Thursday, 3 January 2013

BN TETAP PILIHAN BAJAU SULUK





Oleh : SHAIMON S JUMADI

SEORANG  pemimpin masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk di negeri ini, Datu Omar Ali Datu Bachtiyal (Gambar) kelmarin menyatakan pendiriannya secara rasmi untuk menyertai Umno Bahagian Sandakan bagi membolehkan beliau menyumbang dan berperanan lebih aktif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, keahliannya sebagai ahli Umno masih wujud iaitu di kawasan Lengging, Negeri Sembilan tetapi terpaksa membuat penukaran keahlian ke sini ekoran keadaan politik yang tidak menentu.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mengkaji sedalam-dalam bahawa kerajaan hari ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah kerajaan terbaik; yang wajar dikekalkan sebagai parti pemerintah dan mengambil kira bukan hanya dari segi pembangunan tetapi rakyat perlu melihat keamanan di negara ini sejak sekian lama.

"Walaupun saya sebelum ini pernah menganggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), SAPP dan BERSEKUTU tetapi demi masa depan kaum yang saya wakili ... saya ingin menyertai Umno di Bahagian Sandakan.

"Saya berharap permohonan ini dapat dipertimbangkan Umno dari bahagian berkenaan kerana keputusan yang saya buat adalah semata-mata untuk membantu Umno dan BN sebagai wadah perjuangan khususnya kepada masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk di kawasan ini," jelasnya semasa satu sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di sini.

Menurut beliau, masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk perlu menyokong sekali gus menjadikan parti keramat Umno sebagai wadah perjuangan politik kerana ia sudah terbukti mampu membela nasib setiap kaum di negara ini.

Ini katanya, semenjak lebih 50 tahun lepas pelbagai limpahan pembangunan dinikmati samada dari segi pembangunan ekonomi mahu pun pendidikan sehinggalah kepada kemakmuran yang membolehkan rakyat hidup dalam suasana harmoni.

Tambahnya, berlainan dengan parti-parti pembangkang di mana matlamat yang diperjuangkan tidak akan dapat menandingi keupayaan BN apatah lagi pendirian mereka tidak menentu berhubung halatuju masing-masing.

"Soalnya di sini ... perlukah kita memberi peluang kepada pembangkang sedangkan BN telah terbukti memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata.

"Biasalah dalam politik terutama Umno ada saja macam-macam yang kita dengar seperti kena pecat dan sebagainya. Itu masalah pemimpin dan bukan kepimpinan parti ... parti tidak boleh dipersalahkan kerana ia adalah platfrom bagi semua ahli.

"Kita harus menyokong kepimpinan parti supaya kekuatannya bertambah kukuh dan tidak gentar bila berdepan dengan pembangkang menjelang nanti Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13.

"Yang penting ialah taat setia kita kepada parti, kalau parti mampu membela kita ... mengapa pula kita tergamak kepada parti. Sebab itu, saya selalu mengingatkan kaum kerabat saya iaitu masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk agar memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN.

"Hanya parti ini saja mampu memberikan kesejahteraan kepada kita semua yang hidup dalam satu kelompok masyarakat majmuk ini. Belum tentu lagi pembangkang mampu menandingi BN lebih-lebih lagi pimpinan BN sering turun padang untuk mendalami denyut nadi rakyat," ujar Omar Ali.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman atas kejayaannya mampu membawa perubahan besar kepada negeri ini sekali gus meletakannya antara salah sebuah negeri yang termaju di seluruh negara.  

Beliau menyifatkan Musa sebagai seorang pemimpin yang berwawasan jauh bukan sahaja berupaya membawa pembangunan dan kemakmuran kepada negeri ini malahan mewujudkan projek-projek mega di Sandakan.

Ujarnya, ini satu kebanggaan bagi warga Sandakan memandangkan sejak lebih 50 tahun sesiapa pun belum terfikir yang bandar berkenaan akan ada Hab Pendidikan di Batu 10, Jalan Sungai Batang termasuk pembinaan hotel bertaraf lima bintang iaitu Four Point oleh Sheraton.

"Kita tidak terfikirkah pembangunan yang pesat di bandar Sandakan. Ini semua adalah hasil usaha dan komitmen kepimpinan kita yang lebih mendahulukan kepentingan rakyat.

"Saya berpendapat bahawa kerajaan BN perlu dikekalkan sebagai pemerintah kerana kalau kita lihat Sandakan saja pembangunannya berjalan lancar dan banyak peluang-peluang ekonomi yang telah diwujudkan.

"Saya menyeru terutama masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk agar memberi sokongan yang lebih padu bagi memastikan BN menang besar dalam PRU-13 nanti. Saya juga beri jaminan sebaik permohonan menyertai Umno di Bahagian Sandakan diluluskan kelak, saya akan turun padang bersama-sama kepimpinan parti bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap Umno khususnya BN tidak akan berbelah-bagi," tegas beliau yang merupakan anak jati berasal dari Kampung Bokara itu.

No comments:

Post a Comment