KUALA LUMPUR : Polis Diraja
Malaysia (PDRM) mengesan cubaan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF)
membantu kumpulan pengganas Kiram menyusup masuk ke perairan pantai timur Sabah
untuk mengganggu kelancaran proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurut sumber, rancangan
jahat tersebut bagaimanapun berjaya dihidu oleh pasukan keselamatan.
Beliau berkata, bagi
menghalang insiden itu berlaku, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah diarahkan untuk mengetatkan
kawalan keselamatan di Sabah terutama menjelang hari penamaan calon dan
pengundian.
"Kumpulan pengganas
bersenjata itu dikatakan merancang masuk ke negara ini pada waktu malam dan
akan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil ke daerah Sandakan, Beluran dan
Kinabatangan bagi mengelak dikesan.
"Bagaimanapun, usaha
mereka sia-sia kerana pasukan keselamatan terlebih dahulu telah bersiap sedia
mengetatkan kawalan keselamatan sebelum mereka melaksanakan perancangan jahat
tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari
ini.
Sumber itu bagaimanapun
enggan mendedahkan jumlah sebenar keseluruhan anggota kumpulan pengganas yang
dikesan akan memasuki perairan Sabah.
Beliau memberitahu,
rancangan pencerobohan terbaharu itu dirancang oleh Esmail Kiram iaitu adik
kepada ketua pengganas, Jamalul Kiram.
Sehubungan itu, katanya,
polis kini giat memburu beberapa individu lain yang berkait rapat dengan Esmail
Kiram yang membantu merancang pencerobohan tersebut.
Beliau juga tidak menolak
kemungkinan wujudnya perancangan tersebut kerana mahu membalas dendam di atas
kematian ramai pengikutnya di Lahad Datu, Sabah.
"Perancangan itu
dipercayai rentetan daripada rasa tidak puas hati ketua pengganas yang mahu
membalas dendam di atas kematian pengikutnya.
"Pihak keselamatan
yakin pencerobohan terbaharu yang dirancang musuh akan gagal dan tidak sedikit
pun mengganggu keselamatan terutama ketika pilihan raya nanti," katanya.
(FMT)
No comments:
Post a Comment