Tuesday, 9 April 2013

TUNGGUL MATI BN ENGGAN MENGALAH?






SABOTAJ.....Tindakan membuang besar-besaran penyandang yang melangkau masa bakal mengundang sabotaj.

Oleh : MUDA MOHD. NOOR

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari tidak ramai menteri dan wakil rakyat yang mahu mengumumkan mereka tidak bertanding dalam pilihan raya secara suka rela. Ini satu masalah kepada Umno.

Belum ada menteri yang mahu mengatakan mereka akan mengundurkan diri serta memberikan kerusi kepada muka baru. Maksudnya mahu menarik diri dari dicalonkan sekali lagi.

Datuk  Seri Rais Yatim yang sudah menjadi anggota kabinet dengan lima perdana menteri nampak belum mahu mengibarkan bendera putih. Beliau seolah mahu mempertahan kerusi parlimen Jelebu.

Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Mustapa Mohamad juga boleh dianggap kuda tua kerana sudah begitu lama berada dalam kabinet. Kecuali Mustapa yang mengemudi Umno Kelantan, Nazri dan Hishammuddin telah menjadi bualan awam terhadap beberapa isu yang membabitkan kedua-dua menteri kabinet itu.

Ini tidak dikira lagi dengan ratusan ahli parlimen dan penyandang kerusi negeri di seluruh negara. Pendek kata, wakil-wakil rakyat  Umno yang ada, sebahagian besarnya masuk dalam kategori veteran.

Cuba kita lihat satu persatu bermula dari Perlis hingga ke Sabah. Datuk Seri Shahidan Kassim masih menyimpan hasrat kembali menjadi menteri besar Perlis; manakala Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Azmi Khalid, dua bekas menteri pusat sepatutnya sudah meninggalkan politik. Tetapi belum ada kata putus.

Di Kedah, bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahadir Khalid dilaporkan mahu mempertahankan kerusi DUN Pedu. Apa rasionalnya beliau berbuat demikian jika prestasi BN negeri diambil kira pada 2008.

Bercita-cita besar

Pulau Pinang tidak ramai pemimpin kerana negeri itu diperintah pembangkang. Perak juga tidak ketinggalan dengan muka-muka lama yang masih bercita-cita besar untuk terus bertanding sekali lagi.

Selangor sangat diidam oleh Najib yang mana beliau sendiri menjadi pengerusi BN dan Umno di negeri tersebut. Koordinator BN negeri, Datuk Seri Mohamad Zain Mohamed yang juga ahli parlimen Sepang sepatutnya sudah tidak disenaraikan lagi.

Di Perak, Adun Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Adun Datuk Ahmad Fakeh Adam tidak perlu lagi terhegeh-hegeh melobi supaya namanya di kekalkan.

Datuk Seri Tengku Adnan Mansor di Putrajaya dan Datuk Zulhasnan Rafique (Setia Wangsa) antara yang perlu digugurkan di Wilayah Persekutuan.

Bagi Melaka, Datuk Abu Seman Yusof (Masjid Tanah)  barangkali perlu diganti dengan  tokoh muda. Negeri Sembilan juga tidak kurang dengan wakil rakyat yang sudah memasuki alam ‘menopaus’.

Di Terengganu yang menjadi persoalan ialah mengenai nasib kumpulan penyokong bekas Menteri Besar yang disingkirkan pada 2008 iaitu Datuk Seri Idris Jusoh. Teka teki berlegar adakah Idris akan bertanding atau sebaliknya, begitu juga dengan penyokong-penyokong kuatnya.

Kelantan sering menjadi rebutan antara muka lama dan baru- Perebutan itu menyebabkan Kelantan kalah kepada PAS sejak tahun 1990 lagi.

Perlukan tokoh-tokoh besar seperti Tengku Razaleigh Hamzah akan mempertahankan Gua Musang? Atau Datuk Awang Adek Husin mencuba lagi di Bachok yang beliau kalah dua kali berturut-turut?

Berdiam diri?

Apakab bekas Pengerusi Umno negeri, Tan Sri Annuar Musa akan berdiam diri jika namanya tidak ada dalam senarai kali ini?

Pahang dikatakan kekal sebagai kubu kuat Umno walaupun Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sudah terlalu lama di kerusi itu. Sebahagian yang lain juga patut mengundurkan diri.

Johor menjadi negeri tumpuan setelah beberapa tokoh besar pembangkang menyatakan hasrat akan bertanding di negeri kubu kuat Umno itu. Pun begitu, Umno turut dibebani dengan beberapa tokoh yang sudah melampau masa.

Tan Sri Syed Hamid Albar (Kota Tinggi), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) malah Datuk Abdul Ghani Othman sendiri kelihatan sudah menjadi liabiliti kepada Umno. Malah jika Ghani bertanding di kerusi parlimen Gelang Patah menentang supremo DAP Lim Kit Siang tidak akan mengubah tanggapan bahawa Menteri Besar Johor itu perlu diganti.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan rakannya di Sarawak Tan Sri Taib Mahmud selalu dicap dan ditohmah sebagai perasuah dan salah guna kuasa oleh lawan, tetapi merekalah yang menjadi benteng menahan asakan Pakatan Rakyat.

Malangnya mengekalkan mereka bakal berdepan BN akan kehilangan Sabah dan Sarawak. Rakyat akan menolak pemimpin yang terpalit dengan salah guna kuasa dan sebagainya.

Tetapi Najib dalam keadaan suka atau tidak terpaksa membuat keputusan terbaik untuk kepentingan keseluruhan. Mencatas keseluruhan politikus lama berisiko besar akan menyebabkan berlaku sabotaj.

Tetapi mengekalkannya boleh mengurangkan sokongan pengundi muda. Sedangkan pengundi muda bakal menjadi penentu kepada kemenangan umno dan Barisan Nasional.

Mengambil kira itu, Najib dalam dilema sedangkan Pakatan Rakyat semakin kuat mengasak.  Apakah transformasi Najib kepada Umno akan menikam diri sendiri?

Ahli dan penyokong-penyokongnya akan menentukannya. Apa pun pisau di tangan Najib dan tidak mungkin akan menikam diri sendiri sekalipun orang bawahan akan menipunya.

No comments:

Post a Comment