Tuesday, 9 April 2013

PEMIMPIN MASYARAKAT AKAN LETAK JAWATAN






Oleh : ZAKARIA DAMIT
        
KOTA KINABALU: Tujuh pemimpin masyarakat sanggup meletakkan jawatan mereka sekiranya pucuk pimpinan meletakkan 'Calon Luar atau Payung Terjun' bertanding di Parlimen Sepanggar menjelang pilihan raya umum (PRU-13) akan datang.

Mereka kesal serta sanggup tidak akan bekerjasama dengan calon luar tersebut berikutan hilang kepercayaan apabila dikenal pasti diletakkan secara tiba-tiba dalam pru-13.

Seorang Ketua Kampung Likas Kota Kinabalu, KK Edin Pelai berkata, pengundi Parlimen Sepanggar tidak mahu menerima isu calon payung terjun dicalonkan di Sepanggar sekali gus mencadangkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman agar mencalonkan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Haji Idris di Parlimen Sepanggar dalam PRU-13 nanti.

“Kita sudah sebulat suara menolak calon payung terjun di Parlimen Sepanggar. Kami mahu hanya Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sepanggar yang juga anak jati Likas, Datuk Jumat Haji Idris, menjadi calon Parlimen Sepanggar.

“Pucuk pimpinan perlu melihat setakat ini hanya Umno sahaja lebih berpeluang bertanding di Parlimen Sepanggar berikutan Umno sering kali melakukan kerja turun padang serta terbukti mampu menyelesaikan banyak masalah rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam serta Karambunai, Katanya.

KK Edin berkata, beliau bersama rakan-rakan dari beberapa cawangan lain bersedia meletakkan jawatan serta enggan melakukkan kerja-kerja membantu calon payung terjun sekiranya pucuk pimpinan masih enggan mencalonkan Datuk Jumat Haji Idris dalam pru-13 di Parlimen Sepanggar.

Sementara itu, seorang Ketua Umno Cawangan Kampung Mambong Sepanggar Basri Awang Besar berkata, sudah tiba masanya kami patut menolak calon luar atau payung terjun bertanding di Parlimen Sepanggar.

Katanya, rekod kerja cemerlang Umno Bahagian Sepanggar mengembalikan keyakinan pengundi agar menyokong Barisan Nasional selepas bekas penyandangnya Datuk Erric Mojimbun dari Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan BN dua tahun lalu.

“Ingatlah jasa-jasa kita, bukan mau main simpan ikut suka hati. Kami yang teruk bekerja berhempas pulas tanpa memikirkan sebarang imbuhan daripada sesiapa pun. Siang dan malam bersengkang mata untuk menyiapkan program Juara Rakyat serta sanggup turun rumah ke rumah untuk memastikan agar kursi Palimen Sepanggar milik kita.

“Tiba-tiba muncul calon payung terjun hanya dalam istilah 'Cuci Tangan' masuk serta menjadi calon di Parlimen Sepanggar. Ingatlah kuasa mengundi adalah terletak di tangan akar umbi jika mereka tidak kenal dan suka kepada calon itu berkemungkinan Parlimen Sepanggar masih kekal di tangan pembangkang,”katanya.

Basri Awang Besar bersedia meletak jawatan sekiranya pucuk pimpinan kekal meletakkan calon luar atau payung terjun bertanding di Parlimen dalam Pru-13 kelak.

Sementara itu, Amelly christopher berkata, Umno terbukti boleh mengembalikan kursi Parlimen Sepanggar ke tangan Barisan Nasional (BN) sekiranya meletakkan anak tempatan Datuk Jumat Haji Idris menjadi calon dalam PRU-13.

Dalam tempoh singkat katanya, UMNO sudah membawa lebih 160 buah Projek Perumahan Rakyat (PPRT) serta membantu nelayan dikedua-dua Dun Karambunai dan Inanam mendapat bantuan bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“Pucuk pimpinan sering bercakap soal calon boleh menang. Tapi meletakkan calon luar dan payung terjun...bukankah itu akan menghancurkan BN sekiranya salah meletakkan calon dalam pru-13 kelak.

“Sepatutnya pucuk pimpinan sudah ada pengalaman dalam PRU kecil di beberapa buah negeri lalu tewas berikutan meletakkan calon payung terjung serta bukan boleh menang dalam pru lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Rampayan Menggatal merangkap Ketua Cawangan Kampung Rampayan Menggatal, Haji Masri Mansor berkata, pengundi sub urban bijak serta memilih calon bukan saja parti.

“Pengundi muda lebih berminat melihat calon yang mudah didekati dan anak tempatan. Ini sudah tentu memberi isyarat kepada kita agar meletakkan calon boleh menang serta anak tempatan seperti Datuk Jumat Haji Idris sebagai calon di Parlimen Sepanggar dalam pru-13 nanti.

“Setakat ini sudah ada Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) marah serta sanggup menutup kawasan PDM sekiranya pucuk pimpinan meletakan calon luar serta payung terjun di Parlimen Sepanggar dalam pru-13 nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment