Sunday, 6 January 2013

HARI KELUARGA PENGIKAT PERPADUAN






HADIR...Masiung menghadiri Majis Rumah Terbuka Hari Keluarga.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kuamut Masiung Banah berkata menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Keluarga ia menjurus kepada jalinan mesra yang erat di kalangan keluarga setempat.

Katanya, program sebegini banyak membawa manfaatnya kerana kelompok keluarga dekat dan jauh memang sukar kita dapat bertemu mesra kerana masing-masing mempunyai bidang kerjaya dan tanggungjawab yang dipikul sehingga tiada masa untuk bermesra antara satu sama lain.

Masiung berkata demikian ketika berucap di Rumah Terbuka Hari Keluarga anjuran masyarakat Kuamut baru-baru ini.

Katanya, inilah yang dikehendaki oleh para pemimpin kerajaan yang ada sekarang agar masyarakat setempat saling bantu membantu dan bekerjasama dalam apa jua aktiviti-aktiviti kemasyarakatan demi menyuntik semangat perpaduan yang erat tanpa mengira fahaman ideologi  yang berbeza dan anutan kepercayaan agama.

“Kita sepatutnya bersyukur  duduk di bumi Malaysia, khususnya Sabah khasnya daerah Kuamut walaupun terdapat berbilang bangsa dan berbeza budaya dan anutan agama. Kita sentiasa berada di tempat yang aman dan damai. Inilah untungnya rakyat di negara ini berbanding rakyat yang duduk di negara-negara luar, yang asyik bertelagah antara satu sama lain,” ujarnya.

Kata Masiung, apa yang beliau harapkan, penduduk di kawasan DUN Kuamut agar sentiasa berwaspada  dengan  anasir-anasir yang berniat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan yang sedia terjalin dengan menabur fitnah dan memburuk-burukkan pimpinan kerajaan yang ada sekarang.

Tambah Masiung, mereka yang menyokong parti pembangkang memang tidak dapat dinafikan, kerja mereka tiada lain, melainkan menghasut rakyat supaya membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan melemparkan pelbagai tohmahan dengan tujuan semata-mata untuk memesong dan menyesatkan minda rakyat; demi kepentingan perjuangan parti mereka yang belum pasti halatujunya.

“Tapi sekarang rakyat di kawasan luar bandar memang sudah buka mata dan pandai menilai, yang mana satu kaca dan yang mana intan dan tidak mudah digula-gulakan oleh golongan yang suka memecah belahkan perpaduan rakyat,” ujarnya.

Masiung menambah, para pemimpin pembangkang hanya tahu memutar belitkan fakta-fakta songsang dan sentiasa menidakkan dan menyangkal segala usaha-usaha murni kerajaan untuk membantu rakyat sejagat.

No comments:

Post a Comment