senarai muktamad calon BN melainkan Najib dan Setiausaha Agung
UMNO.
No comments:
Post a Comment