Friday, 5 April 2013

NURUL GAGAL DAPAT PERINTAH BATAL MAHKAMAH





        
AHLI Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kelmarin gagal mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan nama-nama pengundi yang meragukan dalam Rang Daftar Pemilih di kawasan Lembah Pantai.

Hakim Datuk Seri Zakaria Sam menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan oleh Nurul Izzah.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menuntut suatu perisytiharaan bahawa keengganan Ketua Pendaftar SPR membatalkan nama-nama pengundi dalam senarai daftar pemilih induk Lembah Pantai 2011 dan daftar pemilih tambahan suku kedua 2012 di kawasannya adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.

Pada 22 Mac lepas, Nurul Izzah dan seorang pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai, Kadir Sultan Abd Majid memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Pendaftar SPR, SPR, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Hakim membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar penghujahan daripada peguam Nurul Izzah, Edmund Bon dan Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh dan Suzana Atan yang mewakili pihak responden.

Amarjeet memberitahu pemberita bahawa hakim berpendapat bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak, menolak atau mengetepikan daftar pemilih selepas ia diwartakan mengikut Seksyen 9(A) Akta Pilihan Raya 1958.

Beliau berkata hakim juga berpendirian bahawa pemohon (Nurul Izzah dan Kadir) tidak mempunyai kuasa tindakan untuk memfailkan semakan kehakiman kerana Ketua Pendaftar tidak membuat keputusan atau menggugurkan nama dalam senarai daftar pemilih.

"Pemohon telah menghantar tiga pucuk surat kepada Ketua Pendaftar bertarikh 4 Mac dan beliau (Ketua Pendaftar) membalas surat itu dengan menyatakan beliau sedang meneliti perkara itu. Jadi tidak ada keputusan daripadanya," kata Amarjeet.

Sementara itu, Edmund berkata beliau akan membincangkan dengan anak guamnya sama ada mahu merayu terhadap keputusan itu.

Dalam permohonannya, Nurul Izzah mendakwa semakan daftar pemilih menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 4,637 pengundi dengan alamat tidak lengkap, 133 pengundi bukan menetap di Lembah Pantai dan tiga pengundi meninggal dunia masih tersenarai sebagai pemilih di kawasannya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment